Maklumat Terkini Status Skim Rumah Pertamaku

Embargo: Untuk siaran segera
14 Mac 2012 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin memberikan laporan terkini mengenai status Skim Rumah Pertamaku (Skim). Skim yang dilancarkan pada bulan Mac 2011 ini bertujuan membolehkan golongan muda yang bekerja memperoleh 100% pembiayaan daripada institusi perbankan bagi pembelian rumah pertama mereka yang mempunyai nilai maksimum RM220,000 (untuk seorang pemohon) atau maksimum RM400,000 (untuk permohonan bersama suami dan isteri dengan gabungan pendapatan isi rumah di bawah RM6,000 sebulan). Permohonan boleh dikemukakan kepada institusi perbankan yang mengambil bahagian dan apabila diluluskan, Cagamas akan memberikan jaminan sebanyak 10% pertama daripada pinjaman.

Pada akhir bulan Januari 2012, jumlah permohonan ialah sebanyak 1,624, dengan 562  pemohon menarik diri disebabkan oleh permohonan berganda kepada pelbagai institusi perbankan. Daripada 1,062 permohonan sebenar, 389 (36.6%) permohonan telah diluluskan oleh institusi perbankan, dengan 280 permohonan mendapat jaminan daripada Cagamas. Sementara itu, 168 (15.8%) permohonan kini sedang diproses oleh institusi perbankan. Permohonan yang gagal memenuhi kriteria kelayakan ialah sebanyak 505 (47.5%). Pemohon yang layak perlu mempunyai keupayaan untuk memenuhi obligasi hutang mereka, memberikan bukti aliran pendapatan yang berterusan, rekod kredit yang baik, dan berupaya memenuhi kriteria kelayakan asas Skim. Ini adalah untuk memastikan golongan muda yang meminjam tidak dibebani dengan obligasi hutang yang mungkin menyebabkan kemuflisan dan penarikan balik harta kediaman tersebut.

Maklumat lanjut mengenai Skim ini boleh didapati di laman sesawang Skim Rumah Pertamaku. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Persatuan Bank-Bank Malaysia (No. telefon: +603-2078 8041) atau BNMLINK (Tel: 1-300-88-5465).


Bank Negara Malaysia
14 Mac 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?