Liberalisasi Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing
Sebagai sebahagian daripada langkah berterusan untuk meningkatkan fleksibiliti ekonomi negara, Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan liberalisasi seterusnya bagi peraturan pentadbiran transaksi pertukaran asing. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dalam pengendalian perdagangan antarabangsa dan menggalakkan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia bagi memperkukuh hubungan negara dengan ekonomi serantau dan global.
Liberalisasi bagi peraturan berikut berkuat kuasa dengan serta-merta:-
(i) Pemastautin kini boleh membuat penyelesaian perdagangan antarabangsa bagi barangan dan perkhidmatan dengan bukan pemastautin dalam ringgit, selain membuat penyelesaian menggunakan mata wang asing. Oleh itu, pengeksport dan pengimport bebas menentukan mata wang bagi penyelesaian perdagangan antarabangsa untuk barangan dan perkhidmatan, yang akan memudahkan pengurusan ketakpadanan mata wang dan mengurangkan kos penukaran mata wang.
Semua penyelesaian dalam ringgit oleh bukan pemastautin perlu dibuat melalui akaun ringgit bukan pemastautin yang disenggarakan dengan bank tempatan berlesen. Bukan pemastautin boleh menukar dan melindung nilai mata wang asing kepada ringgit dengan bank tempatan berlesen atau dengan cawangan luar negeri kumpulan perbankan yang sama, yang dilantik bank tempatan berlesen.
(ii) Syarikat pemastautin kini bebas untuk meminjam sebarang amaun dalam mata wang asing daripada syarikat bukan bank bukan pemastautin yang berkaitan, selain memperoleh peminjaman daripada syarikat induk bukan bank bukan pemastautin. Dengan itu, semua had peminjaman dalam mata wang asing antara syarikat merentas sempadan dimansuhkan. Langkah ini bertujuan meningkatkan fleksibiliti bagi sektor benar untuk memperoleh pembiayaan daripada sumber yang kompetitif serta meningkatkan pengurusan sumber kewangan dalam kumpulan korporat.
(iii) Had perlindungan nilai jangkaan untuk transaksi akaun semasa dengan bank tempatan berlesen juga dimansuhkan bagi memudahkan pengurusan risiko yang lebih efektif oleh pemastautin. Dengan liberalisasi ini, tiada had dikenakan ke atas pemastautin untuk melindung nilai transaksi akaun semasanya dengan bank tempatan berlesen.
Maklumat terperinci mengenai liberalisasi pentadbiran pertukaran asing boleh didapati di /fxadmin. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hubungi BNMTELELINK seperti berikut:
Telefon : 1 300 88 5465
Faksimile : 603 2174 1515
E-mel : [email protected]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.