Laporan Tahunan Insurans 2005
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 19 April 2006
19 Apr 2006
Siaran Akhbar
Bank Negara Malaysia (Bank) telah menerbitkan Laporan Tahunan Insurans 2005 pada hari ini.
- Laporan Tahunan Insurans 2005 menyediakan tinjauan tentang pentadbiran Akta Insurans 1996 serta prestasi dan perkembangan industri insurans di Malaysia pada tahun 2005.
Prestasi Industri Insurans
- Industri insurans terus mencatat pertumbuhan yang positif pada tahun 2005, didorong oleh pertumbuhan yang lebih mantap dalam sektor insurans am. Jumlah pendapatan premium bagi perniagaan insurans hayat dan am meningkat 6.9% kepada RM23,564.6 juta (2004: 17.2% kepada RM22,041.9 juta). Sektor insurans am mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi yang mapan dan penggunaan swasta yang kukuh. Walaupun pertumbuhan dalam sektor insurans hayat adalah sederhana, dengan kesedaran orang ramai terhadap risiko yang bertambah baik dan kemewahan penduduk yang semakin meningkat, keadaan permintaan kekal positif pada tahun itu. Secara keseluruhan, hasil kendalian bagi perniagaan insurans hayat dan am kekal menggalakkan, disokong oleh hasil pengunderaitan yang bertambah baik, produktiviti yang lebih tinggi, ekonomi ikut bidangan yang lebih luas serta penggunaan modal yang lebih cekap, terutama di kalangan penanggung insurans am. Peningkatan kecekapan juga dicapai hasil daripada kawalan kos yang lebih berkesan dan kos pengantaraan yang berkurang yang dicapai melalui penembusan bankasurans dan saluran agihan langsung.
- Tahap perlindungan insurans terus berkembang pada tahun 2005. Penembusan pasaran (diukur dari segi polisi insurans hayat berkuat kuasa kepada jumlah penduduk) meningkat lagi kepada 38.7% (2004: 37.9%). Tahap penembusan yang lebih tinggi dalam sektor hayat dan permintaan yang meningkat bagi insurans am, telah menyokong peningkatan seterusnya dalam perbelanjaan per kapita terhadap insurans. Jumlah aset kumpulan wang insurans berkembang 11.4% kepada RM96,742.8 juta pada tahun 2005 (2004: RM86,852.4 juta), dengan agihan aset kepada sekuriti korporat dan sekuriti hutang terus meningkat pada tahun itu untuk mencakupi 49.9% (2004: 46.5%) daripada jumlah aset kumpulan wang insurans apabila strategi pelaburan yang lebih aktif diterima pakai oleh penanggung insurans untuk mengoptimumkan hasil pelaburan dan mengurangkan ketidakpadanan kematangan.
Insurans Hayat
- Perniagaan baru dalam sektor hayat hanya berkembang sedikit, iaitu sebanyak 0.6% (2004: 37.3%) pada tahun 2005, terutamanya disebabkan oleh pengurangan jualan baru bagi produk berkaitan pelaburan dengan modal dijamin oleh penanggung insurans hayat. Walau bagaimanapun, permintaan untuk produk perlindungan dan tabungan biasa kekal berdaya tahan dengan peningkatan aktiviti pemberian pinjaman bank yang berterusan pada tahun itu, di samping peningkatan dalam kesedaran orang ramai terhadap pendedahan risiko kewangan dan keperluan untuk membuat peruntukan yang mencukupi bagi keperluan kewangan semasa dan masa akan datang. Ini memberikan sokongan untuk perkembangan positif yang berterusan dalam premium yang dijana daripada produk insurans tabungan dan perlindungan, termasuk polisi insurans seumur hidup, endowmen, hayat sementara dan perubatan dan kesihatan.
- Sistem agihan bagi insurans hayat yang lebih pelbagai terus berkembang pada tahun 2005. Bankasurans kekal sebagai saluran agihan utama seiring dengan tenaga agensi, masing-masing mencakupi 45.3% dan 49.4% daripada jumlah perniagaan baru dalam sektor hayat. Pada tahun 2005, undang-undang yang membenarkan pengenalan penasihat kewangan juga telah diluluskan, yang meningkatkan lagi kepelbagaian dalam sistem agihan. Penasihat kewangan merupakan kategori pengantara insurans baru yang memiliki kelayakan profesional dengan kedudukan yang strategik dalam pasaran untuk memberi nasihat kepada pengguna mengenai rumusan kewangan yang lebih luas, termasuk insurans, bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.
