Maklumat Terkini Mengenai Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan

Embargo: Untuk siaran segera
05 Sep 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin merujuk kepada beberapa laporan akhbar baru-baru ini mengenai Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan yang dikeluarkan oleh pihak Bank.  Senarai ini diperkenalkan sebagai panduan dan rujukan segera buat orang ramai apabila  membuat keputusan berhubung dengan pelbagai perkhidmatan kewangan yang ditawarkan oleh pihak  yang tidak berlesen.

Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini merujuk kepada senarai individu atau syarikat yang telah disalah anggap sebagai mendapat lesen atau dibenarkan oleh pengawal selia termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini mengandungi maklumat syarikat atau individu yang tidak mendapat lesen daripada mana-mana pengawal selia dan pihak Bank telah menerima pelbagai pertanyaan mengenai mereka daripada orang ramai. Senarai ini bukanlah senarai sepenuhnya dan akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465. Senarai Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan ini boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my/consumeralert).

Bank Negara Malaysia juga ingin menyatakan bahawa orang ramai boleh membeli dan menjual emas. Walau bagaimanapun, orang ramai perlu berhati-hati terhadap pelbagai skim pengambilan deposit dan pelaburan haram khususnya dalam logam berharga seperti emas yang menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur. Skim-skim ini menawarkan pulangan yang lumayan dalam tempoh masa yang pendek berserta opsyen belian balik emas tersebut. Skim-skim ini mungkin merupakan "skim cepat kaya" atau dipanggil "skim Ponzi", yakni wang pelaburan yang terkumpul digunakan untuk membayar "pulangan lumayan" kepada pelabur lain. Skim-skim sebegini adalah haram dan merupakan suatu penipuan, dan orang ramai mungkin kehilangan semua wang mereka.

Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan sangat menarik, namun mereka tidak mendapat lesen daripada pihak berkuasa yang berkenaan.


Bank Negara Malaysia
05 September 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?