Laporan Tahunan Insurans 2004

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 27 April 2005
27 Apr 2005 Siaran Akhbar

Laporan Tahunan Insurans 2004 memberikan tinjauan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996, serta prestasi dan perkembangan industri insurans Malaysia pada tahun 2004.

Prestasi Industri Insurans
Industri insurans mencatat pertumbuhan berganda bagi tahun kedua berturut-turut, disokong oleh pertumbuhan sektor hayat yang sangat memberangsangkan pada tahun 2004. Jumlah pendapatan premium perniagaan hayat dan am yang digabungkan meningkat pada kadar yang lebih kukuh sebanyak 17.2% pada tahun 2004 (2003: 11.6%) untuk mencapai paras RM22,038.9 juta (2003: RM18,812.3 juta). Dalam keadaan pelaburan yang lebih menggalakkan, hasil kendalian bagi perniagaan hayat dan am turut meningkat. Asas keuntungan juga lebih kukuh, dengan pengunderaitan yang lebih berdisiplin telah menyumbangkan hasil yang positif dalam sektor am di samping padanan aset-liabiliti sektor hayat yang lebih baik. Kecekapan yang meningkat turut menyumbang pada hasil yang bertambah baik.

Pasaran insurans terus berkembang luas untuk mencapai satu tahap yang membolehkannya memainkan peranan yang lebih penting dalam menyokong pembangunan ekonomi dan sosial. Kadar penembusan pasaran insurans dan tahap kepadatan juga terus dipertingkatkan. Jumlah keseluruhan pendapatan premium sebagai peratusan kepada Keluaran Negara Kasar nominal meningkat kepada 5.2% (2003: 5.1%), manakala kadar penembusan pasaran juga lebih tinggi pada 37.9% (2003: 36.8%). Ini memperlihatkan bahawa peranan sektor insurans semakin penting dalam penggalakan kegiatan ekonomi dan kesejahteraan kewangan individu. Jumlah aset kumpulan wang insurans berkembang pada kadar 13.1% kepada RM86,848.5 juta pada tahun 2004 (2003: RM76,807 juta), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan aset kumpulan wang insurans hayat.

Insurans Hayat
Industri insurans hayat mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan dalam premium perniagaan baru, iaitu sebanyak 36.3% pada tahun 2004 (2003: 35.4%) disebabkan oleh permintaan terhadap produk berkaitan pelaburan dan endowmen yang terus kukuh. Bahagian pasaran perniagaan berkaitan pelaburan dan endowmen yang digabungkan kepada jumlah premium baru diunderait pada tahun 2004 terus meningkat kepada 68.1% (2003: 59.1%). Trend pertumbuhan yang menggalakkan bagi produk berkenaan yang lazimnya bercirikan premium risiko yang rendah dan komponen pelaburan yang lebih tinggi, memperkukuh lagi kepentingan insurans sebagai pilihan pelaburan alternatif kepada pengguna.

Meskipun permintaan terhadap produk insurans berbentuk pelaburan adalah kukuh, perniagaan insurans bertempoh yang terdiri daripada polisi perlindungan tulen mencatat pertumbuhan yang pesat pada tahun 2004. Ini mencerminkan kepentingan manfaat perlindungan yang berterusan yang disediakan oleh polisi insurans. Apa yang nyata ialah terdapat peningkatan dalam jualan polisi insurans bertempoh kumpulan yang dibeli oleh majikan untuk pekerja mereka, dan produk insurans kredit pengguna yang menyediakan pembayaran semula hutang tertunggak empunya polisi apabila berlaku kematian, hilang upaya atau penyakit kritikal.

Bankasurans meningkatkan bahagian pasarannya dalam perniagaan hayat baru dengan ketara pada tahun 2004 untuk mencakupi bahagian sebanyak 48% (2003: 38.4%) atau RM3,172.9 juta daripada jumlah premium perniagaan baru yang dijana. Ini telah menghasilkan sistem agihan yang lebih pelbagai bagi produk insurans hayat dan menyumbang pada peningkatan dalam kecekapan, khususnya bagi penanggung insurans tempatan yang menerajui pasaran dalam pelaksanaan strategi bankasurans yang berjaya.

Hasil kendalian bersih sektor hayat terus bertambah baik pada tahun 2004. Ekoran rangsangan pertumbuhan perniagaan baru yang kukuh, lebihan pendapatan atas perbelanjaan bertambah kepada RM10,978.1 juta, walaupun pada kadar pertumbuhan yang nyata perlahan. Namun demikian, suasana pelaburan semasa terus memberi cabaran kepada penanggung insurans hayat, dengan kadar hasil pelaburan purata (tidak termasuk keuntungan modal) pada 5.7%, iaitu kekal pada tahap yang amat rendah berbanding dengan kadar purata pelaburan jangka panjang sebanyak 6.5% bagi tempoh 1993-2003 dan kadar 8.5% yang diandaikan bagi penetapan harga dan ilustrasi polisi yang dijual sebelum tahun 1999.

