Laporan Tahunan Takaful 2004
Laporan Tahunan Takaful 2004 memberikan tinjauan mengenai prestasi dan perkembangan industri takaful Malaysia serta pentadbiran Akta Takaful 1984 oleh Bank Negara Malaysia sepanjang tahun 2004.
Industri takaful terus berkembang pada tahun 2004 sejajar dengan pengembangan aktiviti ekonomi dalam negeri. Jumlah caruman perniagaan takaful keluarga dan am bertambah 10.8% kepada RM1.1 bilion dengan bahagian pasaran industri takaful mencakupi 5.1% (2003: 5.4%) daripada caruman sektor insurans (industri takaful dan insurans disatukan). Jumlah aset kumpulan wang takaful turut berkembang 13.5% kepada RM5 bilion, yang mencakupi bahagian sebanyak 5.6% (2003: 5.6%) daripada bahagian sektor insurans. Pada tahun 2004, beberapa perkembangan positif terus mempengaruhi pertumbuhan masa hadapan sektor takaful di Malaysia. Ini termasuk pelaksanaan perlindungan takaful mandatori bagi pembiayaan secara Islam dengan kos perlindungan merupakan sebahagian daripada pakej pembiayaan. Selain itu, semua pengendali takaful telah menyempurnakan usaha penambahan modal kepada minimum RM100 juta, yang dijangka memperbaik kapasiti pengunderaitan pengendali takaful dan menghasilkan lebih banyak pelancaran produk baru.
Takaful Keluarga
Perniagaan takaful keluarga terus mendominasi industri takaful dengan mencakupi bahagian sebanyak 70.7% daripada jumlah caruman. Caruman perniagaan baru mencatat pertumbuhan sebanyak 18.1% kepada RM603.7 juta. Sebahagian besar daripada peningkatan ini dijana oleh pelan takaful gadai janji, didorong oleh peningkatan pemberian pembiayaan gadai janji oleh institusi kewangan Islam. Sejak diperkenalkan pada tahun 2003, pelan takaful berkaitan pelaburan telah mencatat pertumbuhan yang ketara sebanyak 197.5%. Ini memperlihatkan potensi besar bagi pelan ini untuk terus berkembang bagi memenuhi keperluan pengguna dalam pelaburan yang mematuhi kehendak Syariah.
Jadual 1: Agihan Perniagaan Baru mengikut Pelan
|
Caruman
|
RM juta
|
%perubahan
|
%bahagian
|
|||
|
2003
|
2004
|
2004
|
2003
|
2004
|
||
| Keluarga Biasa |
502.9
|
592.4
|
17.8
|
98.4
|
98.1
|
|
|
452.8
|
485.0
|
7.1
|
88.6
|
80.3
|
|
|
50.1
|
107.4
|
114.5
|
9.8
|
17.8
|
|
| Anuiti1 |
4.9
|
1.9
|
-62.0
|
1.0
|
0.3
|
|
| Berkaitan Pelaburan |
3.2
|
9.4
|
197.5
|
0.6
|
1.6
|
|
| Jumlah |
511.0
|
603.7
|
18.1
|
100.0
|
100.0
|
|
| 1 Tidak termasuk skim anuiti yang diperkenalkan khusus untuk pencarun KWSP | ||||||
Jumlah penyertaan bagi perniagaan baru meningkat dengan ketara sebanyak 98.9% kepada RM36.5 bilion manakala jumlah sijil takaful yang dikeluarkan meningkat 9.6% kepada 290,538 sijil. Penembusan pasaran bagi perniagaan takaful keluarga, yang diukur berdasarkan bilangan sijil berkuat kuasa dibahagi dengan jumlah penduduk, meningkat daripada 4.5% kepada 5.1%.
Pertumbuhan jumlah pendapatan bagi perniagaan takaful keluarga meningkat sebanyak 6.1% kepada RM1 bilion pada tahun 2004, berikutan pertumbuhan pendapatan pelaburan bersih daripada penempatan deposit serta kadar hasil bon Islam yang lebih rendah. Sebaliknya, jumlah perbelanjaan bagi kumpulan wang takaful keluarga bertambah 64.5% kepada RM591.2 juta disebabkan sebahagian besar oleh peruntukan yang tinggi bagi pembiayaan tidak berbayar dan pengurangan nilai sekuriti. Hasilnya, lebihan pendapatan berbanding dengan perbelanjaan ialah sebanyak RM437.3 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.5% berbanding dengan tahun 2003.
Takaful Am
Perniagaan takaful am terus berkembang pada tahun 2004 dengan jumlah caruman kasar meningkat 22.2% kepada RM492.5 juta. Sektor kebakaran dan motor terus mendominasi portfolio perniagaan takaful am dengan masing-masing mencakupi bahagian sebanyak 37.8% dan 30.4% daripada jumlah caruman kasar. Sektor marin, udara dan transit terus berkembang dengan pertumbuhan caruman kasar yang ketara sebanyak 115.3% pada tahun 2004. Nisbah bendungan keseluruhan menurun sedikit kepada 80.7% berbanding dengan 81.1% pada tahun 2003 berikutan kapasiti pengendali takaful yang terhad bagi membendung perniagaan marin, udara dan transit.
