Liberalisasi Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1700 pada Rabu, 21 Mac 2007
21 Mac 2007 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia mengumumkan liberalisasi selanjutnya dasar pentadbiran pertukaran asing. Liberalisasi ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah berterusan Bank untuk meningkatkan daya saing Malaysia melalui pengurangan kos menjalankan perniagaan, peningkatan kecekapan sistem penyampaian pengawalseliaan, penggalakan sistem kewangan yang progresif dan berdaya saing serta penggalakan aktiviti pengurusan risiko yang berkesan di samping memelihara kestabilan kewangan dan ekonomi. Berkuat kuasa 1 April 2007, peraturan pentadbiran pertukaran asing akan diliberalisasikan untuk membantu pembangunan pasaran kewangan dan modal, dan menyediakan lebih fleksibiliti untuk perusahaan perniagaan menguruskan risiko kewangan secara aktif. Liberalisasi ini akan meluaskan skop perniagaan mata wang asing bank tempatan berlesen dan memudahkan pelaburan dalam aset ringgit oleh bukan pemastautin. Langkah-langkah yang diambil juga akan menggalakkan lebih fleksibiliti untuk perusahaan perniagaan mengurus dan membiayai peluang pelaburan dan juga menyumbang kepada peningkatan pendalaman dan peluasan pasaran modal Malaysia.

1. Membantu pembangunan pasaran kewangan domestik

Bagi memberi lebih fleksibiliti kepada bank tempatan berlesen menjalankan perniagaan mata wang asing, dasar pentadbiran pertukaran asing diliberalisasikan seperti yang berikut:

  1. Memansuhkan had kedudukan terbuka bersih bank tempatan berlesen yang ketika ini dihadkan pada 20% daripada modal asas bank.
  2. Memansuhkan had yang dikenakan atas bank tempatan berlesen bagi akaun mata wang asing yang disenggara oleh pemastautin.
  3. Membenarkan bank pelaburan di Malaysia menjalankan perniagaan mata wang asing tertakluk kepada kajian semula pengawalseliaan yang menyeluruh atas kapasiti dan keupayaan bank pelaburan berkenaan.

2. Memudahkan pelaburan dalam aset ringgit oleh bukan pemastautin dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan

Bagi menambah bilangan pelabur dalam aset dan produk kewangan ringgit, dasar pentadbiran pertukaran asing diliberalisasikan seperti yang berikut:

  1. Memberi fleksibiliti tambahan kepada syarikat broker saham dan bank kustodian bukan pemastautin untuk memperoleh kemudahan overdraf ringgit daripada bank tempatan berlesen bagi mengelak kegagalan penyelesaian pembayaran kerana kelewatan yang tidak disengajakan, dengan:
    • Melupuskan had overdraf sebelum ini sebanyak RM200 juta; dan
    • Memperluaskan skop penggunaan kemudahan overdraf meliputi instrumen ringgit yang dijelaskan melalui Sistem Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (RENTAS) dan Bursa Malaysia. Sebelum ini, penggunaan kemudahan ini hanya terhad kepada saham yang diniagakan di Bursa Malaysia.
  2. Memansuhkan had atas bilangan pinjaman harta tanah kediaman atau komersial yang diperoleh bukan pemastautin. Sebelum ini, bukan pemastautin dibenar memperoleh sehingga tiga pinjaman harta tanah daripada pemastautin untuk membiayai pembelian atau pembinaan harta tanah kediaman atau komersial di Malaysia.
  3. Membenarkan bank tempatan berlesen melantik cawangan luar negeri kumpulan mereka untuk bertindak sebagai perantara bagi memudahkan penyelesaian pembayaran sebarang aset ringgit pelanggan bukan pemastautin mereka.
  4. Melupuskan sekatan atas bank luar pesisir Labuan untuk berurus niaga dalam produk kewangan ringgit bagi pihak pelanggan bukan pemastautin.

3. Meningkatkan kecekapan perniagaan dan membantu pembangunan pasaran modal

Fleksibiliti peraturan pentadbiran asing selanjutnya diberikan kepada pemastautin untuk meningkatkan kecekapan perniagaan melalui pengurangan kos menjalankan perniagaan serta mendalamkan dan memperluas lagi pasaran modal seperti yang berikut: -

