Laporan Tahunan Takaful 2005

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1800 pada Rabu, 19 April 2006
19 Apr 2006 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia telah menerbitkan Laporan Tahunan Takaful 2005 pada hari ini. Maklumat lanjut mengenai laporan ini boleh didapati di

Laporan Tahunan Takaful 2005
  1. Laporan Tahunan Takaful 2005 menyediakan tinjauan mengenai prestasi dan perkembangan industri takaful di Malaysia serta inisiatif dasar yang telah diambil oleh Bank Negara Malaysia sepanjang tahun.
     
  2. Industri takaful terus berkembang pada tahun 2005, didorong oleh pertumbuhan ekonomi dalam negeri yang kukuh. Jumlah caruman bersih sektor takaful keluarga dan am meningkat 18.8% (2004: 10.8%) kepada RM1.3 bilion, yang seterusnya meningkatkan bahagian pasarannya kepada 5.4% (2004: 5.1%) daripada caruman bersih keseluruhan sektor insurans. Selaras dengan pertumbuhan dalam pendapatan caruman, jumlah aset kumpulan wang takaful meningkat 16.9% kepada RM5.9 bilion. Perkembangan penting lain pada tahun itu ialah kemunculan banktakaful sebagai saluran agihan penting bagi industri takaful dengan bahagiannya mencakupi 20.4% (2004: 6.5%) daripada jumlah caruman bersih, seterusnya mengembangkan lagi sistem agihan takaful oleh institusi perbankan dengan menawarkan pengguna kemudahan akses kepada takaful dan perkhidmatan pengurusan kekayaan yang komprehensif. Prestasi industri takaful yang berkembang maju ini telah dapat dikekalkan meskipun cabaran yang semakin meningkat dan persekitaran yang lebih kompetitif dengan pemberian lesen takaful baru kepada empat konsortium dan usaha sama antara institusi kewangan domestik dengan institusi kewangan asing.


    Takaful Keluarga
     
  3. Perniagaan takaful keluarga mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sebanyak 20.2% (2004: 18.1%) bagi caruman perniagaan baru kepada RM725.5 juta dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sektor utama dalam industri takaful, dengan bahagiannya sebanyak 73.3% daripada jumlah caruman bersih. Peningkatan mendadak perniagaan baru itu sebahagian besarnya didorong oleh permintaan terhadap pelan takaful gadai janji, pelan takaful endowmen pendidikan dan pelan takaful berkaitan pelaburan yang meningkat berterusan. Pelan takaful berkaitan pelaburan meningkat lebih tujuh kali ganda untuk mencakupi bahagian yang lebih besar sebanyak 9.7% (2004: 1.6%), menunjukkan permintaan pengguna yang menggalakkan terhadap produk pelaburan berlandaskan Syariah yang kompetitif dan dengan itu, mempunyai potensi yang amat besar bagi pengendali takaful pada masa akan datang. Penembusan pasaran bagi perniagaan takaful keluarga seperti yang diukur melalui bilangan sijil berkuat kuasa dibahagi jumlah penduduk adalah lebih tinggi pada 5.6% (2004: 5.1%), mencerminkan kepentingan takaful yang semakin meningkat dalam menggalakkan jaminan kewangan dan kesejahteraan ekonomi negara.