Jadual 2: Agihan Caruman Kasar mengikut Sektor
|
Caruman
Kasar |
RM juta
|
%perubahan
|
%bahagian
|
||
|
2003
|
2004
|
2004
|
2003
|
2004
|
|
| Marin, Udara & Transit |
35.0
|
75.4
|
115.3
|
8.6
|
15.3
|
| Kebakaran |
167.2
|
186.2
|
11.4
|
41.5
|
37.8
|
| Motor |
120.4
|
149.8
|
24.4
|
29.9
|
30.4
|
| Pelbagai |
80.4
|
81.1
|
0.8
|
20.0
|
16.5
|
| Semua Sektor |
403.0
|
492.5
|
21.1
|
100.0
|
100.0
|
Jumlah tuntutan kasar dibayar meningkat 11.5% kepada 116 juta. Sebanyak 21.7% atau RM25.2 juta daripada jumlah tuntutan kasar dibayar ditanggung oleh syarikat takaful semula dan insurans semula di bawah pengaturan takaful semula. Pengalaman tuntutan industri takaful meningkat 41.2% disebabkan terutamanya pertambahan peruntukan bagi tuntutan belum dibayar bagi sektor kebakaran serta tuntutan bersih dibayar yang lebih tinggi bagi sektor motor. Kumpulan wang takaful am turut mengalami penurunan dalam keuntungan pengunderaitan sebanyak RM68.7 juta berikutan peningkatan perbelanjaan pengunderaitan yang dicatat pada tahun 2004.
Perkembangan dan Langkah Memperkukuh Industri
Pada tahun 2004, Bank Negara Malaysia meneruskan usaha untuk memperkukuh lagi infrastruktur keseluruhan yang menyokong pembangunan industri takaful yang berdaya tahan dan mantap. Tumpuan diberikan pada peningkatan infrastruktur keinstitusian, rangka kerja pengawalseliaan dan kehematan infrastruktur Syariah dan perundangan, di samping perlindungan dan kesedaran pengguna. Beberapa garis panduan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bagi mengukuhkan keberkesanan lembaga pengarah dan pengurusan kanan dalam pengurusan keseluruhan pengendali takaful, memperbaik ketelusan pelaporan kewangan, dan meningkatkan penzahiran produk dan ketelusan dalam pemasaran produk takaful. Selaras dengan keperluan untuk memastikan kestabilan sistemik dan kemapanan industri takaful, skop skim takaful juga diperluas dengan pemegang saham pengendali takaful dikehendaki membuat pemindahan aset tanpa syarat ke dalam kumpulan wang risiko takaful bagi menampung kekurangan dalam kumpulan wang tersebut. Langkah-langkah tersebut dilengkapi dengan usaha yang berterusan untuk memantapkan infrastruktur perlindungan pengguna dan mempertingkatkan tahap celik kewangan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap industri takaful. Usaha-usaha ini termasuk pelancaran Biro Pengantaraan Kewangan bagi menyokong proses penyelesaian pertikaian yang cekap, yang melibatkan produk dan perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh institusi kewangan di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia. Bank Negara Malaysia dan industri takaful juga menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, yang kali pertama diadakan, dan Ekspo tahunan Perbankan Islam dan Takaful.
Rangka kerja Syariah dan perundangan bagi industri takaful terus diperkukuh dengan pengeluaran Garis Panduan tentang Tadbir Urus Jawatankuasa Syariah bagi Institusi Kewangan Islam. Garis Panduan ini dikeluarkan bagi memperkemas fungsi dan tugas Jawatankuasa Syariah pengendali takaful di samping memperluas dan memperteguh peranan Majlis Penasihat Syariah Perbankan Islam dan Takaful (MPS) bagi memastikan tadbir urus Syariah yang lebih baik dalam industri takaful. Ini adalah ekoran pindaan yang dibuat pada tahun 2003 pada Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan Akta Takaful 1984 yang meningkatkan peranan dan fungsi MPS sebagai pihak berkuasa tunggal mengenai hal-hal Syariah yang berkaitan dengan perbankan Islam dan takaful. Pindaan selanjutnya dibuat pada Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949 untuk mengecualikan duti setem dan bayaran cukai ke atas instrumen dan urus niaga tambahan yang diperlukan bagi tujuan pematuhan Syariah.
Pada tahun 2004, Bank Negara Malaysia dan industri takaful terus terlibat secara aktif dalam usaha untuk membangunkan industri takaful di peringkat global. Ini termasuk inisiatif untuk menggalakkan pembangunan takaful dan takaful semula di kalangan negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam dan Kumpulan Lapan Negara-Negara Islam Membangun.
Sempena ulang tahun ke-20 industri takaful di Malaysia (1986 – 2005), satu rencana khas yang memaparkan kedudukan industri takaful selepas 20 tahun ditubuhkan di Malaysia diterbitkan bersama-sama dengan Laporan Tahunan Takaful 2004. Rencana ini melaporkan pengalaman Malaysia membangunkan industri takaful yang kukuh dan berdaya maju, dan yang mapan.
Lihat Juga: Laporan Tahunan Takaful 2004 (Buku)
20 Tahun Pengalaman Industri Takaful Malaysia (Bahasa Malaysia)
20 Tahun Pengalaman Industri Takaful Malaysia (Bahasa Arab)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.