  1. Menambah had pinjaman mata wang asing yang boleh diperoleh syarikat pemastautin daripada bank tempatan berlesen dan bukan pemastautin, serta melalui terbitan bon mata wang asing di dalam negeri kepada jumlah agregat bersamaan RM100 juta daripada jumlah bersamaan RM50 juta berdasarkan kumpulan korporat sebelum ini. Dana yang diperoleh boleh digunakan untuk tujuan domestik atau pelaburan luar negeri.
  2. Membenarkan pemastautin melindung nilai bayaran balik pinjaman mata wang asing sehingga amaun penuh komitmen asas.
  3. Meningkatkan fleksibiliti kepada individu dan syarikat pemastautin untuk melabur dalam aset mata wang asing seperti yang berikut:
    1. Meningkatkan had bagi individu pemastautin yang mempunyai pinjaman ringgit domestik untuk melabur dalam aset mata wang asing sehingga RM1 juta dalam satu tahun kalendar daripada had sebanyak RM100,000 sebelum ini; dan
    2. Meningkatkan had bagi syarikat pemastautin yang mempunyai pinjaman ringgit domestik untuk melabur dalam aset mata wang asing sehingga RM50 juta dalam satu tahun kalendar daripada had sebelum ini sebanyak RM10 juta.
  4. Meningkatkan had bagi pelabur institusi pemastautin untuk melabur dalam aset mata wang asing seperti yang berikut:
    1. Syarikat pengurusan amanah saham: sehingga 50% daripada nilai aset bersih (NAV) yang dilanggan oleh pemastautin, daripada had 30% daripada NAV sebelum ini;
    2. Syarikat pengurusan dana: sehingga 50% daripada dana pelanggan pemastautin yang mempunyai kemudahan kredit domestik, daripada had 30% sebelum ini; dan
    3. Penanggung insurans dan pengendali takaful: sehingga 50% daripada NAV berkaitan pelaburan yang dipasarkan, daripada had 30% daripada NAV sebelum ini.
  5. (e) Membenarkan syarikat pemastautin dan bukan pemastautin menggunakan perolehan daripada penyenaraian saham melalui Tawaran Awam Awal di Papan Utama Bursa Malaysia, di luar negeri.
  6. (f) Membenarkan syarikat pemastautin memberi pinjaman dalam mata wang asing daripada perolehan penyenaraian saham di bursa-bursa saham luar negeri kepada syarikat pemastatutin yang lain dalam kumpulan korporat yang sama di Malaysia.
  7. Memansuhkan sekatan atas pembayaran dalam mata wang asing antara pemastautin untuk penyelesaian pembayaran produk kewangan mata wang asing yang ditawarkan dalam negeri.
  8. Membenarkan individu pemastautin membuka dan menyenggarakan akaun bersama mata wang asing untuk sebarang tujuan. Sebelum ini, individu pemastautin dibenarkan menyenggarakan akaun bersama mata wang asing hanya untuk tujuan pendidikan dan pekerjaan di luar negeri.

Maklumat lanjut tentang peraturan pentadbiran pertukaran asing boleh didapati di /fxadmin

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi 603 26910772 or 603 26948731 atau e-mel kepada [email protected] atau [email protected]

 

Lampiran 1

Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing yang Diliberalisasikan Berkuat kuasa 1 April 2007

1. Membantu pembangunan pasaran kewangan domestik

Peraturan Sebelum 1 April 2007 Berkuat kuasa 1 April 2007
Had kedudukan terbuka bersih bank tempatan berlesen Had kedudukan terbuka bersih bank tempatan berlesen dihadkan pada 20% daripada modal asas bank Had kedudukan terbuka bersih bank tempatan berlesen dimansuhkan
Had atas bank tempatan berlesen bagi akaun mata wang asing yang disenggara oleh pemastautin Bank tempatan berlesen diberi had semalaman agregat khusus bagi akaun mata wang asing yang disenggara oleh pemastautin Had semalaman bank tempatan berlesen bagi akaun mata wang asing yang disenggara oleh pemastautin dimansuhkan
Urusan mata wang asing oleh bank pelaburan Kebenaran khusus diberikan kepada bank pelaburan untuk skop urus niaga mata wang asing yang terhad Skop urus niaga mata wang asing bank pelaburan diperluas, bergantung padakajian semula pengawalseliaan atas kapasiti dan keupayaan bank pelaburan

2. Memudahkan pelaburan bukan pemastautin dalam aset ringgit untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan

Peraturan Sebelum 1 April 2007 Berkuat kuasa 1 April 2007
Kemudahan overdraf ringgit yang diperoleh syarikat broker saham dan bank kustodian bukan pemastautin daripada bank tempatan berlesen

Syarikat broker saham dan bank kustodian bukan pemastautin dibenarkan memperoleh kemudahan overdraf ringgit bagi mengelak kegagalan penyelesaian pembayaran perdagangan dalam aset ringgit kerana kelewatan yang tidak disengajakan:

  • Sehingga RM200 juta dan sehingga dua hari bekerja dengan tiada opsyen bergulung matang
  • Penggunaan hanya untuk saham yang diniagakan di Bursa Malaysia

Kemudahan overdraf ringgit bagi syarikat broker saham dan bank kustodian bukan pemastautin untuk tujuan yang sama, dilliberalisasikan seperti berikut:

