Maklumat terkini tentang kes Bestino Golden House Sdn. Bhd.

Embargo: Untuk siaran segera
22 Feb 2012 Siaran Akhbar

Kami merujuk kepada dakwaan-dakwaan berkenaan dengan kes Bestino Golden House Sdn. Bhd. (Bestino) yang sedang menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen Ipoh. Bank Negara Malaysia ingin membuat penjelasan seperti yang berikut:

  1. Tuntutan menyatakan Bank Negara Malaysia patut mengembalikan aset-aset yang dirampas semasa penyiasatan dijalankan.

    • Empat Pengarah Bestino telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh pada 23 Februari 2011, di bawah seksyen 25(1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) kerana disyaki menjalankan aktiviti pengambilan deposit haram dan seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) untuk kesalahan penggubahan wang.

    • Aset-aset yang dirampas di bawah seksyen 50(1) AMLATFA berjumlah RM24.2 juta pada masa ini ditahan sebagai bukti. Oleh itu, aset-aset ini tidak boleh dikembalikan sehingga tamat perbicaraan.

  2. Dakwaan bahawa Bank Negara Malaysia telah menghalang pemulangan balik aset yang tidak dirampas, yang dikatakan adalah milik Bestino:

    • Kebenaran daripada Bank Negara Malaysia tidak diperlukan. Bestino boleh memulangkan apa-apa dana yang didakwa ada dalam simpanan kepada pelabur, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kenyataan akhbar Bank Negara Malaysia bertarikh 11 Ogos 2011.

Bestino juga masih belum memberikan jawapan kepada Bank Negara Malaysia berhubung tarikh untuk mengadakan mesyuarat tiga pihak dengan pelabur skim dan juga Bank Negara Malaysia. Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada Bestino untuk menerangkan sebarang rancangan yang dikatakan ada kepada pelabur mereka untuk membayar balik wang pelabur dan juga untuk pelabur mempertimbangkan rancangan ‘restitution’ yang ditawarkan oleh Bestino, sekiranya ada.


Bank Negara Malaysia
22 Februari 2012

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?