Laporan Tahunan PKS 2006

Embargo: Untuk siaran segera
13 Sep 2007 Siaran Akhbar

PKS - Peningkatan Sumbangan kepada Ekonomi

Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2006 dilancarkan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini selepas mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) ke-7. Penerbitan tahunan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MPPK untuk meningkatkan lagi penyebaran maklumat kepada PKS di Malaysia.

Pada pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, "Laporan tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha terfokus untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS mengenai pelbagai perkhidmatan Kerajaan yang disediakan. Kita perlu memastikan PKS menggunakan insentif dan program Kerajaan dengan sepenuhnya yang diwujudkan khas untuk mempertingkatkan keupayaan kita untuk bersaing pada peringkat serantau dan global."

Laporan tahun ini, yang berhasrat menjadi lebih mesra PKS, memuatkan pengenalan kajian kes PKS yang mempamerkan kejayaan PKS yang telah memanfaatkan program dan insentif Kerajaan.

Laporan Tahunan PKS 2006 dibahagikan kepada empat bahagian utama. Bahagian pertama adalah mengenai tinjauan keseluruhan perubahan persekitaran ekonomi domestik dan antarabangsa, dan peluang yang tersedia untuk PKS di Malaysia. Bahagian kedua pula merupakan ringkasan Agenda Nasional untuk Pembangunan PKS, berserta petikan berkaitan Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga. Bahagian ketiga memaparkan program utama Kerajaan yang dilaksanakan pada tahun 2006 untuk menggalakkan pembangunan PKS. Bahagian ini juga mengandungi ringkasan tentang apa yang PKS boleh harapkan pada tahun 2007 dan yang digariskan dalam Rangka Tindakan 2007. Rangka Tindakan ini merupakan inisiatif utama MPPK yang dimulakan pada tahun 2005 untuk memantau dan mengukur prestasi program Kerajaan, yang dirangka dan disasarkan untuk pembangunan PKS. Bahagian terakhir memperkenalkan perkara baharu kepada Laporan Tahunan PKS dengan memberikan pengetahuan kepada PKS tentang bidang pertumbuhan strategik yang telah dikenal pasti Kerajaan sebagai sumber berpotensi bagi pertumbuhan ekonomi dan kekayaan. Bahagian ini juga mempunyai maklumat tentang kaedah yang digunakan oleh Kerajaan untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan, infrastruktur fizikal dan insentif bagi menggalakkan penyertaan PKS dalam bidang ini.

Peranan penting sektor PKS dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sememangnya diakui. Meskipun PKS mencakupi 99.2% daripada jumlah pertubuhan perniagaan, sektor PKS hanya menyumbang 32% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) benar dan 19% daripada jumlah eksport. Oleh itu, terdapat peluang yang amat luas untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi domestik. Sehubungan dengan itu, MPPK telah menetapkan beberapa sasaran prestasi untuk sektor PKS. Sasaran ini termasuk meningkatkan sumbangan PKS kepada KDNK sehingga 37%, bahagiannya kepada jumlah eksport sebanyak 22%, dan bagi sektor PKS memberikan pekerjaan kepada lebih daripada 6.2 juta pekerja menjelang tahun 2010. Dengan itu, program dan inisiatif Kerajaan untuk pembangunan PKS akan diperhebat dengan program yang lebih terfokus dan khusus pada tahun 2007. Sebanyak 189 program sedang dilaksanakan dan disokong oleh komitmen kewangan sebanyak RM3.7 bilion pada tahun 2007.

Perdana Menteri menambah, "PKS membentuk bahagian ekonomi yang dinamik dan penting. Pembangunan berterusan sektor PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan merupakan komponen penting matlamat Kerajaan untuk mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang dan taraf hidup yang lebih tinggi untuk setiap lapisan masyarakat."

Tumpuan Terhadap Bina Upaya

Pada tahun 2006, usaha telah diperhebat untuk melaksanakan strategi bina upaya merentas semua sektor, dengan tumpuan tambahan terhadap pembangunan keusahawanan, penggalakan kesedaran pasaran, peningkatan kesediaan untuk mengeksport dan penggalakan usaha pemasaran secara bergabung dalam kalangan PKS. Program utama yang dilaksanakan pada tahun 2006 termasuk Pameran SMIDEX 2006, Persidangan PKS ASEAN+3, Program Promosi Pasar Raya Besar, dan penubuhan Jawatankuasa Pemasaran PKS dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Memanfaatkan Ekonomi Ikut Bidangan

Persekitaran mesra perniagaan berserta rangka kerja pengawalseliaan dan keinstitusian yang menyokong yang membolehkan aktiviti keusahawanan berkembang maju tetap menjadi keutamaan Kerajaan. Pada tahun 2006, inisiatif khusus telah dilaksanakan dalam semua bidang utama termasuk membangunkan dan mempertingkatkan infrastruktur fizikal dan pengurusan maklumat.