  • Tiada had atas amaun, dan sehingga dua hari bekerja dengan tiada opsyen bergulung matang
  • Penggunaan overdraf diperluas, meliputi instrumen ringgit yang dijelaskan melalui sistem RENTAS (Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities) dan Bursa Malaysia
Pinjaman harta tanah dalam ringgit yang diperoleh bukan pemastautin daripada pemastautin untuk membiayai pembelian atau pembinaan harta tanah kediaman atau komersial di Malaysia Bukan pemastautin dibenarkan memperoleh sehingga tiga kemudahan kredit daripada pemastautin untuk membiayai pembelian atau pembinaan harta tanah kediaman atau komersial di Malaysia Bukan pemastautin bebas untuk memperoleh, kemudahan kredit tanpa had, untuk membiayai pembelian atau pembinaan harta tanah kediaman atau komersial di Malaysia.
Pelantikan cawangan luar negeri dalam kumpulan perbankan yang sama untuk bertindak sebagai perantara bagi memudahkan penyelesaian pembayaran pelaburan dalam aset ringgit oleh pelabur bukan pemastautin Penyelesaian pembayaran pelaburan dalam aset ringgit dibuat melalui institusi kewangan tempatan Bank tempatan berlesen dibenarkan melantik cawangan luar negerinya dalam kumpulan perbankan yang sama untuk memudahkan penyelesaian pembayaran aset ringgit pelabur bukan pemastautin yang mempunyai komitmen pelaburan yang kukuh
Urus niaga dalam produk kewangan ringgit oleh bank luar pesisir Labuan. Bank luar pesisir Labuan dibenarkan berurus niaga dalam produk kewangan ringgit hanya untuk akaunnya sendiri Bank luar pesisir Labuan dibenarkan berurus niaga dalam produk kewangan ringgit untuk akaun sendiri dan juga bagi pihak pelanggan bukan pemastautin.

3. Meningkatkan kecekapan perniagaan dan membantu pembangunan pasaran modal

Peraturan Sebelum 1 April 2007 Berkuat kuasa 1 April 2007
Pinjaman dalam mata wang asing oleh syarikat pemastautin

Syarikat pemastautin dibenarkan memperoleh pinjaman dalam mata wang asing sehingga aggregat bersamaan RM50 juta berdasarkan kumpulan korporat

Had pinjaman dalam mata wang asing oleh syarikat pemastautin dinaikkan kepada agregat RM100 juta berdasarkan kumpulan korporat

Melindung nilai pembayaran balik pinjaman mata wang asing oleh pemastautin Pemastautin dibenarkan melindung nilai pembayaran balik pinjaman mata wang asing sehingga komitmen selama 24 bulan Pemastautin dibenarkan melindung nilai pembayaran balik pinjaman mata wang asing sehingga amaun penuh komitmen pinjaman
Pelaburan dalam aset mata wang asing oleh individu, syarikat dan pelabur institusi pemastautin.

Kebenaran umum diberikan sehingga had berikut:

Individu pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit
Sehingga agregat bersamaan RM100,000 dalam satu tahun kalendar

Syarikat pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit
Sehingga agregat bersamaan RM10 juta dalam satu tahun kalendar

Syarikat amanah saham
Sehingga 30% nilai aset bersih (net asset value, NAV) yang dilanggan oleh pemastautin

Syarikat pengurusan dana
Sehingga 30% daripada dana pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit

Penanggung insurans dan pengendali takaful pemastautin
Sehingga 30% NAV dana berkaitan dengan pelaburan yang dipasarkan

Had bagi pemastautin melabur dalam aset mata wang asing telah dinaikkan seperti yang berikut:

Individu pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit
Sehingga agregat bersamaan RM1 juta dalam satu tahun kalendar

Syarikat pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit
Sehingga agregat bersamaan RM50 juta dalam satu tahun kalendar

Syarikat amanah saham
Sehingga 50% NAV yang dilanggan oleh pemastautin

Syarikat pengurusan dana
Sehingga 50% daripada dana pemastautin yang mempunyai pinjaman domestik, dalam ringgit

Penanggung insurans dan pengendali takaful pemastautin
Sehingga 50% NAV dana berkaitan dengan pelaburan yang dipasarkan

Penggunaan perolehan daripada penyenaraian saham melalui Tawaran Awam Awal di Papan Utama Bursa Malaysia, di luar negeri oleh:

  1. syarikat pemastautin
  2. syarikat bukan pemastautin
Tertakluk kepada peraturan umum pelaburan luar negeri Syarikat pemastautin dan bukan pemastautin dibenarkan menggunakan sebarang amaun perolehan daripada penyenaraian saham melalui Tawaran Awam Awal di Papan Utama Bursa Malaysia, di luar negeri
Pemberian pinjaman dalam mata wang asing antara pemastautin Pemberian dan penerimaan pinjaman dalam mata wang asing antara pemastautin perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pengawal Pertukaran Asing Syarikat pemastautin dibenarkan menggunakan perolehan mata wang asing daripada penyenaraian saham di bursa saham luar negeri untuk memberi pinjaman kepada syarikat pemastatutin lain dalam kumpulan korporat yang sama di Malaysia.
Pembayaran dalam mata wang asing antara pemastautin Pembayaran dalam mata wang asing antara pemastautin perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pengawal Pertukaran Asing Pembayaran dalam mata wang asing antara pemastautin dibenarkan untuk penyelesaian produk kewangan mata wang asing yang ditawarkan dalam negeri
Akaun mata wang asing bersama antara individu pemastautin Akaun mata wang asing bersama antara individu pemastautin hanya dibenarkan untuk tujuan pendidikan di luar negeri dan pekerjaan Akaun mata wang asing bersama antara individu pemastautin dibenarkan untuk sebarang tujuan.

Bank Negara Malaysia
21 Mac 2007

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?