    Jadual 1: Agihan Perniagaan Baru Mengikut Pelan
     
    Caruman RM juta % perubahan % bahagian
      2004 2005 2005 2004 2005

    Keluarga Biasa

    592.4

    653.2

    10.3

    98.1

    90.0

    Individu

    485.0

    507.2

    4.6

    80.3

    69.9

    Kumpulan

    107.4

    146.0

    35.9

    17.8

    20.1

    Anuiti 1

    1.9

    2.2

    15.6

    0.3

    0.3

    Berkaitan Pelaburan

    9.4

    70.1

    642.7

    1.6

    9.7

    Jumlah

    603.7

    725.5

    20.2

    100.0

    100.0

    1  Tidak termasuk skim anuiti yang dipasarkan khusus untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja


     
  4. Selaras dengan pertumbuhan pendapatan caruman, sektor takaful keluarga mengalami perubahan yang positif dalam lebihan pendapatan atas perbelanjaan dengan peningkatan yang nyata sebanyak 46.1% pada tahun 2005, berbanding dengan penguncupan sebanyak 27.4% yang dicatat pada tahun sebelumnya. Prestasi yang lebih kukuh ini, yang sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan yang ditanggung oleh industri yang meningkat dengan sangat kecil, turut didorong oleh pulangan pelaburan yang lebih baik, yang meningkat dengan ketara sebanyak 22.8% (2004: -5.3%). Pulangan pelaburan yang bertambah baik itu adalah ekoran daripada trend pulangan daripada pelaburan dalam pasaran ekuiti domestik yang makin meningkat dan pertambahan pelaburan dalam bon Islam berikutan pengembangan yang memberangsangkan dalam terbitan bon yang berlandaskan Syariah oleh badan-badan korporat pada tahun itu.


    Takaful Am
     
  5. Sektor takaful am terus mencatat pertumbuhan dua angka dalam caruman kasar, iaitu pada kadar 12.4% kepada RM553.8 juta. Sebahagian besar daripada pertumbuhan itu disumbang oleh perniagaan takaful motor dengan menjana kadar pertumbuhan yang tertinggi sebanyak 39.1% sejak lima tahun lalu untuk mengatasi perniagaan takaful kebakaran sebagai komponen terbesar sektor takaful am pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, pertumbuhan sektor takaful am adalah sederhana berbanding dengan peningkatan sebanyak 22.2% yang dicatat pada tahun sebelumnya berikutan tekanan kompetitif atas kadar caruman yang menurun yang mengakibatkan penguncupan caruman kasar sebanyak 6.4% dalam perniagaan Kebakaran dan 7.7% dalam perniagaan Marin, Udara dan Transit (MUT).


    Jadual 2: Agihan Caruman Kasar Mengikut Sektor
     
    Caruman Kasar RM juta % perubahan % bahagian

     

    2004

    2005

    2005

    2004

    2005

    Marin, Udara & Transit

    75.4

    69.6

    -7.7

    15.3

    12.6

    Kebakaran

    186.2

    174.3

    -6.4

    37.8

    31.5

    Motor

    149.8

    208.4

    39.1

    30.4

    37.6

    Semua Risiko Kontraktor dan Kejuruteraan

    22.4

    34.2

    52.5

    4.6

    6.2

    Kemalangan Diri

    21.7

    28.3

    30.4

    4.4

    5.1

    Pelbagai

    36.9

    39

    5.5

    7.5

    7.0

    Semua Sektor

    492.5

    553.8

    12.4

    100.0

    100.0


     
  6. Nisbah tuntutan keseluruhan merosot sedikit dengan peningkatan kepada 42.8% (2004: 41.2%) berikutan pengalaman tuntutan yang bercampur-campur bagi pelbagai kelas perniagaan. Kebanyakan kelas perniagaan pada umumnya mencatat nisbah tuntutan yang lebih baik pada tahun 2005 berbanding dengan tahun sebelumnya, kecuali perniagaan Kebakaran dan MUT, yang masing-masing mencatat nisbah tuntutan sebanyak 24.6% (2004: 11.8%) dan 23.1% (2004: 13.1%). Meskipun pengalaman tuntutan kurang menggalakkan dan perbelanjaan pengurusan semakin meningkat, sektor takaful am mencatat peningkatan yang nyata dalam keuntungan pengunderaitan sebanyak 68.5% kepada RM115.8 juta (2004: RM68.7 juta). Prestasi yang bertambah baik ini sebahagian besarnya disokong oleh pertambahan keseluruhan dalam pendapatan caruman terperoleh dan pendapatan komisen bersih ekoran pengelasan semula komisen yang diterima di bawah penempatan takaful semula sebagaimana yang dilaporkan oleh satu pengendali takaful pada tahun itu.


