Maklumat Terkini Langkah Menangani Aliran Kewangan yang Tidak Direkodkan

Embargo: Untuk siaran segera
01 Mac 2013 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memberikan maklumat terkini berhubung langkah yang telah diambil oleh anggota Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi Peringkat Tinggi (Pasukan Petugas) untuk mengurangkan aliran keluar kewangan haram. Pasukan Petugas ini terdiri daripada Jabatan Peguam Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Pasukan Petugas ini berperanan untuk mengendalikan penyelarasan dan kerjasama yang lebih berkesan dalam kalangan agensi penguatkuasa tempatan dan antarabangsa untuk mengurangkan kegiatan aliran kewangan haram.

Aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan berkemungkinan terlebih catat
Laporan yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan asing  baru-baru ini telah membangkitkan isu aliran keluar kewangan haram yang besar dari negara-negara sedang membangun. Penting untuk diambil perhatian bahawa anggaran yang dinyatakan dalam laporan tersebut pada dasarnya merupakan ‘aliran kewangan yang tidak direkodkan’ dan  tidak semestinya ‘aliran kewangan haram’.

Laporan itu menganggarkan sebanyak 80% daripada jumlah aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan di Malaysia, iaitu sebanyak USD227.1 bilion pada tempoh tahun 2001-2010 adalah disebabkan oleh trade mispricing. Walau bagaimanapun, aliran keluar kewangan yang tidak direkodkan yang diperoleh daripada perbandingan data eksport dan import antara negara juga timbul kerana percanggahan data dan cara pengumpulan perangkaan perdagangan yang berbeza antara negara. Ini termasuk perbezaan masa merekod, pelbagai cara penilaian dan pengecualian beberapa jenis barangan. Keadaan ini dirumitkan lagi oleh cara merekod barangan yang dieksport melalui hab eksport semula (re-export hub).  Sebagai contoh, eksport oleh Malaysia ke sesebuah negara rakan perdagangan tertentu mungkin tidak menunjukkan rekod jumlah import yang sama dari Malaysia oleh negara itu. Percanggahan ini timbul kerana import direkodkan berdasarkan negara pengeksport asal yang juga merangkumi eksport melalui negara lain (re-export hub). Selepas mengambil kira perdagangan Malaysia yang dieksport melalui Singapura dan Hong Kong (hab eksport semula), anggaran trade mispricing antara Malaysia dengan 10 rakan perdagangan utamanya telah berkurang dengan nyata sebanyak kira-kira 70%. Memandangkan anggaran trade mispricing dalam laporan itu tidak mengambil kira percanggahan tersebut dalam perangkaan perdagangan, anggaran aliran keluar haram telah terlebih catat (overstated).

Laporan itu juga menganggarkan 20% daripada aliran keluar haram merujuk kepada pindahan perolehan yang tidak direkodkan melalui saluran tidak rasmi yang dicakupi dalam item Kesilapan dan Ketinggalan (Errors and Omissions, E&O) Imbangan Pembayaran Malaysia.  Perlu diambil perhatian bahawa bukan kesemua jumlah E&O disebabkan oleh kegiatan haram, memandangkan ia juga termasuk kesilapan perangkaan yang sebenar daripada pengumpulan perangkaan perdagangan luar dan transaksi kewangan merentas sempadan. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah ekonomi yang sangat terbuka dengan jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan berpurata pada 192% daripada KDNK dalam tempoh ini, percanggahan tersebut sudah tentu menjadi besar dalam nilai sebenarnya. Walau bagaimanapun, disedari bahawa satu bahagian daripada E&O mungkin didapati daripada pindahan dana yang diperoleh daripada kegiatan haram, jenayah terancang dan pengelakan duti dan cukai kastam. Namun, apa yang penting ialah E&O telah berpurata pada 2% daripada jumlah perdagangan, jauh di bawah paras penanda aras 5% yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Nisbah ini juga semakin menurun sejak tahun 2010.

Pelbagai langkah telah diambil dan terus dipertingkat
Kerajaan sangat memandang serius terhadap sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan negara. Malah, lama sebelum laporan berkaitan aliran keluar haram disiarkan, usaha telah pun diambil oleh Kerajaan untuk membanteras aliran keluar kewangan haram melalui pelbagai langkah pencegahan. Kerjasama antara agensi yang berkenaan berhubung isu ini telah dimulakan sejak tahun 2008. Ini seterusnya telah membawa kepada penubuhan Pasukan Petugas ini pada tahun 2010.

