Laporan Tahunan Takaful 2001

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Isnin, 11 Mac 2002
11 Mac 2002 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Takaful 2001 hari ini. Maklumat lanjut mengenai Bank Negara Malaysia dan penerbitannya boleh didapati di .

Laporan Tahunan Ketua Pengarah Takaful 2001 memberi ulasan tentang prestasi dan perkembangan industri takaful di Malaysia yang terdiri daripada dua pengendali iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Takaful Nasional Sdn. Berhad (TNSB) sepanjang tahun 2000/2001, dan pentadbiran Akta Takaful 1984 (Akta) oleh BNM.

Industri takaful meneruskan momentum pertumbuhannya pada tahun 2001 dengan petunjuk-petunjuk utama perniagaan mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi. Jumlah caruman disatukan bagi sektor takaful keluarga dan takaful am meningkat sebanyak 229.5% (2000: 30.5%) kepada RM1,465.5 juta, yang mana 89.1% daripada caruman tersebut dijana oleh sektor takaful keluarga. Jumlah aset kumpulan wang takaful meningkat sebanyak 106.0% (2000: 40.1%) kepada RM2,407 juta.

Takaful Keluarga

Sektor takaful keluarga mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2001 dengan caruman takaful baru berkembang sebanyak 367.4% (2000: 80.8%) kepada RM1,306.4 juta. Sejumlah 221,868 sijil takaful keluarga baru telah dikeluarkan pada tahun 2001 dan merupakan pertambahan sebanyak 35.7% (2000: 163,492 sijil). Permintaan yang tinggi terhadap Skim Anuiti Takaful Keluarga (SATK) bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan perkembangan positif yang utama dalam perniagaan takaful keluarga, yang mana skim anuiti menguasai 67.4% daripada jumlah caruman baru dan 10.1% daripada jumlah penyertaan. Pelan takaful gadai janji turut mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan peningkatan 21.3% dalam bilangan sijil baru. Namun begitu, penguasaannya dari segi jumlah caruman takaful baru menurun kepada 22.3% pada tahun 2001 (2000: 58.6%). Dalam pada itu, pelan takaful perseorangan berjangka mencatatkan pertumbuhan negatif dari segi jumlah caruman baru dan penyertaan.

Perniagaan berkuatkuasa sektor takaful keluarga terus berkembang pada tahun 2001. Bilangan sijil takaful berkuatkuasa meningkat sebanyak 47.5% (2000: 57.4%) kepada 648,654 sijil manakala jumlah penyertaan dan caruman takaful berkuatkuasa masing-masing meningkat sebanyak 46.6% dan 184.6% kepada RM37,492 juta dan RM1,698.5 juta. Dari segi jumlah penyertaan berkuatkuasa pula, peratusan pelan takaful gadai janji dan pelan takaful berkumpulan kekal tinggi dengan merangkumi bahagian masing-masing sebanyak 38.3% (2000: 42.6%) dan 36.7% (2000: 44.2%).

Jumlah pendapatan kumpulan wang takaful keluarga meningkat dengan ketara sebanyak 286.8% (2000: 32.7%) kepada RM1,359.1 juta pada tahun 2001 sementara jumlah perbelanjaan bertambah sebanyak 55.7% (2000: 45.8%) kepada RM136.4 juta. Kesannya, terdapat lebihan pendapatan yang besar ke atas wang keluar sebanyak RM1,222.7 juta pada tahun 2001 dan ini merupakan 90.0% daripada jumlah pendapatan kumpulan wang takaful keluarga pada tahun 2001. Jumlah aset kumpulan wang takaful keluarga telah meningkat sebanyak 132.5% kepada RM2,039.6 juta pada tahun 2001.

Takaful Am

Perniagaan takaful am meneruskan momentum pertumbuhan yang sederhana pada tahun 2001 dengan jumlah caruman kasar meningkat sebanyak 28.6% (2000: 23.9%) kepada RM227.7 juta Peningkatan perniagaan adalah daripada subsektor pelbagai yang terdiri daripada kemalangan perseorangan, pampasan pekerja, liabiliti dan kemalangan pelbagai. Dalam pada itu, marin, udara dan transit (MUT) mencatatkan satu penurunan pertumbuhan yang mendadak kepada 11.2% pada tahun 2001 berbanding dengan kadar pertumbuhan 353.3% pada tahun sebelumnya. Dari segi pengagihan portfolio, perniagaan takaful kebakaran terus menjadi sektor yang dominan buat tahun ketiga berturut-turut sejak tahun 1999 dengan merangkumi 41.9% daripada jumlah caruman kasar takaful am.

Nisbah bendungan bersih industri takaful am menurun sedikit iaitu daripada 71.7% pada tahun 2000 kepada 69.9% pada tahun 2001. Tuntutan kumpulan wang takaful am pada keseluruhannya juga turut merosot berikutan peningkatan dalam nisbah tuntutan daripada 38.6% pada tahun 2000 kepada 41.5% pada tahun 2001. Walau bagaimanapun, industri takaful am berupaya mengekalkan prestasi baik pengunderaitan dengan mencatatkan lebihan sebanyak RM70.7 juta daripada RM59.6 juta pada tahun 2000 yang merupakan peningkatan 18.6% (2000:10%). Dari segi aset pula, kumpulan wang takaful am mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 26.2% untuk mencapai jumlah RM367.4 juta pada tahun 2001.

Walaupun industri takaful telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan di sepanjang tahun 2001, pengendali takaful perlu meneruskan usaha mereka dalam membangunkan dan meningkatkan kemampuan mereka, terutamanya dari segi inovasi produk bagi meningkatkan lagi tahap penembusan pasaran.

Lihat juga: Laporan Tahunan Takaful 2001


Bank Negara Malaysia
11 Mac 2002

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?