Maklumat terkini mengenai penyiasatan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas

Embargo: Untuk siaran segera
05 Nov 2012 Siaran Akhbar

Susulan serbuan baru-baru ini terhadap empat syarikat yang disyaki mengendalikan skim pelaburan haram menggunakan emas, agensi penguatkuasaan dengan ini memberikan maklumat terkini seperti yang berikut.
 
Penyiasatan yang dijalankan mendapati sesetengah daripada syarikat yang terbabit ini tidak mempunyai simpanan rekod yang memuaskan, dan gagal menyimpan semua rekod transaksi perniagaan dan kewangan dengan baik dan tepat. Syarikat-syarikat ini mempunyai simpanan rekod kewangan dalam pelbagai versi untuk tujuan yang berbeza-beza. Syarikat-syarikat ini juga gagal mengemukakan akaun untuk diaudit oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.  Bagi perniagaan, terutamanya yang melibatkan bilangan pelabur dan jumlah wang yang besar, penyimpanan rekod transaksi perniagaan yang baik dan tepat adalah sangat penting untuk mengelak daripada berlakunya salah pengurusan kewangan atau memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan kewangan sebenar syarikat.
 
Rekod yang disita menunjukkan sebahagian besar bilangan pelabur telah membayar wang pelaburan mereka tetapi masih belum menerima emas yang dibeli, sebelum serbuan tersebut dibuat.  Dalam kes tertentu, tempoh menunggu untuk mendapatkan emas  tersebut telah melebihi lima bulan.  Jumlah emas yang disita daripada semua syarikat semasa serbuan ialah kira-kira 142.7 kilogram, manakala wang dalam akaun bank dan wang tunai berjumlah RM101.92 juta.
 
Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran yang dialami oleh para pelabur yang terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut. Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain.
Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa. Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan.
   
Maklumat lanjut berhubung dengan penyiasatan ini akan dimaklumkan
kepada orang ramai dari semasa ke semasa.  


 
Kenyataan bersama oleh:
 
Bank Negara Malaysia
Polis Diraja Malaysia
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
 
5 November 2012


Bank Negara Malaysia
05 November 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?