Liberalisasi Dasar Pelaburan dalam Saham dan Kepentingan Saham

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Rabu, 3 Januari 2007
03 Jan 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan pelaksanaan rangka kerja dasar yang lebih fleksibel bagi pengawalan pelaburan dalam saham dan kepentingan saham (interest-in-shares) oleh institusi perbankan.

Berkuat kuasa pada 3 Januari 2007, semua institusi perbankan berlesen yang mempunyai kapasiti dan keupayaan serta memenuhi piawaian penyeliaan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia akan diberi kelonggaran untuk menentukan dasar dalaman mereka, yang berhubung dengan pengawalan aktiviti berkaitan saham. Kelonggaran ini merangkumi penentuan jenis pelaburan dalam saham dan kepentingan saham yang boleh dibuat oleh institusi perbankan dan penentuan had dalaman bagi pendedahan kepada sesebuah kaunter dan tidak lagi tertakluk kepada had 5 peratus sedia ada yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia . Jenis saham yang boleh dilabur oleh sesebuah institusi perbankan di bawah rangka kerja baru ini juga akan diperluas untuk merangkumi saham tersenarai, saham keutamaan, saham tak tersenarai dan ekuiti asing.

Di samping itu, institusi perbankan juga akan dikecualikan daripada peruntukan Seksyen 47 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989. Ini akan membolehkan institusi perbankan memegang saham institusi perbankan lain, tertakluk kepada had maksimum sebanyak 5 peratus daripada modal berbayar institusi berlesen berkenaan.

Rangka kerja baru ini menekankan peranan Lembaga Pengarah institusi perbankan yang semakin penting dalam memastikan bahawa risiko yang timbul daripada aktiviti berkaitan ekuiti dikenal pasti dan diurus dengan sebaik-baiknya. Lembaga Pengarah perlu memastikan bahawa institusi mereka mempunyai fungsi pengawasan yang mencukupi, dasar dan prosedur yang mantap serta infrastruktur dan sistem pengurusan risiko yang kukuh bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tersebut.

Rangka kerja baru ini juga akan diperkukuhkan lagi melalui penyeliaan yang rapi secara berterusan oleh Bank Negara Malaysia atas kemantapan dasar dalaman dan kemampuan institusi perbankan yang mencakupi penentuan nilai ekuiti, dasar kepelbagaian risiko, langkah-langkah mengurangkan risiko dan keupayaan melaksanakan ujian tekanan. Di samping itu, sebagai langkah perlindungan, jumlah pelaburan sesebuah institusi perbankan dalam saham dan kepentingan saham secara keseluruhan tertakluk kepada had sebanyak 25 peratus daripada modal asas institusi berkenaan.

Di bawah rangka kerja pengawalseliaan berdasarkan prinsip ini, institusi perbankan akan lebih berupaya untuk mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan di dalam dan luar negeri, di samping pada masa yang sama, memastikan risiko terus diuruskan secara berhemat.

Rangka kerja dasar yang lebih fleksibel ini adalah selaras dengan peralihan ke persekitaran yang lebih dinyahkawal selia. Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mengkaji semula dasar dan proses sedia ada bagi mewujudkan persekitaran yang akan mendorong pertumbuhan dan inovasi yang lebih menggalakkan dalam sektor perbankan.


Bank Negara Malaysia
03 Januari 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?