Liberalisasi terhadap pelaburan langsung luar negeri, pinjaman antara syarikat dan pembiayaan perdagangan
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan daya saing ekonomi, liberalisasi terhadap pelaburan langsung luar negeri, pinjaman antara syarikat dan kemudahan pembiayaan perdagangan pemastautin seperti yang berikut akan berkuat kuasa pada 1 Jun 2011:
(a) Bagi menyokong pengembangan operasi dan pelaburan langsung luar negeri sektor swasta, syarikat pemastautin yang memenuhi keperluan kehematan kini dibenarkan untuk membuat sebarang amaun pelaburan langsung luar negeri. Dengan itu, pelaburan langsung luar negeri akan dikecualikan daripada had semasa RM50 juta bagi pelaburan dalam aset mata wang asing.
(b) Bagi meningkatkan lagi kecekapan pengurusan sumber kewangan dalam sesebuah kumpulan korporat dan untuk memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada sumber pembiayaan kompetitif (competitive financing), syarikat pemastautin kini boleh meminjam sebarang amaun dalam ringgit atau mata wang asing daripada syarikat pemastautin dan syarikat bukan pemastautin bukan bank berkaitan (resident and non-resident non-bank related companies).
(c) Had semasa sebanyak RM5 juta yang dikenakan terhadap pembiayaan perdagangan mata wang asing yang diperoleh pemastautin daripada bukan pemastautin kini dimansuhkan. Berikutan itu, pemastautin boleh mendapat peminjaman mata wang asing, termasuk pembiayaan perdagangan mata wang asing, sehingga had agregat semasa RM100 juta bagi syarikat, berdasarkan kumpulan syarikat dan RM10 juta bagi individu.
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan berhubung dengan liberalisasi di atas, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di:
Talian bebas tol : 1 300 88 5465 (BNMTELELINK)
Faksimile : 603 2174 1515
E-mel : [email protected]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.