Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2005

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1902 pada Isnin, 7 Ogos 2006
07 Ogo 2006 Siaran Akhbar

Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan mengeluarkan Laporan Tahunan PKS 2005 yang pertama hari ini. Penerbitan laporan ini, yang akan dikeluarkan setiap tahun, merupakan inisiatif penting Majlis untuk meningkatkan penyebaran maklumat tentang PKS di Malaysia. Laporan ini memberi tinjauan mengenai status dan prestasi PKS serta menekankan program-program utama yang dilaksanakan oleh Kerajaan sepanjang tahun dalam menggalakkan pembangunan PKS.

Laporan Tahunan PKS 2005 ini menekankan perkara-perkara berikut:

A. Perspektif Makro

Agenda Nasional untuk Pembangunan PKS

Sektor PKS yang kukuh dan dinamik akan merangsang ekonomi dan menyumbang kepada pencapaian pelbagai matlamat pembangunan ekonomi. Sebagai mengiktiraf sumbangan besar PKS kepada ekonomi negara, strategi dan inisiatif untuk menggalakkan pembangunan PKS merupakan ciri penting dalam semua rancangan pembangunan ekonomi Kerajaan sejak beberapa tahun yang lalu. Sepanjang dekad baru-baru ini, dasar yang jelas untuk mempercepat pembangunan PKS telah dirangka melalui strategi khusus yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Kedua, Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan.

Secara umum, strategi untuk menggalakkan pembangunan PKS dirumus berdasarkan persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah dan mencabar. Penekanan diberikan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan PKS, dan mempertingkatkan aksesnya kepada pembiayaan. Keutamaan diberikan kepada pengukuhan daya saing PKS, terutamanya melalui penggunaan teknologi yang lebih luas serta mempertingkat kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja PKS.

Untuk meningkatkan lagi peranan Kerajaan, serta bagi mencapai tahap penyelarasan dan tumpuan dalam pembangunan PKS yang lebih baik, Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan telah ditubuhkan pada bulan Jun 2004. Penubuhan Majlis, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, merupakan komitmen tertinggi Kerajaan dalam menggalakkan pembangunan PKS. Majlis memberi hala tuju dasar Kerajaan untuk memastikan program sokongan yang mencukupi tersedia dan ia diselaraskan dan dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu PKS.

Status dan Prestasi PKS

Banci Pertubuhan dan Enterpris atas perusahaan perniagaan dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan di seluruh negara telah dijalankan pada tahun 2005. Penilaian awalan berdasarkan 523,132 pertubuhan perniagaan yang telah memberi maklum balas menunjukkan bahawa 99.2% atau 518,996 daripada pertubuhan perniagaan itu ialah PKS, dengan 411, 849 ialah perusahaan mikro.

  • Sebahagian besar daripada PKS (86.5% atau 449,004) adalah dalam sektor perkhidmatan, terlibat terutamanya dalam perniagaan runcit, restoran, borong, pengangkutan dan komunikasi serta perkhidmatan profesional.  
  • Sebanyak 37,866 atau 7.3% daripada PKS adalah dalam sektor perkilangan, terutamanya dalam industri pakaian dan tekstil, keluaran logam dan mineral, dan makanan dan minuman.  
  • Sebanyak 32,126 atau 6.2% daripada PKS adalah dalam sektor pertanian, kebanyakannya dalam industri tanaman untuk makanan, keluaran untuk pasaran dan hortikultur, dan ternakan.

Hasil Banci mengesahkan bahawa PKS merupakan sumber pekerjaan utama, dengan menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada 3 juta orang atau 65.1% daripada jumlah guna tenaga dalam pertubuhan perniagaan dalam Banci.

  • Sejumlah 2.2 juta pekerja diambil bekerja oleh PKS dalam sektor perkhidmatan, manakala 740,000 dan 131,000 pekerja masing-masing diambil bekerja dalam sektor perkilangan dan pertanian.

Dari segi sumbangan PKS kepada ekonomi negara, PKS menjana RM154 bilion atau 47.3% daripada jumlah nilai ditambah dan RM405 bilion atau 43.5% daripada keluaran pada tahun 2003. Banci juga menunjukkan bahawa 4,255 PKS mengeksport barangan dan perkhidmatan mereka, yang berjumlah RM38 bilion pada tahun 2003. Tahap produktiviti PKS ternyata lebih rendah berbanding dengan produktiviti perusahaan besar, dengan mencatat nilai ditambah bagi setiap pertubuhan sebanyak RM0.3 juta berbanding dengan sebanyak RM41 juta bagi perusahaan besar.

