Maklumat yang Tidak Tepat Mengenai Akses kepada Produk Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan oleh Ejen dan Wakil Penasihat Kewangan

03 Jul 2024 Notis Umum

Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil maklum mengenai penyebaran hantaran yang mengelirukan di media sosial baru-baru ini oleh beberapa ejen berdaftar syarikat insurans/pengendali takaful (ITO) dan wakil penasihat kewangan. Hantaran ini menggesa pelanggan supaya membeli produk pembayaran balik kos perubatan tanpa ciri-ciri pembayaran bersama (co-payment) sebelum bulan September 2024.

BNM ingin menjelaskan bahawa ITO dikehendaki menawarkan produk pembayaran balik kos perubatan, seperti kad perubatan, yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama (iaitu deduktibel, insurans bersama/takaful bersama) sebagai pilihan pada masa jualan atau pembaharuan polisi/sijil insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) sedia ada yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2024. Walau bagaimanapun, ITO masih dibenarkan untuk menawarkan produk pembayaran balik kos perubatan sedia ada tanpa ciri pembayaran bersama, termasuk produk deduktibel kurang daripada RM500. Hal ini dinyatakan secara jelas dalam Dokumen Dasar berkenaan Perniagaan MHIT yang diterbitkan oleh BNM pada 29 Februari 2024.

Produk MHIT dengan ciri-ciri pembayaran bersama lazimnya menawarkan kadar premium/caruman yang lebih rendah jika dibandingkan dengan produk yang sama tetapi tidak mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama. Pembayaran bersama hanya diperlukan sekiranya tuntutan dibuat oleh pemilik polisi/peserta takaful. Produk sedemikian juga menggalakkan pengguna untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka. Hal ini seterusnya akan membantu mengurangkan tuntutan perubatan palsu dan mengawal inflasi kos perubatan yang telah meningkat sebanyak 36.3% secara kumulatif dari tahun 2020 hingga 2022. Dalam jangka masa panjang, langkah ini bertujuan untuk memastikan kos insurans/takaful perubatan kekal berpatutan.

Pengguna dinasihatkan untuk mempertimbangkan keadaan kewangan dan keperluan mereka semasa membuat keputusan untuk membeli produk MHIT. Sila hubungi ITO masing-masing untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut mengenai produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama.


Bank Negara Malaysia
03 Julai 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?