Malaysia dan Perancis menandatangani MoU pembangunan sektor perkhidmatan kewangan

12 Okt 2010 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia dan Banque de France telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 10 Oktober 2010 untuk menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam bidang perkhidmatan kewangan antara kedua-dua bank pusat tersebut. Penandatanganan MoU ini juga menggambarkan komitmen untuk bekerjasama bagi kemajuan industri kewangan Islam di Perancis dan Malaysia. MoU ini telah ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia, dan Tuan Yang Terutama Christian Noyer, Gabenor Banque de France dalam satu acara berasingan semasa Mesyuarat Tahunan IMF-Bank Dunia di Washington D.C.

MoU ini bertujuan untuk menggalakkan pembangunan strategik jangka panjang dalam kewangan konvensional dan kewangan Islam antara Malaysia dengan Perancis, dengan menumpukan kepada tiga bidang utama: 

  • mempertingkat kerjasama dalam usaha bina upaya dan pembangunan modal insan industri perkhidmatan kewangan;
  • memudahkan dan menggalakkan pembangunan infrastruktur pasaran kewangan yang efektif dan kondusif; dan
  • meningkatkan aktiviti kewangan merentas sempadan termasuk menggalakkan urus niaga kewangan Islam yang konsisten merentas sempadan. 

Pelaksanaan MoU ini akan merintis jalan ke arah kerjasama lebih erat dalam memperkukuh hubungan kewangan antara kedua-dua pusat kewangan utama ini.

​​​​​​​


Bank Negara Malaysia
12 Oktober 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?