Sebagai contoh, kilang dan bengkel telah disediakan untuk PKS bagi menyokong pertumbuhan keusahawanan dan perniagaan kecil di luar bandar terutamanya premis perniagaan. Bagi membantu PKS menaiki rantaian nilai, pengelompokan ini mempertemukan PKS pelbagai saiz dan menyediakan persekitaran yang diperlukan untuk pindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan pembangunan pasaran.

Peningkatan Akses kepada Pembiayaan

Laporan Tahunan PKS 2006 juga menghuraikan secara terperinci usaha yang diambil untuk meningkatkan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan bagi PKS memandangkan keperluan sektor PKS yang amat berbagai-bagai dan dinamik. Pelbagai jenis dan jumlah pembiayaan yang tersedia untuk PKS telah bertambah dengan ketara. Langkah-langkah baharu yang diadakan merangkumi produk seperti Skim Penambah Baik Kredit Credit Guarantee Corporation (CGC), yang bercirikan struktur penentuan harga berlaras risiko bagi membolehkan lebih banyak PKS mendapat manfaat penentuan harga bersaingan daripada jaminan CGC, dan pelancaran Dana Perangsang Pertumbuhan PKS sebanyak RM1 bilion bagi membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka. Pembiayaan mikro juga semakin meningkat dengan pelbagai skim pembiayaan kini disediakan oleh institusi kewangan dan agensi Kerajaan untuk perusahaan mikro.

Sehingga kini, hasil yang menggalakkan telah dapat dilihat melalui inisiatif untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS. Pada tahun 2006, pinjaman berjumlah RM46.5 bilion telah diluluskan kepada lebih daripada 102,000 akaun PKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan. Pada tahun 2007, institusi kewangan ini dijangka meluluskan pinjaman berjumlah RM51 bilion kepada kira-kira 110,000 akaun PKS.

Institusi perbankan terus menjadi penyedia dana utama untuk PKS, dengan pinjaman yang diluluskan sebanyak RM40.2 bilion kepada lebih daripada 83,000 akaun PKS. Yang penting ialah trend pinjaman kepada PKS daripada institusi perbankan telah meningkat daripada 31.3% daripada jumlah pinjaman perniagaan pada tahun 2000 kepada 44.5% pada tahun 2006. Jumlah terkumpul pinjaman PKS bagi institusi perbankan mencecah paras RM100 bilion pada tahun 2006. Bagi tujuh bulan pertama tahun 2007, institusi perbankan meluluskan pinjaman sebanyak RM30.6 bilion kepada kira-kira 62,900 akaun PKS.

Penjana Pertumbuhan Baharu

Laporan Tahunan PKS 2006 juga memperkukuh iltizam Kerajaan terhadap PKS. Laporan ini memperincikan bidang pertumbuhan baharu dan juga bantuan dan infrastruktur yang tersedia bagi menyokong PKS. Salah satu bidang itu ialah industri Halal. Dengan perdagangan Halal dianggarkan sebanyak USD2.1 trilion, produk Halal mempunyai potensi yang amat besar di peringkat global. Potensi ini telah diperakui oleh Kerajaan Malaysia dalam persediaannya untuk menjadi Hab Halal antarabangsa menjelang tahun 2010. Bidang pertumbuhan utama lain yang dipaparkan termasuk industri francais yang kian berkembang dan trend semasa perkhidmatan perkongsian dan penggunaan perkhidmatan pihak ketiga.

Membantu Menyerlahkan Potensi

Seperti yang dipaparkan dalam Laporan Tahunan 2006, inisiatif Kerajaan untuk memupuk pertumbuhan perniagaan dan budaya keusahawanan akan terus membantu perniagaan baharu dan PKS sedia ada berkembang mencapai tahap potensi maksimumnya sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

"Bagi menuai hasil daripada globalisasi, PKS perlu berusaha untuk bersaing bersama-sama peserta global lain dalam menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang bersaingan. Komitmen Kerajaan tetap jitu dan bantuan telah tersedia untuk memastikan PKS menggunakan peluang itu sebaik-baiknya untuk berjaya. Kini hanya PKS yang dapat menolong dirinya sendiri," menurut Perdana Menteri.

Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
Bank Negara Malaysia
13 September 2007

 

Lihat Juga: Penerbitan Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2006

 


Bank Negara Malaysia
13 September 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?