Malaysia dan Australia Menandatangani MoU Kewangan Islam dan Pengawalseliaan Produk Kewangan

Embargo: Untuk siaran segera
19 Mei 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Australian Treasury telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memudahkan kerjasama merentas sempadan dalam industri perkhidmatan kewangan, termasuk kewangan Islam dan pengawalseliaan produk kewangan.

MoU ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan perniagaan strategik jangka panjang dalam kewangan konvensional dan kewangan Islam antara Malaysia dengan Australia, dengan menumpukan kepada beberapa bidang utama:

  • mempertingkat saling kerjasama dalam usaha bina upaya dan pembangunan modal insan industri perkhidmatan kewangan;
  • bertukar-tukar maklumat dan pengalaman berhubung dengan rangka kerja perundangan, pengawalan dan penyeliaan;
  • memudahkan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur pasaran kewangan yang efektif dan kondusif; dan
  • meningkatkan aktiviti kewangan merentas sempadan termasuk penyelidikan berkaitan dengan bidang Syariah dalam produk dan perkhidmatan kewangan Islam bagi menggalakkan penggunaan yang seragam dalam urus niaga merentas sempadan.

MoU yang ditandatangani ini merupakan susulan kepada persetujuan menteri-menteri perdagangan kedua-dua buah negara, YB Dato' Sri Mustapa Mohamed dan Hon. Simon Crean MP, untuk mengadakan kerjasama dalam kewangan Islam seperti yang dibincangkan semasa rundingan perdagangan dua hala Malaysia-Australia pada bulan Ogos 2009.

MoU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Dr. Ken Henry AC, Setiausaha kepada Australian Treasury, dan disaksikan oleh wakil Kerajaan Australia, Hon. Chris Bowen MP, Menteri Perkhidmatan Kewangan, Persaraan dan Undang-undang Syarikat.

Usaha-usaha tersebut merupakan langkah penting dalam menjalin usaha sama antara Malaysia dengan Australia bagi mewujudkan sinergi yang lebih baik ke arah memperkukuh hubungan antara kedua-dua pusat kewangan utama ini.


Bank Negara Malaysia
19 Mei 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?