Liberalisasi untuk mempertingkat daya saing ekonomi dan memajukan lagi pasaran kewangan domestik

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0955 pada Rabu, 20 Mac 2013
20 Mac 2013 Siaran Akhbar

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkat daya saing ekonomi dan memajukan lagi pasaran kewangan domestik, Bank Negara Malaysia dengan ini mengumumkan langkah-langkah liberalisasi yang berikut:

  1. Untuk terus merangsang pasaran pertukaran asing domestik melalui permintaan yang lebih tinggi terhadap produk dan perkhidmatan dalam mata wang asing, pemastautin dibenarkan untuk melabur dalam aset tempatan dalam denominasi mata wang asing yang ditawarkan oleh pemastautin;
  2. Untuk terus menggalakkan pembangunan pasaran kewangan Islam menerusi aliran aktiviti kewangan Islam merentas sempadan yang lebih besar dan penggunaan pengantara kewangan Islam yang lebih meluas, pengendali takaful pemastautin dibenarkan untuk membuat sebarang  amaun pelaburan di luar negeri bagi pihak pelanggan pemastautin mereka;
  3. Untuk mempertingkat kecekapan pengawalseliaan, pengendali takaful pemastautin dan penanggung insurans pemastautin hanya tertakluk kepada rangka kerja modal berasaskan risiko (risk-based capital framework) apabila membuat pelaburan di luar negeri menggunakan dana milik sendiri (proprietary fund);
  4. Untuk memperdalam dan memperluas pasaran kewangan domestik dengan memudahkan aktiviti penjanaan dana dan mempromosikan Malaysia sebagai pusat originasi-
    • pemastautin dibenarkan untuk menerbitkan sebarang sekuriti dengan syarat terbitan sekuriti hutang kepada bukan pemastautin tersebut tertakluk kepada peraturan semasa mengenai peminjaman dengan bukan pemastautin; dan
    • bukan pemastautin dibenarkan untuk menerbitkan sekuriti dalam mata wang asing di Malaysia.
  5. Untuk terus menggalakkan budaya pengurusan risiko dan menyokong pembangunan pasaran mata wang asing -
    • pemastautin dibenarkan untuk melindung nilai anggaran yang berkaitan ringgit untuk transaksi akaun kewangan, dengan bank tempatan berlesen;
    • bukan pemastautin dibenarkan untuk melindung nilai anggaran yang berkaitan ringgit untuk transaksi akaun semasa, dengan bank tempatan berlesen; dan
    • bukan pemastautin dibenarkan untuk melindung nilai dedahan ringgit bagi pelaburan dalam ringgit yang dilaksanakan sebelum 1 April 2005, dengan bank tempatan berlesen, di samping fleksibiliti semasa untuk melindung nilai pelaburan dalam ringgit yang dilaksanakan dari 1 April 2005.
  6. Untuk meningkatkan lagi kecekapan pengawalseliaan dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan, entiti yang berdaftar dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan diklasifikasikan secara automatik sebagai bukan pemastautin.

Liberalisasi ini akan dilaksanakan apabila Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam berkuat kuasa. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai langkah liberalisasi ini, orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia melalui saluran hubungan berikut:

Talian bebas tol         : 1 300 88 5465 (BNMTELELINK)
Faksimili                      :  603 2174 1515
Emel                            :  [email protected]
Laman web   :  /fxadmin


Bank Negara Malaysia
20 Mac 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?