Hanya 2,747 perusahaan perniagaan melabur dalam R&D, dengan 2,355 daripadanya ialah PKS. PKS melabur RM2 bilion daripada jumlah sebanyak RM4.3 bilion yang dilaburkan dalam R&D oleh pertubuhan perniagaan dalam Banci. Kurang 10% daripada PKS terlibat dalam aktiviti pemasaran dan promosi.

Banci juga menunjukkan bahawa 84% daripada PKS bergantung pada dana sendiri atau dana penjanaan dalaman dan dana yang diperoleh daripada sahabat handai dan ahli keluarga, manakala 16% mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan. Sebaliknya, 50% daripada perusahaan besar bergantung pada institusi kewangan. Daripada 523,132 pertubuhan perniagaan dalam Banci, 54,011 PKS menyatakan mereka sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan disebabkan terutamanya oleh kekurangan cagaran.

B. Inisiatif Utama untuk Menggalakkan Pembangunan PKS

Kerajaan, melalui pelbagai Kementerian dan Agensi telah mengambil pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong pembangunan PKS. Ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan ke arah meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara. Sehubungan dengan ini, pendekatan yang holistik dan komprehensif sedang diambil, merangkumi tiga teras strategik umum iaitu pengukuhan infrastruktur yang membolehkan pembangunan PKS; pembinaan kapasiti dan keupayaan PKS; dan peningkatan akses kepada pembiayaan.

Memperkukuh Infrastruktur untuk Pembangunan PKS

Salah satu daripada keutamaan strategik Kerajaan adalah untuk membangunkan dan memperkukuh infrastruktur yang diperlukan untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan PKS dan usahawan.

Inisiatif dalam aspek ini merangkumi pembangunan dan peningkatan infrastruktur fizikal dan pengurusan maklumat serta memastikan peraturan dan keperluan operasi adalah kondusif kepada pembangunan PKS. Pencapaian penting dalam memperkukuh infrastruktur ialah pengenalan definisi PKS yang sama oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan pada tahun 2005. Dengan adanya definisi yang sama, ini akan memudahkan pengumpulan dan penyusunan data PKS untuk tujuan penilaian dan perumusan dasar. Majlis juga telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pangkalan Data PKS Kebangsaan untuk memenuhi keperluan maklumat oleh industri dan penggubal dasar. Untuk memperkukuh perumusan dasar dan pemantauan, Majlis telah meluluskan penggunaan Rangka Kerja Perumusan Dasar dan Penilaian PKS.

Penubuhan beberapa portal dan direktori perniagaan dalam talian seperti portal SMEinfo, FAMAXchange, Agribazaar dan Portal HRD (portal latihan) merupakan inisiatif penting untuk mempermudah dan meningkatkan jangkauan penyebaran maklumat.

  • Portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my) telah dilancarkan pada bulan Januari 2006 untuk menyediakan sumber maklumat setempat untuk PKS. Antara maklumat yang terdapat dalam Portal ini ialah maklumat terperinci mengenai program Kerajaan, sumber pembiayaan dan khidmat nasihat. Portal ini juga mempunyai Direktori Perniagaan PKS dalam talian, yang menyediakan platform kepada PKS untuk mengiklankan syarikat dan produk mereka.  
  • AgriBazaar (www.agribazaar.com.my) ialah satu sistem internet untuk petani, pengeluar, peruncit dan pengeksport untuk berinteraksi dan menjalankan perdagangan mereka secara dalam talian. Ia menyediakan maklumat perniagaan termasuk data mengenai bekalan baru, maklum balas berhubung dengan bekalan, sebut harga, perkhidmatan logistik, pengurusan inventori, unjuran pasaran dan pengurusan pembayaran. Oleh itu, PKS yang menggunakan AgriBazaar boleh mendapatkan harga terbaik bagi produk mereka, mempunyai akses yang lebih luas kepada pasaran dan dengan itu mengembangkan perniagaan mereka.

Satu perkembangan penting ialah penubuhan Institut Keusahawanan Nasional (INSKEN) pada bulan Januari 2005 yang bertujuan mewujudkan dan membangunkan usahawan bertaraf dunia. Seperti yang dihasratkan, INSKEN bukan semata-mata sebuah institut latihan, malahan selain menjalankan kursus latihan perniagaan yang relevan, INSKEN akan secara aktif menyediakan data dan penyelidikan pasaran untuk menyokong usahawan dan menyediakan perkhidmatan pakar runding.

