Liberalisasi Peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing
Bank Negara Malaysia mengumumkan liberalisasi selanjutnya peraturan pentadbiran pertukaran asing berkaitan peminjaman dalam mata wang asing oleh pemastautin serta peminjaman dan pemberian pinjaman dalam ringgit antara pemastautin dengan bukan pemastautin, berkuat kuasa dengan serta-merta. Liberalisasi ini ialah sebahagian daripada langkah-langkah berterusan Bank Negara Malaysia ke arah meningkatkan daya saing Malaysia melalui peningkatan akses kepada pembiayaan dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.
I. Peminjaman dalam mata wang asing oleh pemastautin
(a) Syarikat pemastautin bebas untuk meminjam sebarang amaun dalam mata wang asing daripada -
(i) syarikat induknya yang bukan bank bukan pemastautin;
(ii) syarikat pemastautin lain dalam kumpulan korporat yang sama di Malaysia (sebelum ini, kelulusan diperlukan untuk sebarang amaun); dan
(iii) bank-bank tempatan berlesen.(b) Syarikat pemastautin bebas untuk memperoleh sebarang amaun kredit pembekal untuk barangan modal dalam mata wang asing daripada pembekal-pembekal bukan pemastautin; dan
(c) Syarikat pemastautin atau individu pemastautin bebas untuk membiayai semula peminjaman mata wang asing terkumpul yang diluluskan, termasuk pembayaran pokok dan faedah terakru.
Had bagi peminjaman dalam mata wang asing sehingga RM100 juta secara agregat oleh syarikat pemastautin berdasarkan kumpulan korporat dan RM10 juta oleh individu pemastautin tidak lagi terpakai untuk aktiviti pembiayaan seperti di atas.
II. Peminjaman dalam ringgit oleh pemastautin daripada bukan pemastautin
(a) Syarikat pemastautin dibenarkan untuk meminjam dalam ringgit, termasuk melalui terbitan saham keutamaan boleh tebus dalam denominasi ringgit atau saham-saham pinjaman -
(i) sebarang amaun daripada syarikat induknya yang bukan bank bukan pemastautin untuk membiayai aktiviti-aktiviti sektor benar di Malaysia;
(ii) sehingga RM1 juta secara agregat daripada syarikat bukan bank bukan pemastautin lain dan individu bukan pemastautin untuk kegunaan di Malaysia; dan(b) Individu pemastautin dibenarkan meminjam dalam ringgit sehingga RM1 juta secara agregat daripada syarikat bukan bank bukan pemastautin dan individu bukan pemastautin untuk kegunaan di Malaysia.
Sebelum ini, peminjaman dalam ringgit bagi sebarang amaun daripada bukan pemastautin memerlukan kebenaran terlebih dahulu daripada Pengawal Pertukaran Asing.
III. Pemberian pinjaman dalam ringgit oleh pemastautin kepada bukan pemastautin
(a) Syarikat pemastautin atau individu pemastautin bebas memberikan pinjaman dalam ringgit bagi sebarang amaun kepada syarikat bukan bank bukan pemastautin dan individu bukan pemastautin untuk membiayai aktiviti sektor benar di Malaysia (sebelum ini, hanya dibenarkan sehingga RM10,000);
(b) Bank tempatan berlesen, bebas memberikan pinjaman dalam ringgit bagi sebarang amaun kepada syarikat bukan bank bukan pemastautin dan individu bukan pemastautin untuk membiayai aktiviti sektor benar di Malaysia (sebelum ini, hanya dibenarkan sehingga RM10 juta secara agregat).
Maklumat lanjut berkaitan peraturan pentadbiran pertukaran asing boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia (/fxadmin) atau dengan menghubungi BNMTELELINK di:
Alamat: BNMTELELINK
Tingkat Mezanin, Blok C
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Emel: [email protected]
Telefon: 1-300-88-LINK (5465)
Faksimile: 03-2174-1515 / 03-2174-1616
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.