Makluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Julai 2000: Nota Penerangan
Embargo: Untuk siaran segera
30 Ogo 2000
Siaran Akhbar
- Tujuan memberi butiran terperinci rizab antarabangsa ialah untuk menyediakan maklumat dahuluan bukan sahaja dari segi saiz rizab, tetapi juga berkenaan jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pada masa hadapan dan potensinya dalam tempoh 12 bulan akan datang.
- Butiran terperinci rizab antatabangsa mengikuti format baru SDDS adalah seperti di Jadual I, II dan III. Jadual I menunjukkan bahawa jumlah rizab pada akhir bulan Julai 2000 berjumlah AS$33,360.34 juta, iaitu termasuk aset rizab rasmi yang berjumlah AS$31,996.19 juta dan lain-lain aset mata wang asing sebanyak AS$1,364.15 juta.
- Data bagi unjuran untuk pengeluaran hadapan jangka pendek (tetap) bersih yang diambil kira adalah seperti di Jadual II. Data bagi aliran masuk merujuk kepada pulangan daripada rizab. Aliran keluar adalah terutamanya bagi khidmat hutang luar negeri. Sehingga akhir bulan Julai 2000, adalah dijangkakan bahawa dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, akan terdapat aliran keluar bersih aset mata wang asing sebanyak AS$92 juta, disebabkan oleh kematangan bon Yankee sebanyak AS$200 juta yang diperoleh pada tahun 1990 dan pelaksanaan opsyen jual pada nota kadar terapung (FRN) Malaysia oleh pemegang bon pada bulan Julai. Kedua-dua bon tersebut akan matang untuk pembayaran semula dalam tempoh tiga bulan akan datang. Berikutan dengan ini Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai sebarang pinjaman mata wang asing lain yang bersertakan opsyen. Jadual juga menunjukkan bahawa urus niaga hadapan terkumpul yang dilakukan adalah kecil.
- Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek dalam aset mata wang asing adalah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun sebanyak AS$226 juta. Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman yang bersertakan opsyen, kemudahan kredit yang tak bersyarat dan belum dipakai yang diberi oleh atau kepada bank-bank pusat yang lain, institusi antarabangsa, bank-bank dan lain-lain institusi kewangan. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing berbanding ringgit.
- Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format baru SDDS IMF menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir bulan Julai 2000 adalah kukuh, boleh diguna dan tidak membebankan. Jumlah aset mata wang asing yang bukan merupakan tuntutan terhadap bukan pemastautin adalah kecil. Unjuran aliran keluar bersih aset mata wang asing bagi 12 bulan akan datang adalah kecil dan terutamanya disebabkan oleh penggunaan opsyen yang terkandung dalam FRN pada bulan Julai. Kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek Malaysia dalam rizab antarabangsa adalah kecil.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!