Selaras dengan peningkatan yang lebih perlahan bagi lebihan pendapatan atas perbelanjaan pada tahun 2004, jumlah aset kumpulan wang insurans hayat turut meningkat pada kadar yang lebih perlahan, iaitu sebanyak 16% (2003: 17.6%) kepada RM69,814.7 juta pada tahun tersebut. Sebahagian besar (49.6%) daripada pelaburan kumpulan wang insurans hayat masih dalam sekuriti korporat dan hutang, dengan bahagian yang lebih tinggi sebanyak 31.8% (2003: 30.8%) dilaburkan dalam sekuriti jangka lebih panjang yang mempunyai tempoh matang melebihi lima tahun supaya lebih berpadanan dengan liabiliti jangka panjang penanggung insurans hayat.

Penembusan pasaran, yang diukur dari segi bilangan polisi premium tahunan yang berkuat kuasa kepada jumlah penduduk, terus bertambah baik kepada 37.9% pada tahun 2004 (2003: 36.8%). Dengan prospek ekonomi dalam negeri kekal positif, disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh dan aktiviti penggunaan swasta yang mapan, industri insurans hayat dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan seterusnya dalam permintaan terhadap insurans hayat. Dari sudut penawaran, perkembangan sistem agihan yang lebih pelbagai yang didorong oleh kadar penembusan bankasurans yang semakin meningkat, keupayaan produktif penanggung insurans yang lebih tinggi berikutan pelaburan modal tambahan dalam bidang teknologi dan peningkatan tahap inovasi turut menyokong suasana yang positif bagi pertumbuhan pada masa hadapan.

Insurans Am
Pertumbuhan industri insurans am pada tahun 2004 adalah sederhana pada tahap 4.2% dengan jumlah premium langsung kasar yang diunderait bernilai RM8,532.5 juta (2003: 9.9% berjumlah RM8,186.3 juta). Pertumbuhan yang lebih perlahan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan pada kadar premium yang berterusan, khususnya dalam kelas Marin, Udara dan Transit (MUT) selaras dengan trend kadar premium antarabangsa dan permintaan yang lebih rendah dalam bidang insurans perdagangan. Walau bagaimanapun, sektor insurans motor yang merupakan sektor utama, kembali mencatat pertumbuhan premium langsung kasar yang lebih kukuh sebanyak 6.7% pada tahun 2004 (2003: 5.6%) berikutan jualan kenderaan yang memberangsangkan. Sebagai mencerminkan pertumbuhan keseluruhan yang lebih lemah, jumlah aset kumpulan wang insurans am meningkat pada kadar yang lebih perlahan, iaitu 2.5% (2003: 7.4%) kepada RM17,033.8 juta.

Bendungan premium bersih yang lebih tinggi oleh penanggung insurans langsung dan penanggung insurans semula telah meningkatkan tahap bendungan bersih keseluruhan kepada 87.8% pada tahun 2004 (2003: 85.6%). Ini didorong terutamanya oleh tahap bendungan yang nyata lebih tinggi dalam kelas perniagaan semua risiko kontraktor dan kejuruteraan dan MUT berikutan berkurangnya projek infrastruktur yang dijalankan pada tahun 2004 yang memerlukan sokongan insurans semula, serta kecenderungan beberapa penanggung insurans besar untuk menanggung risiko yang lebih ekoran hasil pengunderaitan yang terus bertambah baik sepanjang tahun 2003.

Nisbah tuntutan keseluruhan merosot sedikit kepada 60.5% pada tahun 2004 (2003: 59.8%). Pengalaman tuntutan insurans motor terus meningkat untuk mencapai nisbah 70.7% (2003: 70.1%), iaitu catatan tertinggi sejak tahun 1994. Walaupun pengalaman tuntutan adalah kurang menggalakkan, hasil pengunderaitan terus bertambah baik, disokong oleh peningkatan perbelanjaan yang lebih sederhana dan bendungan premium bersih yang lebih tinggi oleh industri. Keuntungan pengunderaitan meningkat kepada 7.7% daripada 7.5% pada tahun 2003. Walaupun pertumbuhan perniagaan agak perlahan pada tahun 2004, jumlah keuntungan kendalian bagi tahun 2004 meningkat kepada RM1,219.8 juta, sebanding dengan paras yang dicapai pada tahun 2003. Dari sudut teknikal, komponen keuntungan juga lebih positif dengan bahagian keuntungan daripada aktiviti pengunderaitan adalah lebih tinggi.

Dasar dan Langkah bagi Memperkukuh Industri Insurans
Teras kepada langkah dasar bagi industri insurans pada tahun 2004 terus tertumpu pada pengukuhan asas-asas bagi amalan kewangan dan perniagaan yang baik, penggalakan peningkatan prestasi dan peningkatan perlindungan pengguna.

