Maklumat yang diterima daripada Unit Perisikan Kewangan asing

03 Mac 2021 Siaran Akhbar

Dalam memainkan peranannya sebagai Unit Perisikan Kewangan (Financial Intelligence Unit, FIU) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Bank Negara Malaysia boleh mendedahkan semua maklumat yang diterima daripada FIU asing kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dalam negeri yang berkaitan.

Bank Negara Malaysia juga merupakan ahli Kumpulan Unit Perisikan Kewangan Egmont1 (Egmont Group) yang terikat pada Prinsip Pertukaran Maklumat Edmond Group dalam kalangan FIU bagi melindungi kerahsiaan maklumat mengikut piawaian dan protokol antarabangsa.

BNM mempunyai mekanisme untuk melindungi kebebasan operasi FIU, yang mematuhi sepenuhnya standard antarabangsa Pasukan Petugas Tindakan Kewangan2 (Financial Action Task Force, FATF). Mekanisme ini memastikan bahawa tidak ada halangan terhadap aliran maklumat kepada agensi penguatkuasaan.

 


 

1 Egmont Group merupakan badan gabungan 166 Unit Perisikan Kewangan (FIU). Badan ini menyediakan platform bagi pertukaran kepakaran dan perisikan kewangan yang selamat untuk memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (money laundering and terrorism financing, ML/TF). Hal ini sangat relevan kerana FIU berada dalam kedudukan yang unik untuk bekerjasama dan menyokong usaha pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk membanteras pembiayaan keganasan dan merupakan gerbang yang dipercayai bagi perkongsian maklumat kewangan di dalam dan luar negara sesuai dengan piawaian Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML / CFT) global. https://egmontgroup.org/en/content/about

2 Syor yang dikemukakan oleh FATF 29 menetapkan bahawa negara-negara perlu menubuhkan unit risikan kewangan (FIU) yang berfungsi sebagai pusat kebangsaan bagi menerima dan menganalisis: (a) laporan transaksi yang mencurigakan; dan (b) maklumat lain yang berkaitan dengan pengubahan wang haram, kesalahan predikat (predicate offences) yang berkaitan dan pembiayaan keganasan, dan untuk menyebarkan hasil analisis itu. FIU sepatutnya mampu mendapatkan maklumat tambahan daripada entiti pelapor, dan perlu memiliki akses kepada maklumat kewangan, pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang tepat pada masanya. Maklumat ini diperlukan untuk menjalankan fungsinya dengan baik. Nota Tafsiran FATF untuk Syor 29 menetapkan bahawa negara-negara perlu memastikan bahawa FIU telah mengambil kira pernyataan tujuan Egmont Group dan Prinsipnya bagi Pertukaran Maklumat Antara Unit Perisikan Kewangan bagi Pengubahan Wang Haram dan Kes Pembiayaan Keganasan (dokumen-dokumen ini menunjukkan panduan penting mengenai peranan dan fungsi FIU, dan mekanisme pertukaran maklumat antara FIU). FIU perlu beroperasi secara bebas dan berautonomi, yang bermaksud bahawa FIU perlu memiliki kuasa dan kemampuan untuk menjalankan fungsinya secara bebas, termasuk keputusan berautonomi untuk menganalisis, meminta dan/atau menyebarkan maklumat tertentu. Dalam semua kes, hal ini bermaksud bahawa FIU mempunyai hak bebas untuk meneruskan atau menyebarkan maklumat kepada pihak berkuasa yang berwibawa.

https://egmontgroup.org/en/content/financial-intelligence-units-fius https://egmontgroup.org/sites/default/files/filedepot/FIU_Independence_and_Autonomy/20181019%20Understanding%20FIU%20Operational%20Independence%20and%20Autonomy_FINAL%20VERSION.pdf

 


Bank Negara Malaysia
03 Mac 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?