Maklumat terkini mengenai serbuan bersama oleh agensi penguatkuasaan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas

Embargo: Untuk siaran segera
10 Okt 2012 Siaran Akhbar

Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin memberikan maklumat terkini berhubung dengan serbuan bersama terhadap syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas.

Serbuan telah dibuat untuk melindungi kepentingan para pelabur dan orang ramai daripada menjadi mangsa skim haram tersebut.
 
Hasil pemantauan dan pemerhatian ke atas syarikat-syarikat berkenaan telah menunjukkan bahawa syarikat-syarikat tersebut menjalankan skim yang dipercayai tidak mampu bertahan lama bagi membuat pembayaran bulanan yang lumayan seperti dijanjikan, dan mereka juga tidak dapat membuat belian balik emas yang telah dijual kepada para pelabur. Skim ini tidak boleh bertahan lama memandangkan pulangan yang dijanjikan adalah bukan daripada urus niaga emas tetapi diambil daripada wang pelaburan para pelabur baharu.  Siasatan yang dibuat juga menunjukkan bahawa jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat tersebut adalah amat kecil dan tidak sejajar dengan jumlah wang yang dilaburkan oleh para pelabur skim ini. 
 
Sebelum serbuan bersama dibuat, didapati bahawa syarikat-syarikat tersebut telah melengahkan pemulangan emas mahupun pembayaran wang kepada para pelabur dalam tempoh masa yang dijanjikan. Kesemua ini merupakan tanda-tanda awal kegagalan skim ini yang akan mengakibatkan para pelaburnya mengalami kerugian yang besar.
 
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi:

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faksimile: 03-2174 1515

Jabatan Peguam Negara
Polis Diraja Malaysia
Bank Negara Malaysia


Bank Negara Malaysia
10 Oktober 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?