Bagi mengurangkan trade mispricing, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengambil tindakan terhadap entiti perniagaan dan individu yang mengelak cukai kastam khususnya dalam kes invois eksport dan import barangan yang terkurang atau terlebih, dan juga penghantaran secara atas kertas sahaja dan pemalsuan lain dalam nilai atau kuantiti penghantaran. Pemantauan dan pengawasan yang lebih ketat telah dibuat di pelbagai pintu masuk dan keluar negara, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (closed-circuit television, CCTV) dan pengimbas. Selain itu, semua pengembara (pemastautin dan bukan pemastautin di Malaysia) dikehendaki mengistiharkan kepada Kastam sekiranya membawa masuk atau keluar dari Malaysia wang tunai berjumlah melebihi USD10,000 atau jumlah yang bersamaan dengannya dalam Ringgit dan mata wang asing.

Pada 1 Disember 2011, Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang  baharu, di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia, telah berkuat kuasa untuk menyokong pembangunan industri perniagaan perkhidmatan wang yang lebih dinamik dan berdaya saing (terdiri daripada perniagaan pengurupan wang, pengiriman wang dan mata wang borong). Langkah pelesenan semula yang diambil bagi semua perniagaan perkhidmatan wang telah selesai dijalankan pada tahun 2012, lantas mengurangkan bilangan pengurup wang daripada 839 kepada 511. Langkah ini telah meningkatkan keupayaan industri perniagaan perkhidmatan wang untuk menjadi lebih profesional serta mencegah peserta industri daripada menjadi saluran kepada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Di samping itu, langkah ini juga membolehkan kelulusan diberikan kepada pengurup wang yang berkelayakan untuk menjadi ejen pengiriman wang. Ini dijangka dapat memudahkan pengiriman wang, terutamanya oleh pekerja-pekerja asing untuk berpindah daripada saluran tidak rasmi kepada saluran rasmi. Akta Perniagaan Pengiriman Wang 2011 melengkapkan lagi langkah-langkah yang telah dilaksanakan dan tindakan yang diambil di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA 2011). AMLATFA 2011 yang berkuat kuasa pada 15 Januari 2002 memperuntukkan pengubahan wang hasil daripada jenayah berat sebagai satu kesalahan jenayah. Malaysia kini mempunyai perundangan yang lebih teguh untuk menyokong usaha mencegah aliran kewangan haram.

Selain itu, usaha Malaysia untuk mengukuhkan perundangan dan pelaksanaan langkah Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan telah diiktiraf oleh IMF dan Bank Dunia semasa Program Penilaian Kestabilan Kewangan (FSAP). Malaysia diberikan penarafan ‘Mematuhi’ untuk kedua-dua Prinsip Teras Basel (Prinsip 18) dan Prinsip Teras Insurans (ICP22).

Kerjasama yang lebih erat antara agensi penguatkuasa tempatan dengan rakan antarabangsa mereka melalui perkongsian pangkalan data, maklumat dan risikan dan tindakan penguatkuasaan bersama, yang sebahagiannya dipermudah oleh Pasukan Petugas telah membuahkan hasil yang positif dalam mencegah aktiviti haram. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia telah mengambil tindakan terhadap entiti dan individu yang telah mengelak cukai syarikat. Lembaga Hasil juga telah menjalankan audit cukai terhadap syarikat dan mengukuhkan penguatkuasaan untuk meminimumkan pengelakan cukai. Pihak Kastam juga bertambah giat menjalankan aktiviti penguatkuasaan mereka. Usaha ini telah membuahkan hasil dengan peningkatan yang ketara dalam pungutan hasil cukai dan duti.

Melangkah ke hadapan, isu trade mispricing juga boleh diatasi dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menghendaki pelaporan nilai ditambah pada pelbagai peringkat pengeluaran. Menyedari kepentingan menangani masalah aliran kewangan haram, usaha berterusan yang konkrit dan bersepadu antara pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk agensi merentas sempadan akan terus dilaksanakan bagi memastikan sistem kewangan Malaysia berintegriti dan stabil.

 


Bank Negara Malaysia
01 Mac 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?