Laporan Tahunan Takaful 2000
Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Laporan Tahunan Insurans 2000 dan Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 2000 pada hari ini.
Laporan Tahunan Insurans 2000 memberi ulasan mengenai pentadbiran Akta Insurans 1996 dan prestasi serta perkembangan industri insurans Malaysia sepanjang tahun 1999 dan 2000. Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 2000 pula menerangkan operasi perniagaan takaful (insurans secara Islam) sepanjang tahun 1999 dan 2000 dan mengulas secara ringkas pentadbiran Akta Takaful 1984.
Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful
24. Industri takaful meneruskan momentum pertumbuhannya pada tahun 2000 dengan petunjuk-petunjuk perniagaan utama mencatatkan kadar pertumbuhan dua digit yang lebih tinggi. Jumlah caruman sektor takaful keluarga dan am meningkat sebanyak 30.5% (1999: 24%) kepada RM444.7 juta, yang mana 71.5% daripada caruman tersebut dijana oleh sektor takaful keluarga. Jumlah aset kumpulan wang takaful meningkat sebanyak 40.1% (1998: 50.4%) untuk mencapai RM1,168.2 juta.
Takaful Keluarga
Sektor takaful keluarga mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2000 dengan caruman takaful baru meningkat sebanyak 80.8% (1999: 29.6%) kepada RM279.5 juta. Sejumlah 163,492 sijil takaful baru telah dikeluarkan pada tahun 2000 yang kebanyakannya terdiri daripada pelan takaful keluarga perseorangan dan pelan takaful keluarga gadai janji. Peningkatan ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan individu terhadap faedah-faedah takaful. Caruman baru pelan takaful berkumpulan mencatatkan kadar pertumbuhan paling tinggi iaitu 393% kepada RM49.3 juta pada tahun 2000 dan ini menunjukkan bahawa kedudukan ekonomi yang bertambah baik berupaya meningkatkan kemampuan majikan untuk menyediakan perlindungan takaful berkumpulan kepada pekerja mereka. Perniagaan berkuatkuasa sektor takaful keluarga terus berkembang pada tahun 2000 dengan bilangan sijil takaful berkuatkuasa meningkat sebanyak 57.4% (1999: 73.7%) kepada 439,822 sijil manakala jumlah penyertaan dan caruman takaful berkuatkuasa masing-masing meningkat sebanyak 34.3% dan 49.5% kepada RM25,568.2 juta dan RM596.7 juta. Dari segi jumlah penyertaan berkuatkuasa, pelan takaful berkumpulan dan pelan takaful gadai janji terus menguasai dengan bahagian masing-masing sebanyak 44.2% (1999: 49.7%) dan 42.6% (1999: 40.1%).
Jumlah pendapatan kumpulan wang takaful keluarga meningkat sebanyak 32.7% (1999: 36.8%) kepada RM351.4 juta pada tahun 2000 sementara jumlah perbelanjaan meningkat sebanyak 45.8% (1999: 41.7%) kepada RM87.6 juta. Ini telah menghasilkan lebihan pendapatan ke atas wang keluar sebanyak RM263.8 juta pada tahun 2000 dan merupakan 75.1% daripada jumlah pendapatan kumpulan wang takaful keluarga pada tahun 2000. Dari segi jumlah aset kumpulan wang takaful keluarga, ia telah meningkat sebanyak 44.4% kepada RM877.1 juta pada tahun 2000.
Takaful Am
Setelah mencatatkan pertumbuhan yang sederhana pada tahun sebelumnya, sektor takaful am meningkatkan momentum pertumbuhannya pada tahun 2000 dengan caruman kasar meningkat sebanyak 23.9% (1999: 16.5%) kepada RM177 juta. Sejajar dengan pertumbuhan yang lebih kukuh, semua sektor perniagaan takaful am mencatatkan sekurang-kurangnya pertumbuhan dua angka. Sektor MUT mencatatkan pertumbuhan paling kukuh sebanyak 353.3% kepada RM6.8 juta pada tahun 2000. Ini diikuti oleh sektor kebakaran yang mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 24.6% (1999: 22.4%) dan terus kekal sebagai sektor dominan. Sektor takaful motor meningkat pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 20.1% berikutan prestasi yang lebih baik dalam penjualan kenderaan bermotor pada tahun 2000 selepas mengalami pertumbuhan yang perlahan sebanyak 9% pada tahun 1999. Nisbah bendungan bersih industri takaful am merosot sedikit iaitu daripada 75.5% pada tahun 1999 kepada 71.7% pada tahun 2000. Dari segi tuntutan, nisbah tuntutan keseluruhan industri takaful telah merosot secara sederhana daripada 38.1% pada tahun 1999 kepada 38.6% pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, industri takaful am berupaya mengekalkan prestasi pengunderaitannya yang baik dengan mencatatkan lebihan pengunderaitan sebanyak RM59.6 juta yang merupakan peningkatan 10% daripada lebihan pengunderaitan sebanyak RM54.2 juta pada tahun 1999. Dari segi aset pula, kumpulan wang takaful am mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 28.2% untuk mencapai RM291.1 juta pada tahun 2000.