Meningkatkan Kapasiti dan Keupayaan PKS

Peningkatan kapasiti dan keupayaan PKS merupakan teras strategik kedua pembangunan PKS dalam memperkuat daya saing dan daya tahan PKS. Bagi membantu PKS membina kapasiti dan keupayaan, bantuan dan program-program Kerajaan tertumpu pada tujuh bidang umum, iaitu pemasaran dan promosi; latihan dan pembangunan sumber manusia; khidmat nasihat; pembangunan usahawan; pembangunan teknologi; pembangunan produk; dan kesedaran dan jangkauan (outreach).

Pemasaran dan Promosi

Kerajaan menyediakan sokongan kewangan dan bukan kewangan untuk meningkatkan keupayaan pemasaran dan promosi PKS, dengan bantuan meliputi bidang seperti aktiviti promosi langsung, usaha pembangunan jenama dan francais serta rantaian dengan syarikat besar.

Untuk membantu PKS mengembangkan pasaran, beberapa program telah disediakan, termasuk Geran Pembangunan Pasaran (skim geran padanan untuk menampung kos promosi produk PKS ke luar negara), Program Rangkaian Perindustrian (satu program untuk menghubungkan PKS dengan syarikat besar dan multinasional) dan Program Pengembangan Pasaran Tempatan (untuk menghubungkan syarikat ICT Bumiputera dengan syarikat berkaitan Kerajaan).

Satu bidang penting adalah untuk membantu PKS dalam penjenamaan dan pembungkusan produk. Program utama termasuk "Geran untuk Mempertingkatkan Keupayaan Pembungkusan, Rekaan dan Pelabelan Produk PKS", Geran Promosi Jenama dan jenama Malaysia's Best untuk produk pertanian.

Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia

Satu inisiatif penting untuk membantu PKS melatih pekerja mereka dan meningkatkan kemahiran ialah pelantikan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi menyelaraskan dan mengawasi latihan dan pembangunan sumber manusia untuk PKS. PSMB juga mengurus Tabung Pembangunan Sumber Manusia dan menawarkan beberapa skim khususnya bagi menggalakkan PKS melatih pekerja mereka. PSMB juga telah melancarkan Portal HRD (www.hrdportal.com.my), iaitu satu pusat sumber latihan dalam talian untuk majikan, pekerja dan penyedia latihan.

Khidmat Nasihat

Agensi kerajaan menyediakan pelbagai khidmat nasihat kepada PKS, pada umumnya dalam bidang pengurusan perniagaan dan kewangan, dan khidmat nasihat teknikal.

Bank Negara Malaysia menawarkan khidmat nasihat kewangan yang menyeluruh kepada PKS, melalui Laman Informasi, Nasihat dan Khidmat (LINK) serta unit khusus bagi mengendalikan aduan dan pertanyaan PKS. Bank Negara Malaysia juga membantu PKS menstruktur semula hutang tidak berbayar mereka melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil.

SMIDEC menawarkan khidmat nasihat kepada PKS termasuk melalui Panel Penasihat Pakar PKS, yang bertujuan untuk menyediakan bantuan teknikal supaya PKS boleh meningkatkan kecekapan, produktiviti dan keupayaan teknologi mereka.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan khidmat nasihat teknikal berhubung dengan standard dan persijilan, dalam usaha membantu PKS memenuhi standard antarabangsa.

Pembangunan Usahawan

Sokongan Kerajaan bagi pembangunan keusahawanan adalah dalam bentuk program yang dirangka khusus bagi menyediakan infrastruktur supaya lebih mudah bagi usahawan menceburi bidang perniagaan, menanam semangat keusahawanan dan mendidik bakal usahawan.

Program utama untuk membangunkan usahawan termasuk Program Pembangunan Vendor, Program Pembangunan Francais dan Program Groom Big.

Terdapat juga beberapa program pembangunan usahawan ICT seperti Program Pembangunan Penerokaan, Program Pembangunan Usahawan ICT Bumiputera dan Program Pembangunan Inkubasi Nasional.

Pembangunan Teknologi

Untuk memudahkan dan membantu PKS memperbaik operasi mereka, Kerajaan menyediakan program sokongan kewangan dan bukan kewangan untuk menggalakkan PKS menerap teknologi lebih maju di samping menambah baik proses keseluruhan melalui penggunaan kaedah khusus untuk sistem dan proses perniagaan yang cekap.

