Lebih 9,000 PKS Mendapat Manfaat daripada Skim Bantuan Jaminan PKS sebanyak RM2 bilion
Bank Negara Malaysia ingin memaklumkan bahawa Skim Bantuan Jaminan PKS sebanyak RM2 bilion yang dilancarkan pada 3 Februari 2009 telah berjaya membantu lebih daripada 9,000 PKS daripada semua sektor ekonomi.
Skim ini dilancarkan bagi memastikan PKS yang berdaya maju yang menerima kesan buruk daripada kelembapan ekonomi akan terus mendapat akses kepada pembiayaan yang mencukupi. Dengan adanya akses kepada pembiayaan yang berterusan semasa tempoh yang sukar, PKS yang berkenaan telah dapat meneruskan operasi perniagaan dan mengekalkan pekerja mereka.
Di bawah skim ini, institusi kewangan telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1.85 bilion. Sebanyak 78% daripada pemohon yang berjaya adalah terdiri daripada perusahaan mikro dan perusahaan kecil, manakala 22% lagi terdiri daripada perusahaan sederhana. Berkuat kuasa 31 Disember 2009, institusi kewangan tidak lagi menerima permohonan baharu. Namun begitu, permohonan yang diterima sehingga tarikh tutupnya akan terus diproses oleh institusi kewangan.
Dengan keadaan ekonomi dalam negeri terus menunjukkan peningkatan dan mudah tunai pula lebih daripada mencukupi, penunjuk terkini menunjukkan bahawa trend permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan dalam sistem perbankan semakin meningkat. Bagi bulan November 2009, permohonan dan kelulusan pinjaman perniagaan masing-masing meningkat 33.5% dan 45.3% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Sehubungan dengan ini, perusahaan perniagaan yang berdaya maju daripada semua sektor terus mendapat akses kepada pembiayaan bagi menyokong aktiviti ekonomi dalam negeri.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
E-mel: [email protected]
Laman web: www.bnm.gov.my
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.