- Meskipun pertumbuhan premium lebih perlahan dan pulangan pelaburan lebih lemah, sektor hayat terus mengekalkan keuntungan pada tahun 2005. Jumlah lebihan pendapatan atas perbelanjaan bagi tahun 2005 ialah sebanyak RM9,939.9 juta (2004: RM10,984.4 juta). Ini disokong oleh peningkatan kecekapan yang dicapai menerusi kos pengantaraan yang lebih rendah dan ekonomi ikut bidangan yang semakin meningkat yang diraih daripada strategi bankasurans. Walau bagaimanapun, keadaan pelaburan tetap mencabar bagi penanggung insurans hayat. Hasil pelaburan tidak termasuk keuntungan modal secara relatif kekal tidak berubah pada 5.7% (2004: 5.8%) bagi industri keseluruhan, manakala hasil pelaburan termasuk keuntungan modal menurun kepada 6.5% (2004: 8.4%) akibat kerugian modal yang ditanggung atas portfolio ekuiti penanggung insurans.
- Jumlah aset kumpulan wang insurans hayat terus berkembang pada kadar dua angka sebanyak 12.9% (2004: 15.9%) kepada RM78,753.4 juta pada tahun 2005. Pelaburan dalam sekuriti korporat dan sekuriti hutang meningkat kepada RM42,096.1 juta pada nilai buku, yang mencakupi 53.4% daripada jumlah aset kumpulan wang hayat. Pinjaman gadai janji meningkat untuk menjadi komponen yang lebih besar dalam aset kumpulan wang hayat, sebagai strategi pelaburan alternatif yang diterima pakai oleh sebilangan penanggung insurans untuk mengurangkan ketidakpadanan kematangan dan risiko pelaburan semula yang berkaitan dalam kumpulan wang hayat. Pelaburan dalam aset asing juga bertambah berikutan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing pada tahun 2005 yang memberi peluang yang lebih luas bagi penanggung insurans untuk meningkatkan hasil pelaburan dan mengakses pelaburan jangka lebih panjang daripada pasaran kewangan antarabangsa.
- Penembusan pasaran, yang diukur dari segi jumlah bilangan polisi insurans hayat berkuat kuasa kepada jumlah penduduk, terus meningkat dengan kukuh kepada 38.7% (2004: 37.9%). Industri insurans hayat juga terus memainkan peranan penting dalam menggembleng tabungan domestik, dengan nisbah pendapatan premium kepada tabungan negara kasar kekal pada kadar melebihi 9% (2005: 9.1%; 2004: 9.6%). Perubahan demografi yang membawa kepada bertambahnya bilangan penduduk yang semakin berumur akan terus merangsang permintaan terhadap insurans hayat sebagai alat perancangan kewangan, khususnya untuk memenuhi keperluan pembiayaan individu terhadap perbelanjaan perubatan dan semasa persaraan. Pada masa yang sama, kepelbagaian produk yang lebih meluas, pertambahan dalam saluran agihan alternatif dan langkah pengawalseliaan yang diambil untuk meningkatkan pulangan dan faedah kepada empunya polisi akan memperkukuh keadaan bagi industri insurans hayat untuk mengembangkan jangkauan pasarannya.
Insurans Am
- Sektor insurans am berkembang dengan kukuh pada tahun 2005. Pertumbuhan premium kasar mencapai 9.7% kepada RM9,386.1 juta, dengan premium yang lebih tinggi dicatat dalam semua kelas perniagaan sektor insurans am kecuali kelas semua risiko kontraktor (SRK) dan kejuruteraan. Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh jumlah premium insurans motor yang lebih tinggi yang meningkat 14.4% (2004: 6.8%). Ini merupakan pertumbuhan paling ketara sejak tahun 2000, ekoran peningkatan yang besar dalam jualan kenderaan bermotor pada tahun 2005. Pertumbuhan kukuh dalam premium insurans marin, udara dan transit (MUT) yang berkembang 15.3% (2004: -3.1%), sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor udara dan sektor berkaitan minyak luar pesisir, yang turut menaikkan pertumbuhan keseluruhan. Walau bagaimanapun, sektor insurans kebakaran, SRK dan kejuruteraan mencatat pertumbuhan lebih perlahan berikutan penurunan kadar premium yang berterusan bagi risiko kebakaran perindustrian dan aktiviti pembinaan yang lembab pada tahun 2005.
- Nisbah bendungan bersih keseluruhan industri meningkat bagi tahun kedua berturut-turut kepada 88.8% pada tahun 2005 (2004: 87.6%), disebabkan terutamanya oleh peningkatan jumlah perniagaan motor yang nyata kurang bergantung kepada sokongan insurans semula. Di peringkat institusi, nisbah bendungan yang dicatat oleh penanggung insurans individu juga bertambah baik dengan pengurangan selanjutnya dalam sisen sukarela kepada Malaysian Reinsurance Berhad sebagai sebahagian daripada langkah untuk menggalakkan pasaran insurans semula yang lebih kompetitif. Penanggung insurans am juga mempunyai lebih kecekapan modal dengan nisbah premium bersih kepada dana pemegang saham meningkat dengan ketara kepada 112.8% (2004: 99.7%) dan hasilnya semakin kurang bilangan penanggung insurans yang beroperasi di bawah paras optimum. Pada tahun 2005, usaha diteruskan untuk mempertingkatkan kapasiti domestik bagi menyerap bahagian risiko besar yang lebih tinggi, yang seterusnya akan mengurangkan pendedahan domestik kepada kitaran insurans global.
