Laporan Tahunan Takaful 2003

Embargo: Untuk siaran segera
21 Apr 2004 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia menerbitkan Laporan Tahunan Takaful 2003 pada hari ini.

Laporan Tahunan Takaful 2003

Laporan Tahunan Takaful 2003 melaporkan tinjauan prestasi dan perkembangan industri takaful Malaysia dan pentadbiran Akta Takaful 1984 oleh Bank Negara Malaysia sepanjang 2003.

Industri takaful mempamerkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2003. Gabungan caruman takaful keluarga dan am meningkat 14.0% kepada RM1,040.0 juta dengan tahap penguasaan pasaran industri takaful merangkumi 5.4% (2002: 5.3%) daripada caruman sektor insurans (jumlah industri takaful dan insurans). Jumlah aset kumpulan wang takaful turut bertambah sebanyak 22.1% kepada RM4,429.1 juta, yang merangkumi 5.6% (2002: 5.3%) bahagian sektor insurans. Beberapa pelan takaful baru dilancarkan oleh pengendali takaful sepanjang tahun dalam usaha menambah kepelbagaian produk. Di samping itu, produk-produk sedia ada dikaji semula bagi memastikan manfaat yang ditawarkan mampu mengekalkan daya saingnya. Industri takaful berada di posisi kukuh untuk terus berkembang, Selaras dengan persekitaran prestasi ekonomi yang dijangka lebih kukuh bagi tahun 2004, .

Takaful Keluarga

Perniagaan takaful keluarga yang merangkumi 75.2% bahagian jumlah caruman kekal sebagai penjana utama pendapatan industri takaful. Caruman perniagaan baru mencatatkan peningkatan sebanyak 13.0% kepada RM511.0 juta. Peningkatan ini sebahagian besarnya dijana oleh takaful individu gadai janji berikutan meningkatnya pembiayaan perumahan oleh institusi kewangan Islam dan peruntukan pembiayaan perumahan secara Islam oleh Kerajaan kepada kakitangan awam. Pertumbuhan caruman perniagaan baru yang memberangsangkan dicatat oleh pelan takaful anuiti dan ianya dijangka terus meningkat selaras dengan perubahan demografi ke arah pertambahan warga emas. Pelan takaful berkaitan pelaburan yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 menjana RM3.2 juta caruman perniagaan baru. Caruman baru yang disumbangkan oleh pengendali takaful baru bagi tahun 2003 adalah sebanyak RM38.7 juta, merangkumi 7.6% daripada jumlah caruman baru takaful keluarga.

Jadual 1: Agihan Perniagaan Baru Mengikut Pelan
Caruman
RM juta
% perubahan
% bahagian
 
2002
2003
2003
2002
2003
Keluarga Biasa
451.3
502.9
11.4
99.8
98.4

Individu

412.2
452.8
9.8
91.2
88.6

Kumpulan

39.1
50.1
28.3
8.6
9.8
Anuiti1
0.9
4.9
444.1
0.2
1.0
Berkaitan Pelaburan
-
3.2
-
-
0.6
Jumlah
452.2
511.0
13.0
100.0
100.0
1 Tidak termasuk SATK


Jumlah penyertaan baru meningkat 29.3% kepada RM18,330.0 juta sementara jumlah sijil takaful yang dikeluarkan meningkat 11.8% kepada 265,035 sijil. Tahap penembusan pasaran bagi perniagaan takaful keluarga yang diukur berdasarkan jumlah sijil berkuat kuasa dibahagi dengan jumlah penduduk turut meningkat daripada 3.8% kepada 4.5%.

Lebihan pendapatan atas wang keluar meningkat 18.5% kepada RM609.7 juta. Jumlah pendapatan bagi perniagaan takaful keluarga meningkat 21.3% berbanding penurunan 39.6% pada tahun 2002. Peningkatan ini didorong oleh pertambahan caruman perniagaan, pulangan pelaburan yang baik dan untung daripada pelupusan sekuriti. Jumlah wang keluar kumpulan wang takaful keluarga turut meningkat tetapi pada kadar lebih rendah, iaitu 26.2% (2002: 38.8%), yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pembayaran manfaat sijil bersih dan perbelanjaan pengurusan berikutan pemasukan perbelanjaan yang ditanggung oleh dana pemegang saham.

