Mahasiswa Universiti Nottingham Malaysia Muncul Johan Cabaran Dasar Monetari Kursi Tun Ismail Ali
Imran Danial bin Adi Firdaus, Lee Wenn Shian dan Wan Zulyahya Amri bin Shoberi, penuntut daripada University of Nottingham Malaysia menerima hadiah sebagai johan Cabaran Dasar Monetari Kursi Tun Ismail Ali 2022 daripada Penolong Gabenor BNM Fraziali Ismail (kiri).
Sekumpulan tiga mahasiswa daripada Universiti Nottingham Malaysia telah muncul sebagai johan Cabaran Dasar Monetari Kursi Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Chair, TIAC) 2022. Kumpulan tersebut dianggotai oleh Imran Danial bin Adi Firdaus, Lee Wenn Shian dan Wan Zulyahya Amri bin Shoberi, di bawah bimbingan penasihat kumpulan Dr. Teo Wing Leong.
Cabaran TIAC mula diadakan sejak tahun 2018 bagi memupuk minat terhadap dasar monetari dan dasar awam serta menggalakkan lebih banyak wacana mengenai isu-isu kontemporari dalam kalangan mahasiswa. Setelah dihentikan seketika selama dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19, Cabaran TIAC kembali pada tahun ini dengan tumpuan baharu iaitu perumusan dasar monetari. Para peserta ditugaskan untuk menilai keadaan sebuah ekonomi rekaan dan mengambil tindakan dasar monetari yang wajar. Sebanyak 27 mahasiswa yang disenarai pendek daripada tujuh universiti telah bersaing dalam Cabaran TIAC selama dua hari di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM).
Kumpulan pemenang Cabaran TIAC membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 serta peluang menjalani latihan industri bersama BNM. Panel hakim menzahirkan rasa kagum dengan penilaian mendalam tentang keadaan ekonomi dan rasional bagi tindakan dasar monetari yang dirumuskan oleh kumpulan tersebut.
Encik Fraziali Ismail, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia berkata, "Cabaran pada tahun ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa tentang perbincangan dan pertimbangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dalam menetapkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha BNM untuk meningkatkan pemahaman orang ramai tentang peranan BNM dalam menggalakkan kestabilan monetari."
TIAC ditubuhkan pada tahun 2000 bagi memperingati Allahyarham Tun Ismail Ali yang merupakan rakyat Malaysia pertama yang dilantik sebagai Gabenor BNM. TIAC bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan, ulasan dan interaksi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan dasar monetari dan kewangan..
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.