    Perkembangan dan Langkah-Langkah Memperkukuh Industri
     
  7. Inisiatif dasar Bank Negara Malaysia pada tahun 2005 tertumpu pada berapa bidang utama yang bertujuan mempertingkatkan daya tahan industri takaful dalam menempuh cabaran persekitaran yang semakin kompetitif, di samping menjadikan Malaysia sebagai pusat takaful dan takaful semula antarabangsa. Satu inisiatif penting pada tahun 2005 ialah kelulusan yang diberikan kepada empat konsortium dan usaha sama antara institusi kewangan domestik dengan institusi kewangan asing bagi menjalankan perniagaan takaful di Malaysia. Inisiatif ini dijangka memperkukuh keseluruhan industri takaful dari segi mempunyai bilangan peserta pasaran yang kukuh dan berkelayakan yang mencukupi. Langkah ini disokong oleh pengeluaran 25 lesen broker takaful dan 32 lesen ajuster kepada broker insurans dan ajuster berlesen yang berkelayakan di bawah Akta Insurans 1996, di samping pengeluaran empat lesen baru khusus untuk menjalankan perniagaan pembrokeran takaful.
     
  8. Usaha Bank Negara Malaysia juga tertumpu pada penggalakan kecekapan operasi industri takaful khususnya dalam memudahkan pengaturan penggunaan khidmat pihak ketiga dan meningkatkan penggunaan banktakaful sebagai saluran agihan utama industri. Inisiatif turut diambil untuk memperkukuh amalan pasaran dan keyakinan orang ramai terhadap industri melalui pengeluaran garis panduan yang menetapkan langkah-langkah mengurangkan berlakunya penggantian sijil takaful dan melalui semakan khusus terhadap amalan penyelesaian tuntutan yang bertujuan memperbaik ketelusan dan keobjektifan proses menganggarkan tuntutan. Usaha ini dilengkapi oleh langkah khusus untuk memperkukuh amalan tadbir urus terhadap sistem maklumat dan pelantikan juruaudit luar oleh pengendali takaful.
     
  9. Tahun 2005 juga menyaksikan beberapa usaha penting terus dilaksanakan untuk menyokong perkembangan progresif takaful dan pertumpuan dalam amalan takaful di peringkat global. Satu inisiatif penting ialah penglibatan aktif Bank Negara Malaysia dalam Jawatankuasa Kerja Bersama Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) – Persatuan Penyelia Insurans Antarabangsa yang mempunyai mandat untuk menyokong IFSB dalam membangunkan standard kehematan antarabangsa bagi pengawalseliaan takaful. Kemajuan yang besar juga telah dicapai dalam pelaksanaan Memorandum Persefahaman antara Malaysia dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) dengan penubuhan jawatankuasa yang dianggotai oleh 12 anggota yang bertanggungjawab menyokong perkembangan takaful dan takaful semula di kalangan negara anggota Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Perkembangan lain yang bertujuan membantu integrasi global industri takaful domestik termasuk penyertaan ekuiti oleh sebuah pengendali takaful Malaysia dalam ekuiti syarikat takaful pertama yang ditubuhkan di Pakistan serta penyertaan IDB melalui subsidiarinya, iaitu Islamic Corporation for the Development of Private Sector dalam ekuiti ASEAN Retakaful International (L) Ltd.
     
  10. Berikutan maklum balas positif yang diterima mengenai penerbitan '20 Tahun Pengalaman Industri Takaful Malaysia' pada tahun 2004, satu rencana khas bertajuk 'Konsep dan Operasi Perniagaan Takaful Am di Malaysia' diterbitkan bersama-sama dengan Laporan Tahunan Takaful 2005. Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkatkan pemahaman mengenai takaful kepada bilangan orang ramai yang lebih besar.

Lihat Juga: Laporan Tahunan Takaful 2005 (Buku)


Bank Negara Malaysia
19 April 2006

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?