Liberalisasi Peraturan Kawalan Pertukaran Asing

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Rabu, 26 Mac 2003
26 Mac 2003 Siaran Akhbar

Dalam proses pentadbiran peraturan kawalan pertukaran asing, Bank Negara Malaysia mengamalkan prinsip supaya langkah-langkah yang diambil dapat melengkapkan lagi usaha bagi memastikan kestabilan pasaran kewangan tempatan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang kukuh dalam negara. Dengan itu, peraturan-peraturan kawalan pertukaran asing telah dikaji semula dari masa ke semasa untuk memastikan bahawa peraturan-peraturan tersebut tidak menjadi penghalang terhadap peningkatan kecekapan sistem kewangan dan operasi perniagaan. Kajian-kajian semula yang diambil pada masa yang lepas telah membawa liberalisasi atas beberapa peraturan kawalan pertukaran asing bagi megurangkan formaliti dan memudahkan transaksi perniagaaan.

 

Sebagai sebahagian daripada proses kajian semula yang berterusan, Bank Negara Malaysia hari ini, mengumumkan liberalisasi ke atas beberapa lagi peraturan pertukaran asing. Langkah-langkah ini ditumpukan untuk meningkatkan dan menggalakkan perniagaan di Malaysia dengan memberi kelonggaran kepada pemastautin dan bukan pemastautin untuk memperoleh dana ringgit dalam pengurusan pendedahan terhadap pertukaran asing dan meningkatkan secara keseluruhan efisiensi operasi.

 

Berkuatkuasa 1 April 2003, beberapa peraturan kawalan pertukaran asing telah dilonggarkan seperti berikut:
 

  1. Bagi memberi kelonggaran kepada syarikat yang dikuasai oleh bukan pemastautin (NRCC) untuk memperoleh kemudahan kredit tempatan, syarat yang memerlukan sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan amaun kemudahan kredit yang dipanjangkan oleh institusi-institusi perbankan mesti diperoleh daripada institusi perbankan yang dikuasai oleh warga Malaysia telah dimansuhkan. Selain itu, amaun kemudahan kredit tempatan yang bebas diberi oleh pemastautin kepada NRCC telah ditingkatkan kepada RM50 juta daripada RM10 juta. Walau pun keperluan untuk mematuhi nisbah 3:1 bagi kemudahan kredit tempatan berbanding dana modal kelayakan syarikat masih dikekalkan, pengiraan amaun keseluruhan kemudahan kredit tempatan dan dana modal kelayakan syarikat telah diliberalisasikan. NRCC kini diberi kelonggaran untuk mengira amaun keseluruhan kemudahan kredit tempatan yang diperoleh berdasarkan syarikat berkumpulan atau pun entiti berasingan. Selain itu, nisbah 3:1 dikenakan hanya bagi amaun kemudahan kredit yang diperoleh melebihi had RM50 juta.
     
  2. Untuk mengurangkan kos transaksi serta meningkatkan efisiensi operasi dan pengurusan risiko, had semalaman akaun matawang asing telah diliberalisasikan. Had semalaman maksima di dalam akaun mata wang asing yang diselenggara oleh pengeksport pemastautin dengan bank-bank perdagangan dan bank-bank Islam telah ditingkatkan kepada AS$50 juta daripada AS$10 juta. Selain itu, pengeksport pemastautin juga dibenarkan untuk menyimpan tambahan 10% daripada setiap perolehan eksport yang dibawa balik ke Malaysia. Di bawah peraturan yang fleksibel ini, pengeksport yang layak menyimpan perolehan eksport sehingga AS$50 juta, dibenarkan menyimpan amaun tambahan sehingga sebanyak AS$20 juta di dalam akaun mata wang asing mereka. Had semalaman dalam akaun mata wang asing untuk syarikat Ibu Pejabat Operasi juga telah ditingkatkan kepada AS$70 juta daripada AS$10 juta.

    Had-had semalaman yang baru dan terdahulu adalah seperti berikut:
     
    Purata Bulanan Penerimaan Perolehan Eksport
    (RM juta)
    Had Terdahulu
    (AS$ juta)
    Had Baru
    (AS$ juta)
    Had termasuk pengumpulan 10%
    (AS$ juta)
    Melebihi RM100 juta
    10
    50
    70
    Melebihi RM50 juta sehingga RM100 juta
    10
    30
    50
    Melebihi RM 20 juta sehingga RM50 juta
    10
    10
    30
    Melebihi RM10 juta sehingga RM20 juta
    5
    5
    10
    Melebihi RM5 juta sehingga RM10 juta
    3
    3
    5
    Tidak melebihi RM5 juta atau pengeksport-pengeksport baru
    1
    1
    3
  3. Untuk memudahkan pengurusan risiko pertukaran asing, peraturan bagi perlindungan nilai pertukaran asing telah diliberalisasikan secara berperingkat. Selain daripada peraturan semasa bagi kontrak tukaran hadapan bagi penjualan perolehan eksport, pemastautin juga dibenarkan untuk mejual ke hadapan semua jenis perolehan dalam mata wang asing dengan peniaga mata wang asing yang diberi kuasa tertakluk kepada syarat transaksi tersebut berdasarkan komitmen yang sah dan tempoh kontrak tersebut tidak melebihi 12 bulan.
     
  4. Untuk mengurangkan kos pentadbiran untuk pemastautin dan industri perbankan, had bagi melengkapkan Borang P untuk pembayaran kepada bukan pemastautin telah ditingkatkan kepada RM50,001 daripada RM10,001 dalam mata wang ringgit atau bersamaan dalam mata wang asing tanpa mengira tujuan pembayaran. Pembayaran bagi pelaburan luar negara, termasuk memberi pinjaman kepada bukan pemastautin, walaubagaimana pun, masih memerlukan kebenaran terlebih dahulu sekiranya amaun pembayaran melebihi bersamaan RM10,000.
     
  5. Selain itu, untuk memastikan bahawa keperluan untuk membuat laporan tidak menjadi penghalang efisiensi pengeksport pemastautin, keperluan bagi mengisi Borang KPW X untuk pengeksportan melebihi RM100,000 f.o.b telah dimansuhkan. Pengeksport pemastautin hanya perlu mengisi laporan suku tahunan dan tahunan bagi transaksi-transaksi berkaitan eksport mereka.

Bank Negara Malaysia
26 Mac 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?