- Nisbah tuntutan keseluruhan menurun dengan ketara kepada 55.4% pada tahun 2005 (2004: 60.9%), dengan penurunan merangkumi semua kelas perniagaan insurans. Faktor penyumbang termasuk pendedahan kepada nilai diinsuranskan yang lebih kecil, pengurusan risiko yang bertambah baik dan langkah keselamatan yang disediakan oleh empunya risiko, serta disiplin pengunderaitan yang terus diamalkan oleh penanggung insurans. Pengalaman tuntutan yang lebih menggalakkan berserta pertumbuhan premium yang memberangsangkan pada tahun 2005 menyaksikan jumlah keuntungan pengunderaitan meningkat lebih sekali ganda kepada RM956.3 juta, atau 13.1% daripada pendapatan premium yang diperoleh (2004: RM464.6 juta atau 6.9% daripada premium yang diperoleh). Keuntungan kendalian seterusnya meningkat kepada RM1,524.4 juta, iaitu peningkatan sebanyak 29.3% berbanding dengan tahun 2004. Komponen teknikal keuntungan terus kukuh, dengan akaun pengunderaitan menyumbang bahagian keuntungan kendalian yang nyata lebih besar sebanyak 62.7% (2004: 39.4%).
- Prospek pertumbuhan masa depan industri insurans am dijangka kekal teguh pada tahun 2006 ekoran prospek ekonomi domestik yang positif, dan penstabilan serta jangkaan sedikit kenaikan dalam kadar premium bagi kelas perniagaan komersial tertentu berikutan kesan daripada kerugian akibat taufan di Amerika Syarikat pada tahun 2005.
Dasar dan Langkah untuk Mengukuhkan Industri Insurans
- Langkah-langkah dasar pada tahun 2005 tertumpu ke arah memperteguh daya tahan sektor insurans, mengembangkan pasaran yang lebih kompetitif dan menambah baik amalan pasaran. Kemajuan yang ketara juga dicapai dalam membangunkan rangka kerja berhemat dan rejim penyeliaan yang lebih mantap.
- Struktur industri insurans menjadi bertambah kompetitif pada tahun 2005 dengan kelulusan undang-undang pada bulan Oktober 2005 yang membenarkan pengenalan penasihat kewangan dalam industri insurans. Ini, berserta pertumbuhan perniagaan bankasurans yang berterusan akan menambah peluang bagi penanggung insurans yang lebih kecil untuk lebih terbabit dalam pasaran. Berikutan liberalisasi peraturan pentadbiran pertukaran asing, penanggung insurans hayat juga dibenarkan menjual polisi pendidikan dan polisi berkaitan pelaburan dalam denominasi mata wang asing, lantas menyediakan saluran tambahan bagi inovasi produk dan lebih kepelbagaian dalam pasaran.
- Bina upaya keinstitusian tetap menjadi keutamaan yang tinggi untuk memastikan penanggung insurans telah bersedia untuk menghadapi keadaan pasaran yang lebih kompetitif dan kemunculan dimensi risiko yang kompleks dalam industri. Dalam hal ini, penekanan terus diberikan kepada tadbir urus korporat yang mantap dengan diterajui oleh lembaga pengarah yang efektif, menggalakkan budaya pengurusan risiko dan kawalan dalaman yang kukuh di kalangan penanggung insurans serta mengukuhkan kebertanggungjawaban juruaudit dan aktuari dalam menyokong amalan kewangan berhemat dan penilaian yang boleh dipercayai. Dalam membangunkan kepakaran teknikal, tumpuan khusus turut diberikan untuk mengukuhkan keupayaan pengurusan pelaburan dalaman penanggung insurans dengan menghendaki peniaga (dealer) yang aktif bagi penanggung insurans mempunyai kelayakan yang sesuai serta tertakluk kepada tatacara profesional bagi operasi pasaran borong.
