Maklum Balas Orang Ramai Terhadap Draf Rang Undang-Undang untuk Meminda Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mendapatkan maklum balas daripada orang ramai terhadap draf rang undang-undang untuk meminda Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP). Orang ramai, peserta industri, pengantara dan pihak berkepentingan yang berkaitan dialu-alukan untuk memberikan maklum balas mereka terhadap draf rang undang-undang ini.
Objektif pindaan terhadap AIKP adalah untuk mengukuhkan lagi kapasiti dan keupayaan institusi kewangan pembangunan (IKP) sejajar dengan persekitaran operasi dan kewangan yang pesat berubah. Langkah ini bagi memastikan IKP akan terus memberikan sokongan pembiayaan kepada sektor strategik sebagaimana ditetapkan oleh Kerajaan, khususnya penyediaan pembiayaan kepada PKS dan peniaga mikro.
Cadangan Pindaan
Pindaan ini akan tertumpu pada usaha mengukuhkan lagi amalan pengurusan risiko IKP. Proses tadbir urus akan ditambah baik dengan ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan memikul tanggungjawab dan akauntabiliti yang lebih besar. Lembaga Pengarah juga akan memainkan peranan pengawasan yang lebih meluas untuk menentukan hala tuju strategik IKP.
Pindaan ini juga akan mempertingkat tahap perlindungan pengguna dan ketelusan. Pelanggan IKP akan diberikan perlindungan yang diperlukan dan tahap ketelusan bagi produk dan perkhidmatan kewangan, seperti yang disediakan oleh institusi perbankan. Pindaan ini juga akan memastikan urusan perniagaan IKP dengan pelanggannya adalah adil, bertanggungjawab dan profesional.
Cadangan pindaan ini juga memasukkan keperluan Syariah untuk menjadi panduan kepada IKP yang menjalankan aktiviti perniagaan Islam. Satu rangka kerja penalti yang komprehensif juga akan dimasukkan untuk membolehkan penggunaan instrumen penguatkuasaan yang berkesan dalam usaha menangani ketidakpatuhan secara berkesan.
Maklum balas daripada orang ramai dan pelbagai pihak yang berkepentingan
Orang ramai, peserta industri, pengantara dan pihak berkepentingan yang berkaitan digalakkan untuk memberikan maklum balas bertulis terhadap draf rang undang-undang ini. Draf rang undang-undang ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang BNM di www.bnm.gov.my. Tarikh akhir untuk menghantar maklum balas adalah pada 14 November 2014.
Semua maklum balas boleh dihantar melalui e-mel berikut: [email protected]
Lampiran I : Jadual Ringkasan
Lampiran II : Draf Rang Undang-Undang Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002
Bank Negara Malaysia
15 Oktober 2014
Mengenai Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP)
AIKP ialah rangka kerja pengawalseliaan yang bertujuan untuk menggalakkan pengurusan institusi kewangan pembangunan (IKP) yang selamat dan mantap. Khususnya, AIKP bertujuan untuk memastikan pelaksanaan peranan yang telah dimandatkan secara cekap dan berkesan sejajar dengan matlamat Kerajaan. IKP merupakan institusi kewangan khusus yang ditubuhkan oleh Kerajaan sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk membangunkan dan menggalakkan sektor strategik tertentu seperti pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan infrastruktur, perkapalan dan industri berintensif modal dan berteknologi tinggi untuk pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Pada masa ini, IKP yang di bawah kawal selia BNM ialah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad, Export-Import Bank of Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Bank Pertanian Malaysia Berhad.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.