Makluman Terperinci bagi Rizab Antarabangsa pada akhir bulan Ogos 2000: Nota Penerangan

Embargo: Untuk siaran segera
30 Sep 2000 Siaran Akhbar
  1. Tujuan penyediaan butiran terperinci rizab antarabangsa ialah untuk memberi maklumat dahuluan bukan sahaja dari segi saiz rizab, tetapi juga berkenaan jenis dan kebolehgunaan rizab, serta aliran keluar masuk pertukaran asing pada masa hadapan dan potensinya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

  2. Butiran terperinci rizab antatabangsa mengikuti format baru SDDS adalah seperti di Jadual I, II dan III. Jadual I menunjukkan bahawa jumlah rizab pada akhir bulan Ogos 2000 adalah sebanyak AS$33,177.06 juta, iaitu termasuk aset rizab rasmi yang berjumlah AS$31,842.92 juta dan lain-lain aset mata wang asing sebanyak AS$1,334.14 juta.

  3. Data bagi unjuran untuk pengeluaran hadapan jangka pendek (tetap) bersih bagi tempoh 12 bulan akan datang adalah seperti di Jadual II. Data bagi aliran masuk merujuk kepada pulangan daripada rizab dan perolehan dari pinjaman asing. Aliran keluar adalah terutamanya bagi khidmat hutang luar negeri. Adalah dijangkakan bahawa dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, akan terdapat aliran masuk bersih sebanyak AS$438 juta, mencerminkan aliran masuk daripada pulangan keatas rizab dan perolehan daripada pembukaan semula Nota Malaysia 1999/2009 sebanyak AS$500 juta, yang melebihi pembayaran hutang luar negeri. Urus niaga hadapan terkumpul yang dilakukan adalah kecil.

  4. Seperti yang ditunjukkan dalam Jadual III, satu-satunya kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek dalam aset mata wang asing adalah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang matang dalam tempoh satu tahun yang berjumlah AS$226 juta. Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman yang bersertakan opsyen, kemudahan kredit yang tak bersyarat dan belum dipakai yang diberi oleh atau kepada bank-bank pusat yang lain, institusi antarabangsa, bank-bank dan lain-lain institusi kewangan. Bank Negara Malaysia juga tidak terlibat dalam urus niaga opsyen dalam mata wang asing berbanding ringgit.

  5. Secara keseluruhannya, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format baru SDDS IMF menunjukkan bahawa rizab Malaysia pada akhir bulan Ogos 2000 adalah kukuh, boleh diguna dan tidak membebankan. Jumlah aset mata wang asing yang bukan merupakan tuntutan terhadap bukan pemastautin adalah kecil. Unjuran bagi pengeluaran hadapan jangka pendek (tetap) bersih ialah terdapatnya aliran masuk bersih mata wang asing dalam 12 bulan aan datang. Kontinjen pengeluaran bersih jangka pendek Malaysia dalam rizab antarabangsa adalah kecil.

Table I: Official reserves assets and other foreign currency assets
Table II: Predetermined short-term net drains on foreign currency assets
Table III: Contingent short-term net drains on foreign currency assets
Table IV: Memo Items


Bank Negara Malaysia
30 September 2000

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?