- Kesemua inisiatif itu menyumbang ke arah pengukuhan asas yang berhemat yang membolehkan Bank memperkenalkan langkah penyahkawalseliaan selanjutnya dalam bidang pengurusan pelaburan pada tahun 2005. Sebagai langkah memperbaik prestasi pelaburan dan menambah baik struktur aset liabiliti bagi kumpulan wang insurans hayat, penanggung insurans diberikan had pelaburan dalam kemudahan kredit (termasuk sekuriti hutang swasta) yang lebih tinggi bagi menyokong keperluan kesolvenan mereka. Kefleksibelan yang lebih luas juga diberikan kepada penanggung insurans untuk mempunyai portfolio pelaburan harta yang lebih pelbagai apabila pelaburan dalam dana harta tanah persendirian dan syarikat induk harta bermatlamat tunggal diambil kira sebagai aset diizinkan untuk tujuan kesolvenan. Bagi dana insurans berkaitan pelaburan, had yang lebih tinggi juga telah diberikan bagi pelaburan dalam aset asing, di samping kefleksibelan yang lebih luas bagi penanggung insurans untuk menyertai urus niaga derivatif bagi tujuan meningkatkan hasil pulangan dan melindung nilai pendedahan mata wang asing.
- Pendekatan pengawalseliaan yang lebih mantap berdasarkan penilaian risiko yang kukuh terus digunakan. Proses penilaian penyeliaan dan penarafan Bank terus diperhalusi bagi memberi lebih tumpuan kepada risiko yang khusus kepada sesebuah institusi di bawah pendekatan rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko yang diterima pakai pada tahun 2004. Pada masa yang sama, pelaksanaan rangka kerja modal berasaskan risiko bagi industri insurans mencapai lebih kemajuan dengan pengeluaran kertas konsep kedua yang menggariskan butir terperinci metodologi baru bagi penentuan keperluan kecukupan modal penanggung insurans, asas penilaian semakan bagi liabiliti insurans dan jangkaan penyeliaan berhubung dengan rangka kerja sokongan pengurusan risiko keinstitusian dan tadbir urus yang penanggung insurans perlu sediakan. Berdasarkan maklum balas dan keputusan kajian daripada industri, rangka kerja itu akan dimuktamadkan untuk pelaksanaan yang dijangka pada tahun 2008.
- Inisiatif untuk terus memperbaik amalan pasaran tertumpu pada menggalakkan layanan saksama terhadap pengguna dan menambah baik pendedahan mengenai produk. Sehubungan dengan ini, garis panduan perniagaan insurans berkaitan pelaburan serta perubatan dan kesihatan telah dikeluarkan untuk memperbaik ketelusan dalam jualan produk sedemikian dan meningkatkan manfaat kepada pengguna. Keperluan pendedahan yang meningkat juga telah diperkenalkan bagi produk insurans am. Untuk melengkapi inisiatif ini, program pendidikan pengguna InfoInsurans bagi sektor insurans dan takaful telah dipergiat untuk meningkatkan penonjolan dan jangkauan program ini, sementara saluran bagi pelbagai aktiviti program ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
- Dalam sektor insurans am, mekanisme keinstitusian terus diperkukuh untuk menyokong peralihan berperingkat-peringkat ke arah penyahkawalseliaan bagi penetapan harga serta memperbaik proses pengunderaitan dan tuntutan. ISM Insurance Services Malaysia Berhad, yang dahulunya merupakan sebuah unit di bawah Persatuan Insurans Am Malaysia, telah ditubuhkan sebagai sebuah entiti berasingan dan bebas pada bulan Februari 2005 untuk menyediakan statistik dan penanda aras kuantitatif, dan juga perkhidmatan teknologi maklumat dan penyelidikan serta pembangunan kepada penanggung insurans am dan pengendali takaful. Industri insurans am juga berjaya melancarkan Pangkalan Data Penilaian Kenderaaan Bebas pada tahun 2005 untuk menjadi pusat rujukan rasmi bagi mendapatkan nilai kereta penumpang yang objektif, untuk menentukan jumlah diinsuranskan semasa pembelian perlindungan dan jumlah pampasan semasa penyelesaian tuntutan.
- Melangkah ke hadapan, langkah-langkah dasar pada tahun 2006 akan terus membina dan memperteguh asas kukuh yang telah diwujudkan apabila langkah ke arah penyahkawalseliaan dan liberalisasi selanjutnya menjadi lebih giat di bawah fasa kedua dan ketiga Pelan Induk Sektor Kewangan. Penekanan khusus akan diberikan untuk memastikan peralihan yang teratur kepada rejim modal dan pelaporan kewangan yang baru, memperkukuh lagi insentif bagi amalan kewangan dan perniagaan yang baik, di samping menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif lagi berkesan yang menggalakkan daya saing dan daya tahan keinstitusian dan industri. Sementara pelarasan yang diterajui pasaran akan berterusan sejauh yang mungkin, Bank akan terus meningkatkan keupayaan pemantauan dan pengawasannya untuk memastikan pelarasan ini tidak akan menjejaskan kestabilan pasaran atau melemahkan keyakinan orang ramai terhadap sektor insurans.
Lihat Juga: Laporan Tahunan Insurans 2005 (Buku)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!