Malaysia dan Indonesia Mengumumkan Pelancaran Komersial Jalinan Pembayaran Kod QR Rentas Sempadan
Bank Indonesia (BI) dan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelancaran komersial jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia. Pelancaran komersial jalinan ini susulan kejayaan fasa rintis jalinan yang diumumkan pada 27 Januari 2022.
Pelancaran komersial jalinan ini menyaksikan penyertaan institusi kewangan [1] yang lebih banyak termasuk institusi kewangan bukan bank. Pelancaran ini akan membolehkan lebih banyak rakyat Indonesia dan Malaysia membuat pembayaran runcit secara segera di kedua-dua negara dengan mengimbas kod[2] QR Code Standar Pembayaran Nasional (Quick Response Code Indonesian Standard, QRIS) atau DuitNow QR di kedai-kedai atau secara dalam talian menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan peserta.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “Jalinan antara negara ASEAN kini semakin kukuh. Lebih banyak pengguna dari Malaysia dan Indonesia akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang selamat, lebih lancar dan lebih cekap untuk membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan. Seterusnya, hal ini mewujudkan potensi besar untuk merangsang kegiatan ekonomi antara kedua-dua negara, termasuk perbelanjaan pelancongan. Jalinan ini juga akan membantu memperluas pasaran sesetengah perniagaan dan memudahkan penyelesaian dalam mata wang tempatan yang lebih banyak, lantas meningkatkan hasil kewangan. Jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Indonesia menjadi pelengkap kepada jalinan pembayaran dua hala antara negara ASEAN yang akan menyumbang ke arah ASEAN yang lebih teguh dan membangunkan lagi rantau ini sebagai pusat pertumbuhan.”
Gabenor Bank Indonesia, Encik Perry Warjiyo, berkata, “Jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Indonesia dengan Malaysia merupakan suatu bukti nyata kerjasama Kesalinghubungan Pembayaran Serantau yang kukuh untuk menggalakkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif, khususnya memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Jalinan ini selaras dengan inisiatif Roadmap for Enhancing Cross Border Payments oleh G20, dan merupakan pencapaian penting bagi Indonesia selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2023 serta mewakili satu lagi peristiwa penting bagi Blueprint Sistem Pembayaran Indonesia 2025. Jalinan pembayaran ini menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat transaksi pembayaran rentas sempadan dan bertindak sebagai faktor penting untuk meningkatkan kecekapan serta menggalakkan ekonomi digital dan rangkuman kewangan di rantau ini. Jalinan ini juga akan mengekalkan kestabilan makroekonomi dengan menggalakkan penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas untuk transaksi dua hala di bawah Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan.”
Jalinan pembayaran QR ini akan mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara Indonesia dengan Malaysia serta menyokong pemulihan ekonomi selepas pandemik yang lebih inklusif dan kukuh. Berikutan meningkatnya momentum perjalanan antarabangsa, jalinan pembayaran ini dijangka bukan sahaja memudahkan lagi para pelancong, malah akan memberikan manfaat pada pelancongan dan sektor runcit kedua-dua negara.
Kejayaan pelancaran jalinan pembayaran ini merupakan hasil kerjasama erat industri yang diterajui oleh BI dan BNM, yang bekerjasama rapat dengan Asosiasi Sistem Pembayaran Indonesia (termasuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada pengendali sistem pembayaran di Indonesia[3]), PayNet[4] dan institusi kewangan peserta. BI dan BNM mengalu-alukan penyertaan daripada lebih banyak institusi kewangan untuk memperkembang ekosistem pembayaran rentas sempadan.

Bank Indonesia
Bank Negara Malaysia
8 Mei 2023
[1] Institusi kewangan peserta dari Indonesia (sebagai pengeluar): Bank Sinarmas, DANA, Bank Permata, Bank CIMB Niaga, Bank Pembangunan Daerah (BPD) Bali, Bank Syariah Indonesia, LinkAja, Bank Central Asia, Ottocash dan Bank Mega.
Institusi kewangan peserta dari Indonesia (sebagai pemeroleh peniaga): Bank Sinarmas, DANA, Bank Permata, Bank CIMB Niaga, Bank Pembangunan Daerah (BPD) Bali, LinkAja, Bank Central Asia, Ottocash, Bank Mega, Bank Mandiri, Bank Rakyat Indonesia, Bank Negara Indonesia, Gopay, OVO, BPD Jawa Barat & Banten, Bank Nationalnobu, Bank Danamon Indonesia, Bank Maybank Indonesia, BPD DIY, BPD Provinsi Jawa Timur, i-Saku, BPD Sumatera Barat, BPD Sulawesi Selatan dan Sulawesi Barat, Artha Graha International, Bank DKI, BPD Jambi, BPD NTT, Astrapay, GV e-money, BPD Kalimantan Timur dan Kalimantan Utara, DOKU, BPD Kalimantan Barat, BPD NTB Syariah, BPD Papua, Bank Multiartha Sentosa, BPD Lampung, Kaspro, Dipay, Bank Neo Commerce, PACcash, Paprika Multi Media, Bank DBS Indonesia, Virgoku, BPD Jawa Tengah dan ShopeePay Indonesia.
Institusi kewangan peserta dari Malaysia (sebagai pengeluar): CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad dan TNG Digital Sdn. Bhd.
Institusi kewangan peserta dari Malaysia (sebagai pemeroleh peniaga): AmBank Malaysia Berhad, Boost, Hong Leong Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad, Razer Merchant Services Sdn. Bhd., TNG Digital Sdn. Bhd. dan United Overseas Bank Malaysia Berhad.
[2] QRIS dan DuitNow QR masing-masing merupakan penyelesaian kod QR kebangsaan di Indonesia dan Malaysia. Penyelesaian ini membolehkan peniaga menerima pembayaran daripada pelanggan institusi kewangan peserta (bank-bank dan penyedia sistem pembayaran) berbeza menggunakan kod QR yang seragam.
[3] Pengendali sistem pembayaran dari Indonesia ialah Alto, Artajasa, Jalin dan Rintis.
[4] Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) ialah pengendali sistem pembayaran runcit Malaysia yang mengendalikan DuitNow QR.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.