Larangan Terhadap Pemudahan Urus Niaga Berkaitan Kontrak Hadapan Tanpa Serahan (NDF)
Bank Negara Malaysia ingin menyatakan bahawa tidak ada perubahan dalam Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (Foreign Exchange Administration, FEA) dan tidak ada apa-apa langkah baharu yang diperkenalkan. Ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus apa-apa urus niaga dalam ringgit luar pesisir seperti kontrak hadapan tanpa serahan (non-deliverable forward, NDF) bagi ringgit adalah tidak diiktiraf. Bank Negara Malaysia sedang mengambil langkah-langkah untuk memperkukuh semula peraturan sedia ada yang telah dilaksanakan untuk menghalang pemudahan kontrak hadapan tanpa serahan bagi ringgit. Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan semua peserta pasaran supaya mematuhi peraturan FEA sedia ada dan institusi kewangan berlesen di Malaysia perlu menghindari daripada memudahkan apa-apa urus niaga pertukaran asing (FX) yang boleh dikaitkan dengan aktiviti pasaran kontrak hadapan tanpa serahan bagi ringgit luar pesisir.
Pasaran pertukaran asing Malaysia kekal terbuka dan Bank Negara Malaysia sentiasa bersedia untuk menyediakan mudah tunai sekiranya perlu untuk memastikan operasi pasaran adalah teratur. Malaysia terus menggalakkan kemasukan pelaburan benar dan menyediakan semua kemudahan untuk urus niaga pertukaran asing dan keperluan perlindungan nilai dalam negara.
Orang ramai dinasihati supaya menghubungi institusi kewangan berlesen di negara ini untuk semua keperluan pertukaran asing. Pengurus dana dan aset asing hendaklah menghubungi bank berlesen di negara ini untuk mendapatkan nasihat dan hal yang berkaitan dengan apa-apa urusan pertukaran asing mereka. Semua institusi kewangan berlesen di Malaysia akan terus memudahkan permintaan pelanggan untuk perkhidmatan pertukaran asing tertakluk kepada pematuhan kepada Akta Pentadbiran Pertukaran Asing.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.