Majlis Kepimpinan MIFC akan Memacu Usaha Mengukuhkan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Kepimpinan Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC). Majlis Kepimpinan MIFC (Majlis) ini berfungsi sebagai platform untuk menyediakan kepimpinan industri dalam usaha memperkukuh Malaysia sebagai pasaran global dan gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.
Peranan Majlis Kepimpinan MIFC termasuk menyediakan kepimpinan berwawasan serta memacu perumusan strategi dan memantau inisiatif industri dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam. Majlis dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan industri ke arah memupuk idea baharu, memperdalam dan mempelbagaikan hubungan strategik dengan rakan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan lagi advokasi global MIFC. Tan Sri Azman Mokhtar akan mengetuai Majlis ini sebagai Pengerusi dan ahli-ahli Majlis[1] terdiri daripada tokoh industri tempatan dan antarabangsa yang terkemuka berserta wakil daripada BNM dan SC. Ahli Majlis dilantik untuk tempoh tiga tahun dan akan berpandukan pelan pembangunan strategik negara, termasuk Pelan Sektor Kewangan BNM 2022 – 2026 dan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (Capital Market Masterplan 3, CMP3) SC.
Dalam melaksanakan mandatnya, Majlis akan memanfaatkan kepakaran dan bekerjasama dengan pakar kewangan, korporat dan ahli akademik serta pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan, untuk memajukan bidang kepentingan bersama dan menyokong perbincangan inisiatif industri.
Pembentukan Majlis ini diumumkan pada Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF) 2022 yang dihadiri lebih 1,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 35 negara. Bertemakan “Take The Reins”, GIFF 2022 memfokuskan kepada perkembangan baharu dalam kewangan Islam seperti fintech dan pendigitalan, innovasi berteraskan nilai serta peluang pada peringkat global untuk industri kewangan Islam bagi menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif dan mampan.

Bank Negara Malaysia
Securities Commission Malaysia
5 Oktober 2022
Lihat juga: Ucaptama Gabenor Shamsiah di Global Islamic Finance Forum 2022
Ahli Media boleh menghubungi Pegawai Media melalui;
Roziah Mohd. Hanifa ( [email protected]), Delyana Nordin ( [email protected])
Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia
Sejak diperkenalkan hampir 40 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang sebagai sebuah pasaran kewangan Islam yang maju dan komprehensif serta mampu memenuhi pelbagai keperluan ekonomi dan masyarakat. Pasaran ini mempunyai ciri-ciri kawal selia, pengawasan, rangka kerja Syariah dan perundangan yang mantap, pasaran kewangan Islam yang teguh dan progresif, kepelbagaian penggiat industri, platform komoditi dan pertukaran berbilang aset, gerbang pembayaran pelbagai saluran yang cekap untuk memudahkan pengantaraan kewangan, serta pangkalan bakat dengan keupayaan global dan hubung kait dengan urusan perniagaan di serata dunia.
Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan mendapat manfaat daripada persekitaran perniagaan yang sangat kondusif bagi inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga. Pasaran kami ialah ekosistem kewangan Islam yang menyeluruh dan persekitaran perniagaan bagi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga yang dikendalikan oleh komuniti MIFC, yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com dan ikuti kami menerusi Twitter (@MalaysiaIF)/ LinkedIn (@Malaysia World's Islamic Finance Marketplace).
Ahli-Ahli Majlis Kepimpinan MIFC

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.