Liberalisasi Perbankan Islam

18 Sep 2003 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan sehingga tiga buah lesen perbankan Islam baru kepada peserta asing yang layak sejajar dengan hasrat untuk membawa ke hadapan proses liberalisasi industri perbankan Islam ke tahun 2004 melalui pengeluaran lesen baru, iaitu tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan di bawah saranan 5.5 Pelan Induk Sektor Kewangan.

Kriteria-kriteria yang akan diguna pakai dalam menentukan merit pemohon adalah seperti berikut :

  1. Pemohon hendaklah merupakan sebuah institusi perbankan Islam asing berlesen yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh atau institusi kewangan asing yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan perbankan Islam;
  2. Pemohon hendaklah dikawal selia oleh sebuah badan pengawalseliaan yang kompeten dan sebaik-baiknya mempunyai reputasi yang baik di negara asal; dan
  3. Pemohon hendaklah membuktikan menerusi pelan perniagaannya bahawa bank Islam baru yang ditubuhkan di Malaysia akan mempunyai kepakaran dan sumber yang boleh menyumbang dengan berkesan kepada pembangunan sektor kewangan Islam domestik dan ekonomi Malaysia.

    Pelan perniagaan perlu meliputi, antaranya :
    1. perincian mengenai kompetensi, integriti, kelayakan dan pengalaman pasukan pengurusan kanan yang dicadangkan (termasuk lembaga pengarah);
    2. pelan operasi yang dicadangkan dan kawalan dalaman (termasuk struktur urus tadbir korporat dan rangka kerja pengurusan risiko); dan
    3. unjuran kedudukan kewangan dan penyata kewangan proforma bagi bank Islam baru ini untuk tiga tahun pertama (termasuk status kecukupan modal).

Selain daripada kriteria di atas, pemohon hendaklah mengemukakan cadangan struktur pemilikan bagi bank Islam baru ini, termasuk sumber modal, kawalan langsung dan tidak langsung dan pemegang saham utama (pemegang saham yang mempunyai kepentingan ekuiti minimum sebanyak 10%), kekukuhan kewangan, ringkasan perniagaan yang lalu sama ada dalam bidang perbankan atau bukan perbankan, integriti dan reputasi mereka.

Bank Islam baru ini hendaklah diperbadankan sebagai institusi tempatan yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983 sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya. Bank Islam baru ini dikehendaki mempunyai modal minimum sebanyak RM300 juta (USD 78.95 juta). Seperti bank asing berlesen konvensional yang telah diperbadankan dalam sistem perbankan di Malaysia, bank Islam baru ini dibenarkan mempunyai kepentingan ekuiti asing sehingga 100% sama ada dalam bentuk sebuah anak syarikat yang dikuasai sepenuhnya atau menerusi usaha sama dengan pelabur domestik atau institusi kewangan asing yang lain yang memenuhi kriteria Bank Negara Malaysia.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan untuk memperkukuhkan integrasi sistem perbankan Islam domestik di peringkat antarabangsa, meningkatkan potensi untuk meraih peluang pertumbuhan baru serta menggalakkan perdagangan antarabangsa dan aliran pelaburan di antara Malaysia dan negara-negara lain. Ini adalah juga satu langkah ke hadapan bagi meletakkan Malaysia sebagai pusat kewangan serantau bagi perbankan dan kewangan Islam.

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia sebelum 31 Mac 2004.

 


Bank Negara Malaysia
18 September 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?