Makluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir bulan April 2001: Nota Penerangan
. Tujuan penyediaan butiran terperinci rizab antarabangsa ialah untuk memberi maklumat dahuluan bukan sahaja dari segi saiz rizab, tetapi juga berkenaan jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pada masa hadapan yang terjadual dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi Kerajaan Persekutuan and Bank Negara Malaysia.
2. Butiran terperinci rizab antarabangsa adalah mengikuti format baru SDDS seperti di Jadual I, II dan III. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual I, jumlah rizab pada akhir bulan April 2001 adalah sebanyak AS$26,437.94 juta, iaitu termasuk aset rizab rasmi yang berjumlah AS$25,383.37 juta dan lain-lain aset mata wang asing sebanyak AS$1,054.57 juta.
3. Unjuran bagi aliran masuk jangka pendek (tetap) bersih aset mata wang asing bagi tempoh 12 bulan akan datang adalah seperti di Jadual II. Data bagi aliran masuk merujuk kepada pulangan daripada rizab dan perolehan dari pinjaman asing. Aliran keluar adalah terutamanya bagi khidmat hutang luar negeri oleh Kerajaan Persekutuan. Pada akhir bulan April 2001, adalah dijangkakan bahawa dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, akan terdapat aliran masuk bersih sebanyak AS$0.9 bilion mencerminkan aliran masuk daripada pulangan keatas rizab dan perolehan dari pinjaman asing yang melebihi pembayaran hutang luar. Unjuran-unjuran ini tidak termasuk aliran masuk daripada punca lain seperti perdagangan atau aliran portfolio. Urus niaga hadapan terkumpul yang dilakukan adalah kecil.
4. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek dalam aset mata wang asing adalah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun, yang berjumlah AS$249 juta. Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman yang bersertakan opsyen, kemudahan kredit yang tak bersyarat dan belum dipakai yang diberi oleh atau kepada bank-bank pusat yang lain, institusi antarabangsa, bank-bank dan lain-lain institusi kewangan. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing berbanding ringgit.
5. Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format baru SDDS IMF menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir bulan April 2001 kekal boleh diguna dan tidak membebankan. Unjuran bagi pengeluaran hadapan jangka pendek (tetap) bersih ialah terdapatnya aliran masuk bersih mata wang asing dalam 12 bulan akan datang. Kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek Malaysia dalam rizab antarabangsa adalah kecil.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.