Pada tahun 2004, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan butiran bagi cadangan rangka kerja modal berasaskan risiko yang akan menggantikan peraturan kesolvenan yang kini diguna pakai dalam pengawalseliaan penanggung insurans. Rangka kerja tersebut akan memastikan rejim kesolvenan adalah lebih sejajar dengan profil risiko penanggung insurans individu di samping memberi penanggung insurans lebih fleksibiliti untuk melaksanakan strategi pelaburan yang sesuai, sepadan dengan kecenderungan risiko mereka. Selain itu, garis panduan bagi ujian kesolvenan dinamik (Dynamic Solvency Testing) telah dikeluarkan dan keperluan rizab bagi penanggung insurans am yang lebih kukuh telah dirumuskan bagi menyokong penilaian kesolvenan yang lebih mantap dan berpandangan ke hadapan. Bagi memperkukuh standard pengurusan risiko yang baik, satu rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko yang baru telah diperkenalkan, dengan memberikan lebih tumpuan pada penilaian pendedahan risiko penanggung insurans dan sistem pengurusan risiko oleh Bank Negara Malaysia semasa proses penyeliaan. Rangka kerja pengawalseliaan yang menyokong struktur tadbir urus yang baik dalam industri turut diperkukuh, iaitu dalam bidang penggunaan khidmat pihak ketiga, jawatankuasa audit dan pengurusan persekitaran teknologi maklumat.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memelihara integriti sektor kewangan daripada aktiviti pengubahan wang haram, prosedur pengesahan minimum telah dibentuk untuk penanggung insurans dan broker, bagi memastikan kesahihan urus niaga insurans yang dijalankan. Selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, prosedur tersebut telah dipertingkatkan lagi pada tahun 2004 bagi menyediakan pendekatan berasaskan risiko yang memerlukan kajian wajar dijalankan terhadap pengguna atau urus niaga yang mempunyai profil risiko yang lebih tinggi.

Bagi menggalakkan lagi peningkatan prestasi industri, usaha untuk membangunkan kegiatan bankasurans telah ditingkatkan lagi dengan kajian semula mengenai keperluan pengawalseliaan berkaitan pengaturan bankasurans. Keperluan yang disemak termasuklah struktur komisen yang lebih fleksibel, di samping memastikan pengguna mendapat manfaat daripada kos agihan berkaitan bankasurans yang lebih rendah. Pendedahan yang lebih meluas kepada pengguna juga telah diperkenalkan bagi memudahkan perbandingan antara produk bankasurans dengan instrumen tabungan dan pelaburan yang lain. Semakan terhadap keperluan tersebut bertujuan untuk memastikan pembangunan bankasurans yang lebih teratur memandangkan kegiatan ini penting untuk mewujudkan pasaran insurans yang lebih kompetitif dan pelbagai, terutamanya dalam sektor hayat.

Inisiatif terus diambil bagi mengukuhkan lagi komponen infrastruktur perlindungan pengguna. Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) telah ditubuhkan secara rasmi pada akhir tahun 2004 dan memulakan operasi pada bulan Januari 2005. Dengan tambahan sumber, BPK berupaya untuk menyelesaikan pertikaian dengan lebih cepat dan cekap. Lebih ramai pengguna boleh menggunakan perkhidmatan Biro ini berikutan peningkatan had kewangan bagi kes yang di bawah bidang pengantaraannya. Kegiatan di bawah program pendidikan pengguna sepuluh tahun yang dilancarkan pada tahun 2003, diteruskan pada tahun 2004 dengan penerbitan buku kecil informasi dan bahan bacaan tambahan bagi menangani pelbagai isu semasa pengguna.

Selaras dengan usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan layanan saksama kepada empunya polisi, garis panduan bagi menyemak pemberian bonus oleh penanggung insurans telah diperketatkan bagi memastikan pengurangan bonus adalah wajar dan empunya polisi dimaklumkan mengenainya. Penanggung insurans juga dikehendaki mengukuhkan mekanisme kawalan dalaman bagi mengesan dan membendung penggantian polisi hayat bagi mengelakkan empunya polisi daripada kehilangan wang mereka. Dalam sektor insurans am, pelaksanaan JPJ eINSURANS pada bulan Januari 2005, yang memudahkan pengemukaan nota perlindungan motor secara elektronik kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tujuan pembaharuan cukai jalan, juga dapat melindungi empunya kenderaan dan mangsa kemalangan dengan membanteras secara berkesan insiden nota perlindungan palsu yang menyebabkan wujudnya kenderaan yang tidak diinsuranskan di jalan raya.

Melangkah ke hadapan, Bank Negara Malaysia akan terus menyediakan rangka kerja bagi perubahan yang positif dengan menggalakkan lebih banyak persaingan dalam pasaran tempatan, di samping mengukuhkan rangka kerja sokongan bagi memastikan penanggung insurans terus membentuk pendekatan dalaman yang berdisiplin bagi pengurusan risiko dan tadbir urus korporat. Ini akan dilaksanakan menerusi penyelarasan yang sesuai terhadap rangka kerja pengawalseliaan, serta inisiatif membina keupayaan secara berterusan yang akhirnya bertujuan untuk memelihara integriti institusi insurans dan memastikan kedudukan kewangan jangka panjang mereka adalah teguh dalam persekitaran yang begitu pesat berubah-ubah.

 

Lihat Juga: Laporan Tahunan Insurans 2004 (Buku)

 


Bank Negara Malaysia
27 April 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?