Laporan Tahunan Takaful 2002
Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Takaful 2002 hari ini.
Laporan Tahunan Takaful 2002 meninjau prestasi dan perkembangan industri takaful di Malaysia serta melaporkan pentadbiran Akta Takaful 1984 oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2002.
Tahap penguasaan pasaran industri takaful terus meningkat dengan mencakupi 5.6% (2001: 4.8%) bahagian caruman sektor insurans (jumlah industri takaful dan insurans) hasil daripada pertumbuhan caruman gabungan perniagaan takaful keluarga dan takaful am sebanyak 27.0% daripada RM787.6 juta kepada RM1,000.2 juta1 pada tahun 2002. Perniagaan takaful keluarga yang menguasai 66.7% daripada jumlah keseluruhan caruman kekal sebagai sumber pendapatan utama industri takaful. Penembusan pasaran bagi perniagaan takaful keluarga (jumlah sijil berkuat kuasa dibahagi dengan jumlah penduduk) juga meningkat daripada 3.2% kepada 3.8%. Jumlah aset kumpulan wang takaful terus meningkat sebanyak 20.1% daripada RM3,019.5 juta kepada RM3,626.9 juta, mencakupi 5.2% (2001: 4.8%) daripada jumlah keseluruhan aset kumpulan wang sektor insurans. Memandang ke hadapan, potensi pertumbuhan industri takaful terus positif dengan kemasukan pengendali takaful baru.
Takaful Keluarga
Daripada segi jumlah caruman perniagaan baru, pelan-pelan perniagaan takaful keluarga, kecuali pelan takaful anuiti, mencatatkan pertumbuhan keseluruhan sebanyak 22.6% daripada RM368.8 juta kepada RM452.2 juta pada tahun 2002. Jumlah penyertaan daripada perniagaan baru ini turut meningkat sebanyak 10.6% kepada RM14,174.8 juta. Sejumlah 237,037 sijil takaful keluarga baru telah dikeluarkan pada tahun 2002 dan ini merupakan pertambahan bilangan sijil sebanyak 15.1% (2001: 205,873 sijil). Prestasi pelan takaful anuiti yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh skim anuiti (SATK) yang diperkenalkan untuk pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah terjejas setelah skim tersebut diberhentikan pada bulan Mei 2001.
Pertumbuhan perniagaan baru telah menyumbang ke arah peningkatan perniagaan berkuat kuasa bagi takaful keluarga pada tahun 2002. Bilangan sijil takaful berkuat kuasa telah meningkat sebanyak 20.9% kepada 932,212 sijil. Jumlah penyertaan bertambah sebanyak 10.4% kepada RM53,625.9 juta, sementara caruman mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 4.3% kepada RM2,105.8 juta. Daripada segi agihan jumlah penyertaan berkuat kuasa, pelan takaful gadai janji terus menguasai dengan 44.5% bahagian.
Perniagaan takaful keluarga mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM809.1 juta pada tahun 2002 dengan jumlah caruman diperoleh mencatatkan pertumbuhan (tidak termasuk SATK) sebanyak 28.9%. Jumlah perbelanjaan yang ditanggung oleh kumpulan wang takaful keluarga meningkat sebanyak 40.3% kepada RM294.8 juta. Lantaran ini, lebihan pendapatan ke atas wang keluar bagi perniagaan takaful keluarga sebelum dipindahkan kepada dana pemegang saham dan kumpulan wang peserta takaful keluarga mencatatkan jumlah RM514.3 juta. Pada akhir tahun 2002, aset kumpulan wang takaful keluarga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 19.6% daripada RM2,644.7 juta kepada RM3,162.8 juta.
Takaful Am
Perniagaan takaful am terus berkembang dengan jumlah caruman kasar meningkat sebanyak 24.7% daripada RM266.8 juta kepada RM332.7 juta pada tahun 2002. Dalam tahun kajian, jumlah caruman kasar bagi sektor kebakaran telah meningkat sebanyak 28.9% berikutan pemerolehan satu akaun risiko besar oleh satu pengendali takaful. Di samping itu, terdapat peningkatan dalam bilangan syarikat korporat besar yang mengambil perlindungan kebakaran daripada pengendali takaful. Agihan perniagaan takaful am pada tahun 2002 adalah sama dengan tahun sebelumnya dengan sektor kebakaran terus menguasai jumlah keseluruhan caruman kasar dengan 44.9% bahagian.
Pada tahun 2002, nisbah bendungan secara keseluruhannya telah menurun daripada 67.6% kepada 66.8% berikutan peningkatan sisen bagi tujuan lindung nilai daripada pendedahan risiko besar, terutamanya daripada sektor kebakaran. Pengalaman tuntutan industri pada tahun 2002 secara keseluruhannya telah merosot dengan peningkatan nisbah tuntutan kepada 54.4% disebabkan oleh pertambahan tuntutan yang direkod oleh sektor-sektor kebakaran dan motor. Nisbah tuntutan sektor kebakaran meningkat kepada 23.3% berbanding dengan 15.1% pada tahun sebelumnya manakala nisbah tuntutan motor meningkat kepada 65.4% daripada 49.1% pada tahun 2001. Kemerosotan nisbah tuntutan motor sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kes kecurian kenderaan. Pihak industri sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan kes-kes kecurian. Peningkatan nisbah tuntutan pada tahun 2002 telah menjejaskan sebahagian besar margin pengunderaitan yang direkodkan oleh pengendali takaful yang telah merosot kepada 36.4% berbanding dengan 43.4% pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, aset kumpulan wang takaful am terus menunjukkan peningkatan sebanyak 23.8% daripada RM374.8 juta kepada RM464.1 juta pada tahun 2002.