Bagi memudahkan PKS meningkatkan kemampuan teknologi mereka, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyediakan "Geran untuk Pembaikan Produk dan Proses" dan "Pinjaman Mudah untuk Penerapan ICT". Di samping itu, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia mengurus Tabung Pemerolehan Teknologi.

Pembangunan Produk

Beberapa program disediakan untuk menggalakkan PKS terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi memperbaik kualiti produk mereka. Antara program itu ialah Program Penambahbaikan oleh SMIDEC, Skim Geran Penyelidikan dan Pembangunan Industri (ditadbir oleh MOSTI) dan Dana Pengkomersialan R&D (oleh MTDC).

Kerajaan memperkenalkan Geran Pembangunan dan Promosi Produk Halal pada tahun 2005, ekoran daripada peluang yang semakin bertambah yang tersedia untuk produk halal. Geran ini, yang ditadbir oleh SMIDEC, menyediakan bantuan kepada syarikat tempatan yang berusaha menyediakan, membangunkan atau meningkatkan produk halal dan juga dalam mendapatkan pensijilan dan standard kualiti yang berkaitan.

Kesedaran dan Jangkauan

Pelbagai saluran digunakan untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan tahap kesedaran dan jangkauan program-program Kerajaan.

Antara pameran utama ialah:

  • SMIDEX 2005;
  • Pameran Halal Antarabangsa Malaysia; dan
  • Gerak Usahawan.

Portal maklumat termasuk:

Program pengiktirafan termasuk:

  • Anugerah Enterprise 50; dan
  • Anugerah ICT Asia Pacific.

Akses kepada Pembiayaan bagi PKS

Infrastruktur kewangan yang dibangunkan dengan baik yang mampu memenuhi keperluan pembiayaan PKS yang pelbagai penting untuk menyokong daya saing dan pertumbuhan PKS yang berterusan.

Prestasi Pemberian Pinjaman kepada PKS

PKS boleh mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai jenis institusi kewangan, termasuk institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan, syarikat pemajakan dan pemfaktoran, serta syarikat modal usaha niaga. Untuk melengkapkan institusi kewangan, Kerajaan juga telah menyediakan dana khas bagi PKS.

Institusi perbankan ialah pembekal utama dana kepada PKS. Jumlah pinjaman PKS terkumpul berkembang pada kadar tahunan 6.5% sejak tahun 2001, untuk mencapai RM96 bilion atau 42.6% daripada pinjaman perniagaan terkumpul pada akhir tahun 2005. Pembiayaan yang diluluskan oleh institusi perbankan kepada PKS antara tahun 2002 hingga 2005 secara puratanya berjumlah RM31.2 bilion setahun, sementara pengeluaran pinjaman kepada PKS berpurata pada RM86.9 bilion setahun. Pada tahun 2005, sistem perbankan meluluskan pembiayaan sebanyak RM35.8 bilion kepada lebih daripada 85,000 akaun PKS, manakala pengeluaran pinjaman kepada PKS berjumlah RM110.7 bilion. Dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2006, sistem perbankan meluluskan pembiayaan sebanyak RM13.5 bilion kepada kira-kira 30,000 akaun PKS, manakala pengeluaran pinjaman adalah sebanyak RM48.2 bilion. Jumlah pinjaman PKS terkumpul meningkat 12.4% kepada RM101.7 bilion pada akhir bulan Mei 2006.

Institusi kewangan pembangunan (IKP) yang menyediakan pembiayaan kepada PKS termasuk SME Bank, EXIM Bank, MIDF dan Bank Pertanian serta Bank Pembangunan untuk syarikat berteknologi tinggi dan ICT. Pada tahun 2005, IKP telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.3 bilion kepada lebih 5,000 akaun PKS. Dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2006, IKP meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.3 bilion kepada kira-kira 2,300 akaun PKS.

Pada akhir tahun 2005, terdapat 81 dana/skim pembiayaan Kerajaan untuk PKS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.7 bilion. Daripada 81 dana/skim pembiayaan ini, 49 adalah dalam bentuk pinjaman mudah, manakala selebihnya dalam bentuk geran (20), pembiayaan ekuiti dan dana modal usaha niaga (12). Selain itu, Bank Negara Malaysia menyediakan lima dana khas untuk PKS dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion.

