Majlis Pecah Tanah Kampus Baharu Asia School of Business (ASB)

Embargo: Untuk siaran segera
23 Feb 2016 Siaran Akhbar

Asia School of Business (ASB) dengan kerjasama MIT Sloan School of Management hari ini menempa satu lagi pencapaian penting sejak penubuhannya setahun yang lalu, dengan bermulanya pembinaan kampusnya yang tersendiri di Bukit Perdana, Kuala Lumpur. Majlis pecah tanah dirasmikan oleh Pengerusi Bersama Lembaga Gabenor ASB, Profesor Richard Schmalensee dan Dr. Zeti Akhtar Aziz serta disaksikan oleh ahli-ahli Lembaga Gabenor ASB, tokoh-tokoh perniagaan dan tetamu kehormat daripada rakan korporat, kor diplomatik dan sektor awam.

Sejak penubuhannya pada tahun 2015, ASB telah beroperasi di Sasana Kijang, yang merupakan pusat kecemerlangan ilmu dan pembelajaran Bank Negara Malaysia yang canggih dan serba moden. Kampus yang tersendiri ini merupakan langkah penting untuk meletakkan ASB sebagai institusi pendidikan pengurusan perniagaan yang terunggul bagi membangunkan dan menghasilkan generasi pemimpin akan datang di rantau ini dan dalam ekonomi sedang pesat membangun.

Mengulang iltizam MIT terhadap projek ini, Profesor Richard Schmalensee, mantan Dekan MIT Sloan berkata, “Penglibatan global ialah sebahagian daripada DNA MIT Sloan. Sepanjang lapan dekad yang lalu, MIT Sloan telah menjalin hubungan yang akrab dengan sebilangan universiti dan organisasi lain di lebih 12 negara, dan kami amat teruja kerana telah dapat memulakan hubungan kerjasama sebegini dengan Malaysia. Kami berharap dapat menimba pengetahuan sekurang-kurangnya sebanyak pengetahuan yang dapat kami sampaikan.”

Menyedari keperluan sektor korporat dan perniagaan terhadap tenaga mahir berkebolehan dan berkualiti di rantau Asia, Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, “Ketika rantau ini semakin menjadi penting dan berpengaruh, kemahiran berinovasi dan keusahawanan amat diperlukan. ASB mempunyai matlamat yang besar dalam penawaran program pembelajarannya. Program yang ditawarkan ini bukan sahaja memberikan asas-asas bersifat teori dan penerapan amali bahkan memberikan pemahaman dan penghayatan yang lebih mendalam mengenai kedinamikan persekitaran ekonomi sedang pesat membangun, khususnya Asia. "Penubuhan ASB merupakan inisiatif penting bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga mahir yang mempunyai kemampuan tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada iltizam Bank dalam pelaburan pendidikan” ujar Dr. Zeti.

Bangunan di kampus ini akan dilengkapkan dengan kemudahan dan ruang pembelajaran berteknologi tinggi bagi membantu ASB melaksanakan pembelajaran secara praktikal (action learning) dan pendekatan berorientasikan amali bagi pendidikan pengurusan perniagaannya, yang akan menjadikan program MBA ASB program yang unggul. Di kampus ini juga terdapat bangunan asrama kediaman untuk para pelajarnya bagi menggalakkan kerja yang khusus dan produktif. Kampus ini memberi ASB ruang untuk membuat perubahan dan berkembang, dengan peluang untuk membentuk identiti ikoniknya yang tersendiri. Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) ASB selama 18 bulan akan menawarkan pendidikan perniagaan bertaraf dunia berasaskan kecemerlangan kurikulum MIT Sloan yang disokong oleh perspektif Asia. Proses pendidikan ASB akan menerapkan nilai-nilai MIT Sloan yang menekankan pembelajaran secara praktikal. Menerusi projek pembelajaran sedemikian, pelajar akan menerapkan teori pengurusan perniagaan dalam pelbagai situasi sebenar institusi dan organisasi. Program ini juga akan memupuk semangat keusahawanan dan DNA inovasi, yang juga merupakan ciri-ciri kecemerlangan pendidikan MIT Sloan.

Pembinaan kampus baharu ASB dijangka siap pada tahun 2018.

Untuk maklumat lanjut, sila layari  http://www.asb.edu.my.  
 
 
Bank Negara Malaysia
Massachusetts Institute of Technology Sloan School of Management
23 Februari 2016


Bank Negara Malaysia
23 Februari 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?