Makluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Jun 2000: Nota Penerangan

Embargo: Untuk siaran segera
31 Jul 2000 Siaran Akhbar
  1. Tujuan memberi butiran terperinci rizab antarabangsa ialah untuk menyediakan maklumat dahuluan bukan sahaja dari segi saiz rizab, tetapi juga berkenaan jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pada masa hadapan dan potensinya dalam tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan keupayaan dalam menilai kelemahan serta pendedahan kepada risiko pertukaran asing.

  2. Butiran terperinci rizab antatabangsa mengikuti format baru Piawaian Penyebaran data Khas (SDDS) adalah seperti di Jadual I, II dan III. Jadual I menunjukkan bahawa jumlah rizab pada akhir bulan Jun 2000 berjumlah AS$33,996.17 juta, iaitu termasuk aset rizab rasmi yang berjumlah AS$32,474.11 juta dan lain-lain aset mata wang asing sebanyak AS$1,522.06 juta.

  3. Data bagi unjuran untuk pengeluaran hadapan jangka pendek (tetap) bersih yang diambil kira adalah seperti di Jadual II. Data bagi aliran masuk daripada ambilan keluar pokok pinjaman mata wang asing masih sedang dikumpul. Aliran keluar adalah terutamanya bagi khidmat hutang luar negeri. Memandangkan bukan semua aliran masuk dapat dimasukkan, Jadual II buat masa ini menunjukkan aliran masuk bersih yang lebih kecil. Walau bagaimana pun, kedudukan Malaysia masih memuaskan pada akhir Jun 2000, dengan aliran masuk bersih aset mata wang asing berjumlah AS$560 juta bagi tempoh 12 bulan akan datang. Jadual juga menunjukkan bahawa urus niaga hadapan yang diambil adalah kecil.

  4. Seperti dalam Jadual III, butiran 1, jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh setahun adalah sebanyak AS$226 juta. Bagi Butiran 2, penerbitan sekuriti mata wang asing yang mempunyai opsyen, di mana pemegang bon mempunyai hak untuk melaksanakan opsyen jual kepada Kerajaan dalam tempoh 12 bulan akan datang adalah berjumlah AS$650 juta. Malaysia tidak mempunyai sebarang kemudahan kredit yang tak bersyarat dan belum dipakai yang diberi oleh atau kepada bank-bank pusat yang lain, institusi antarabangsa, bank-bank dan lain-lain institusi kewangan. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing berbanding ringgit.

  5. Butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format baru SDDS IMF menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir bulan Jun 2000 adalah kukuh, boleh diguna dan tidak berbeban. Jumlah aset mata wang asing yang bukan tuntutan terhadap bukan pemastautin adalah pada tahap minimum. Unjuran aliran keluar jangka pendek bersih yang pasti terhadap rizab pada masa depan ialah aliran masuk bersih aset mata wang asing bagi 12 bulan akan datang, mencerminkan pulangan daripada rizab melebihi bayaran balik hutang luar negeri. Komitmen Malaysia kepada urus niaga hadapan, opsyen dan jaminan hutang adalah juga kecil.


Bank Negara Malaysia
31 Julai 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?