Inisiatif Utama untuk Meningkatkan Akses kepada Pembiayaan bagi PKS

Inisiatif utama termasuk:

  • penubuhan SME Bank pada bulan Oktober 2005;
  • transformasi Credit Guarantee Corporation;
  • pengukuhan Bank Pertanian;
  • penubuhan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil;
  • pengenalan dua produk pembiayaan perdagangan baru iaitu pembiayaan perdagangan pelbagai mata wang dan skim pembiayaan pengeksport tidak langsung; dan
  • pewujudan dua dana modal usaha niaga untuk sektor pertanian

C. Melangkah ke Hadapan - Strategi untuk Pembangunan PKS

Rangka Tindakan Pembangunan PKS Kebangsaan 2006, iaitu pelan tindakan setahun yang dilancarkan pada bulan Disember 2005, menggariskan hala tuju pembangunan PKS pada tahun 2006. Di dalamnya terkandung matlamat, strategi dan sasaran bagi pembangunan PKS pada tahun 2006, program utama dan komitmen kewangan dan Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam pelaksanaan program-program ini. Pada tahun 2006, sejumlah 245 program utama yang melibatkan RM3.9 bilion telah dikenal pasti untuk pelaksanaan.

Selaras dengan matlamat untuk mempertingkatkan daya saing negara dan daya tahan ekonomi, keutamaan penting pembangunan PKS yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) adalah untuk membangunkan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan yang dilengkapi dengan keupayaan teknikal dan inovasi yang mantap di samping kemahiran pengurusan perniagaan yang utuh. Usaha pembangunan PKS oleh Kerajaan sepanjang tempoh RMKe-9 akan tertumpu pada pengukuhan kapasiti dan keupayaan PKS bagi membolehkan inovasi, pengeluaran produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif dan integrasi dalam rantaian bekalan antarabangsa.

Penekanan bagi PKS dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan berkaitan perkilangan (PBP) adalah pada peningkatan dan transformasi perusahaan perniagaan menjadi entiti intensif pengetahuan dan penjanaan nilai yang kukuh, dengan peruntukan berjumlah RM2.2 bilion disediakan bagi tujuan ini. Inisiatif untuk membangunkan sektor perkilangan dan PBP selanjutnya termasuk mewujudkan Tabung Pembangunan Sektor Perkhidmatan untuk PKS bagi membantu bakal usahawan meningkatkan kemahiran teknikal dan profesional mereka. Di samping itu, Dana Pelaburan Strategik bernilai RM600 juta akan diwujudkan bagi menarik pelaburan berkualiti dalam projek yang intensif pengetahuan, penjimatan buruh dan mempunyai kandungan teknologi tinggi. Bagi PKS dalam sektor PBP, pinjaman mudah sebanyak RM220 juta juga akan diperuntukkan kepada usahawan bagi pembelian jentera dan peralatan baru untuk tujuan pengembangan. Bagi menyokong PKS dengan menyediakan tapak perindustrian pada kadar yang lebih kompetitif, peruntukan sebanyak RM927.5 juta akan disediakan kepada pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan dalam bentuk pinjaman mudah. Peruntukan sebanyak RM833 juta juga akan disediakan bagi membina premis perniagaan dan ruang pejabat untuk PKS.

Bagi PKS dalam sektor pertanian dan asas tani, usaha akan tertumpu pada pembangunan "Pertanian Baru", yang melibatkan peluasan kepada perladangan komersial berskala besar, mengusahakan aktiviti pertanian berkualiti dan nilai ditambah yang tinggi, serta memanfaatkan potensi dalam bioteknologi dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion untuk tempoh lima tahun. Inisiatif untuk membangunkan usahawan pertanian termasuk latihan khas, kemudahan kredit dan bantuan teknikal kepada usahawan pertanian Bumiputera di samping peneroka FELDA dan peserta projek pembangunan tanah yang lain.

Memandangkan lebih daripada 85% daripada PKS dalam negara terlibat dalam perdagangan borong dan runcit, usaha bersepadu juga akan diambil untuk menyediakan infrastruktur sokongan yang komprehensif bagi PKS dalam perdagangan edaran. Ini termasuk persediaan premis perniagaan dan perkhidmatan berkaitan, serta pengukuhan kemahiran pengurusan dan teknikal.

Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
7 Ogos 2006

Lihat Juga: Penerbitan Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2005


Bank Negara Malaysia
07 Ogos 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?