Takaful Am

Pada tahun 2003, perniagaan takaful am terus berkembang dengan caruman kasar meningkat 21.1% kepada RM403.0 juta. Walaupun jualan kenderaan merosot 6.9% pada tahun 2003, sektor motor mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 17.8% kepada RM120.4 juta. Ini merupakan hasil usaha pemasaran secara intensif bagi menjana lebih banyak perniagaan dengan penumpuan kepada peniaga francais dan pihak berkuasa tempatan. Sektor kebakaran yang menguasai 41.5% bahagian jumlah caruman kasar mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 11.8% (2002: 28.9%) berikutan dasar pengunderaitan yang ketat yang dilaksanakan sepanjang tahun. Pertumbuhan tertinggi dicatatkan dalam sektor marin, udara dan transit dengan meningkatnya penyertaan perjanjian insurans bersama dan kadar caruman yang tinggi. Walau bagaimanapun, peratusan caruman kasar sektor marin, udara dan transit kekal kecil iaitu sebanyak 8.6%. Nisbah bendungan keseluruhan menurun kepada 62.4% berbanding 66.8% pada tahun 2002 berikutan peningkatan sisen bagi risiko-risiko besar dalam sektor kebakaran dan sektor marin, udara dan transit.

Jadual 2: Agihan Caruman Kasar Mengikut Sektor
Caruman
RM juta
% perubahan
% bahagian
 
2002
2003
2003
2002
2003
Marin, Udara & Transit
20.9
34.9
66.8
6.3
8.6
Kebakaran
149.5
167.2
11.8
44.9
41.5
Motor
102.2
120.4
17.8
30.8
29.9
Pelbagai
60.0
80.5
34.1
18.0
20.0
Semua Sektor
332.7
403.0
21.1
100.0
100.0


Jumlah tuntutan kasar dibayar pada tahun 2003 adalah sebanyak RM104.1 juta. Nisbah tuntutan bersih menurun kepada 37.3% berbanding 54.4% pada tahun lalu, yang sebahagiannya disebabkan oleh penilaian semula peruntukan tuntutan bagi subsektor motor 'lain-lain'. Bagi sektor kebakaran, nisbah tuntutan menurun disebabkan oleh pelaksanaan dasar pengunderaitan yang lebih ketat. Keuntungan pengunderaitan meningkat 2.8% kepada RM74.6 juta berikutan peningkatan caruman dan penurunan dalam kos tuntutan tertanggung.

Perkembangan dan Langkah Pengukuhan Industri

Bank Negara Malaysia melaksanakan beberapa inisiatif pada tahun 2003 ke arah membangunkan industri takaful yang cekap dan progresif seperti yang dihasratkan dalam Pelan Induk Sektor Kewangan. Usaha yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia tertumpu kepada peningkatan kemampuan institusi dan kecekapan pengendalian industri takaful. Ini termasuklah peningkatan modal berbayar minimum pengendali takaful daripada RM35 juta kepada RM100 juta, berkuat kuasa 31 Disember 2004. Modal yang lebih kukuh ini menyokong perkembangan perniagaan takaful dan memperbaiki ketahanan kewangan mereka.

Sepanjang tahun ini beberapa garis panduan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi mempertingkat kecekapan dalam menangani tuntutan sektor am, menggalakkan amalan yang adil dan mempertingkat pendedahan dan ketelusan dalam memasarkan produk takaful sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat tahap profesionalisme dalam industri. Penyertaan pengendali takaful dalam Perjanjian Sesama Selesai menunjukkan komitmen industri takaful dalam menyeragamkan dan mempercepat proses tuntutan pihak ketiga bagi industri takaful dan insurans. Ini disokong pula oleh usaha meningkatkan ketelusan dan kesedaran pengguna mengenai produk takaful melalui penganjuran Minggu Perbankan Islam dan Takaful bagi kali yang kedua dan Program Pendidikan Pengguna mengenai insurans dan takaful yang dikenali sebagai 'InsuransInfo', iaitu kerjasama Bank Negara Malaysia dan industri.

Bank Negara Malaysia turut memperkenalkan beberapa langkah bagi memperkukuh rangka kerja perundangan dan Syariah industri takaful. Salah satu langkah yang diambil adalah penubuhan Jawatankuasa Kajian Semula Undang-undang yang bertanggungjawab mengkaji semula undang-undang urus niaga komersil sedia ada bagi melicinkan pelaksanaan urus niaga kewangan yang berlandaskan prinsip Syariah. Perkembangan lain termasuklah pembentukan sebuah Mahkamah Tinggi di bawah Bahagian Komersil Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar kes-kes muamalat dan memperkukuh peranan dan fungsi Majlis Penasihat Syariah (MPS) menerusi pindaan ke atas Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan Akta Takaful 1984. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan memperkukuh asas-asas untuk merealisasikan potensi industri ini.

 

Lihat Juga: Laporan Tahunan Takaful 2003 (Buku)

 


Bank Negara Malaysia
21 April 2004

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?