Perkembangan dalam Industri Takaful
Dalam tahun kajian, Kod Tatasusila (Kod) bagi Pengendali Takaful telah dilaksanakan. Kod tersebut telah digubal dengan kerjasama BIMB Institute of Research and Training Sdn. Bhd. (BIRT) hasil perundingan dengan dua pengendali takaful. Sehubungan dengan itu, satu Jawatankuasa Industri Takaful dan Jawatankuasa Disiplin telah ditubuhkan untuk mengawalselia aspek pematuhan Kod serta mengendalikan sebarang pelanggaran Kod tersebut. Pelaksanaan Kod tersebut diharap dapat meningkatkan lagi mutu tadbir urus korporat di kalangan pengendali takaful di samping mewujudkan wadah untuk mereka bekerjasama demi menggalakkan perniagaan takaful dengan lebih berkesan.
Dalam tahun kajian, pengendali takaful meneruskan usaha mereka untuk membangunkan dan menggalakkan perniagaan takaful dengan menganjurkan program-program latihan untuk kakitangan dan ejen mereka bagi memasarkan produk takaful. Pengendali takaful juga telah menyertai gabungan strategik dengan institusi kewangan dan koperasi dalam usaha untuk menyediakan saluran tambahan bagi memasarkan produk-produk takaful. Beberapa produk baru telah diperkenalkan pada tahun kajian dan produk baru yang paling menonjol adalah Skim Anuiti Takaful Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau SATK. Di bawah SATK, pencarum boleh mengeluarkan caruman KWSP mereka untuk membeli produk anuiti daripada pengendali takaful. Setakat ini, sambutan orang ramai terhadap SATK adalah menggalakkan.
Persidangan Tahunan Keenam Kumpulan Takaful ASEAN (KTA) telah diadakan di Labuan pada 9 - 10 Oktober 2000 sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk dan meningkatkan persefahaman dan kerjasama di kalangan pengendali takaful dan takaful semula di negara anggota ASEAN. Asean Retakaful International Limited (ARIL) telah menjadi tuan rumah bagi persidangan tersebut. Dalam usaha untuk mencapai objektif menjadikan ARIL sebuah syarikat takaful semula yang bermodal besar di rantau ini, ARIL telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah negara termasuk Iran, Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Bangladesh untuk mendapatkan sokongan dari segi perniagaan takaful semula. Sambutan daripada negara-negara dan pengendali takaful asing tersebut dari segi sokongan takaful semula untuk ARIL menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Pengendali takaful Malaysia juga terus memberikan bantuan teknikal dan sokongan kepada pelbagai pihak dalam usaha mereka untuk memperkembangkan perniagaan takaful di rantau ini serta di arena antarabangsa. Usaha-usaha serius telah diambil untuk mengenalpasti kedayamajuan mengadakan usaha sama dan perkongsian pengetahuan dengan pihak-pihak di Asia dan Timur Tengah. Satu pengendali takaful telah menyumbangkan bantuan teknikal kepada sebuah syarikat takaful di Singapura untuk menawarkan produk takaful am bagi memenuhi keperluan penduduk Islam di Singapura. Projek D-8 bagi takaful juga telah menampakkan kemajuan, yang mana dua pengendali takaful baru telah ditubuhkan di Bangladesh. Perkembangan ini adalah selaras dengan resolusi bengkel takaful semula untuk negara-negara ahli D-8 yang telah diadakan di Kuala Lumpur dalam bulan Jun 1999. Di Timur Tengah, pengendali takaful Malaysia terus berusaha mengeratkan hubungan dengan institusi-institusi kewangan Islam di Qatar, Arab Saudi dan Bahrain.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, industri takaful telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan pada tahun kajian. Walau bagaimanapun, bahagiannya masih amat kecil dibandingkan dengan insurans konvensional. Oleh itu, di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan, strategi khusus telah digariskan untuk memajukan lagi perniagaan takaful dan meningkatkan tahap penembusan pasarannya supaya kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam serantau akan terus kukuh.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.