Maklum Balas Orang Ramai Terhadap Kertas Konsep Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran

Embargo: Untuk siaran segera
14 Okt 2014 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (Bank) akan mengeluarkan kertas konsep mengenai Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran (Rangka Kerja) untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai. Rangka Kerja ini bertujuan untuk menggalakkan industri kad pembayaran yang cekap, telus dan kompetitif di Malaysia, selaras dengan mandat berkanun Bank di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 serta saranan yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan Bank.

Rangka Kerja ini memastikan sebarang kenaikan dalam kos penerimaan kad pembayaran adalah munasabah. Ini dapat dilaksanakan melalui objektif dan mekanisme yang telus yang diwujudkan untuk pembayaran balik fi dalam kalangan peserta industri kad pembayaran. Bagi melengkapkan mekanisme ini, Rangka Kerja ini juga antara lain, memperkenalkan langkah-langkah untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan dan penerimaan kad pembayaran yang kos efektif melalui penggunaan isyarat harga yang tepat dan memberikan pilihan aplikasi pemprosesan kad pembayaran  kepada peniaga.

Orang ramai, peserta industri dan pihak berkepentingan lain yang berkenaan  dipelawa untuk memberikan maklum balas secara bertulis terhadap kertas konsep ini. Semua maklum balas secara bertulis hendaklah dihantar ke alamat berikut atau melalui e-mel kepada [email protected] selewat-lewatnya pada 10 November 2014:

Pengarah
Jabatan Dasar Sistem Pembayaran
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur.


Lampiran: Kertas Konsep - Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran 

 


Bank Negara Malaysia
14 Oktober 2014

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?