Pembangunan dan Langkah-langkah untuk Mengukuhkan Industri
Sepanjang tahun 2002, Bank Negara Malaysia dan pengendali takaful telah meneruskan usaha untuk menjadikan industri takaful sebagai satu industri yang cekap dan progresif seperti yang dihasratkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan. Usaha-usaha ini ditumpukan ke arah pembangunan prasarana kewangan, peningkatan kemampuan institusi serta pembangunan produk dan pasaran. Pada bulan Mei 2002, satu pengendali takaful baru telah didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984. Bank Negara Malaysia juga telah meluluskan pendaftaran satu lagi pengendali takaful, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., untuk menjalankan perniagaan takaful berkuat kuasa mulai 21 April 2003. Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysian National Reinsurance Berhad, sebuah penanggung insurans semula berlesen, merupakan pengendali takaful keempat beroperasi di dalam negara. Kemasukan kedua-dua pengendali takaful baru ini yang merupakan subsidiari kepada institusi-institusi kewangan yang mempunyai kedudukan kewangan dan modal berbayar yang kukuh akan meningkatkan persaingan pasaran dan mempercepatkan perkembangan perniagaan takaful dalam menjadikan industri takaful satu komponen penting dalam sistem kewangan.
Pada tahun 2002, Bank Negara Malaysia telah menghendaki pengendali takaful menjalankan ujian tekanan ke atas prestasi kewangan mereka. Ianya dijalankan bagi mengenal pasti pada peringkat awal sebarang punca yang boleh menjejaskan prestasi kewangan pengendali takaful serta memastikan setiap masalah dapat dikenal pasti terlebih dahulu. Selain itu, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan program tanda aras yang merangkumi pelbagai aspek operasi takaful seperti daya tahan kewangan, prestasi kewangan dan produktiviti. Ianya bertujuan untuk membantu pengendali takaful mengenal pasti tahap kecekapan dan daya saing mereka serta meningkatkan prestasi dan menghasilkan yang terbaik.
Tahun yang sama juga menyaksikan penubuhan persatuan mandatori bagi pengendali takaful iaitu Persatuan Takaful Malaysia (Malaysian Takaful Association). Penubuhan persatuan ini dijangka dapat membantu dalam penyeragaman amalan pasaran di kalangan pengendali takaful di samping berperanan sebagai landasan rasmi untuk mewakili kepentingan pengendali takaful.
Sepanjang tahun kajian, pengendali takaful telah meneruskan usaha untuk mempromosikan perniagaan takaful serta mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan mereka. Pengendali takaful juga giat memperkenalkan produk takaful yang lebih berinovasi bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat dan berbeza. Di samping itu, pengendali takaful terus berusaha mempertingkatkan profesionalisme tenaga kerja industri takaful melalui usaha sama dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) bagi mengendalikan program latihan dalam bidang pembangunan manusia dan etika kerja Islam.
Di peringkat antarabangsa, IBFIM dengan kerjasama sebuah syarikat takaful baru yang berpusat di Bangladesh telah menganjurkan "Sidang Kemuncak Antarabangsa Takaful" di Dhaka. Di samping itu, melalui landasan Kumpulan Lapan (D-8), IBFIM telah menganjurkan "Konvensyen Takaful untuk Negara-negara Anggota D-8 dan Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC)" di Kuala Lumpur. Tujuan konvensyen ini adalah untuk melaksanakan pemindahan pengetahuan teknikal dan kepakaran di kalangan negara-negara anggota D-8 dan OIC serta membincangkan isu-isu semasa yang berhubung dengan amalan takaful dan takaful semula di persekitaran perdagangan global. Selaras dengan perkembangan perniagaan takaful di peringkat global, ASEAN Retakaful International (L) Ltd. (ARIL) meneruskan usaha bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pengendali takaful semula yang utama bagi negara-negara anggota D-8. Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya, ARIL telah mengambil langkah untuk meningkatkan modal berbayarnya yang dijangka akan selesai sepenuhnya pada bulan Julai 2003. Selain daripada itu, ARIL juga telah memperolehi lesen bagi mengendalikan perniagaan takaful luar pesisir daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan. Perkembangan positif yang ditunjukkan oleh ARIL ini akan dapat membantu membangunkan aktiviti perkhidmatan kewangan Islam di Labuan dan mempromosikan Labuan sebagai pusat tumpuan bagi perkhidmatan kewangan Islam.
Nota : 1 Gabungan caruman tidak termasuk skim anuiti (SATK) yang diperkenalkan untuk pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang diberhentikan pada bulan Mei 2001
Lihat juga : Laporan Tahunan Takaful 2002
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.