Malaysia dan United Kingdom Memanfaatkan Kewangan Islam bagi Peluang Pelaburan Hijau

10 Sep 2024 Siaran Akhbar

Forum Perniagaan MIFC-UK hari ini menghimpunkan pihak berkepentingan utama sektor kewangan dari Malaysia dan United Kingdom (UK) di London untuk membincangkan peluang dan cabaran dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau dengan penerapan penyelesaian kewangan Islam yang lebih meluas. Forum ini bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dengan UK bagi menggalakkan pelaburan rentas sempadan, khususnya dalam sektor hijau.

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Majlis Kepimpinan MIFC (MLC) menganjurkan Forum ini bersama-sama Islamic Finance Council United Kingdom (UKIFC), TheCityUK dan UK Islamic Finance - Halal Economy Hybrid Group sebagai rakan kerjasama.

Kerjasama ini dihasratkan dapat saling memperkukuh kedudukan kedua-dua negara. Hal ini boleh dicapai dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai gerbang global untuk peluang kewangan Islam bagi pasaran Asia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation, OIC), serta UK sebagai pusat kewangan global. Forum ini juga berperanan sebagai pemangkin untuk mengukuhkan kerjasama antara MLC dengan UKIFC bagi melaksanakan Memorandum Kerjasama. Memorandum ini telah ditandatangani di Global Forum on Islamic Economics and Finance (GFIEF) pada bulan Mei 2024.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Penaung Diraja bagi inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah, “Melalui inisiatif inilah kewangan Islam boleh menawarkan penyelesaian. Kewangan Islam berteraskan amalan beretika, keadilan dan perkongsian risiko yang saksama lantas menyediakan rangka kerja yang secara semula jadi selaras dengan kelestarian serta menyediakan pilihan pendanaan yang pelbagai. Pilihan ini termasuk kewangan campuran dan kewangan sosial. Kewangan Islam berada pada kedudukan yang baik untuk menangani jurang pendanaan yang mengekang kemajuan global dan mampu berperanan sebagai alat untuk menyalurkan sumber pada tempat yang benar-benar diperlukan.”

Bagi membangunkan landskap ekonomi yang mampan, keperluan pendanaan Malaysia untuk pelaburan hijau dijangka mencecah kira-kira RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang tahun 2050.[1] Instrumen kewangan Islam boleh menyokong keperluan pendanaan ini. Melalui perbincangan meja bulat Forum, peserta dari Malaysia dan UK untuk mendorong kerjasama yang berterusan ke arah:

  • Menggalakkan kerjasama industri dalam perdagangan rentas sempadan dan aktiviti kewangan, termasuk pelaburan hijau, ekuiti swasta dan pendanaan projek infrastruktur;
  • Memaksimumkan potensi instrumen kewangan Islam yang inovatif dalam menyokong peralihan hijau; dan 
  • Memupuk kerjasama dalam pembinaan keupayaan, penyelidikan dan pertukaran ilmu pengetahuan mengenai kewangan Islam untuk pembangunan bersama.

Forum ini diakhiri dengan seruan untuk kerjasama bagi meningkatkan perkhidmatan kewangan Islam di UK serta pentingnya memanfaatkan teknologi bagi penyelesaian perbankan yang bertujuan untuk pelaburan berimpak ke arah masa hadapan yang mampan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Malaysia sedang melaksanakan langkah-langkah ke arah mencapai sasaran Sifar Bersih pada tahun 2050 berpandukan rangka kerja strategik seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, dan Pelan Induk Perindustrian Baharu. Dengan nilai-nilai intrinsik yang mendasari semua pelan ini, kewangan Islam bersedia untuk menangani keperluan pembiayaan dan menyokong visi pertumbuhan ekonomi yang seimbang, mampan dan menyeluruh.”

Pengerusi MLC Tan Sri Azman Mokhtar berkata, “Kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam, bersama-sama dengan kehadiran kewangan global UK yang teguh, membentuk satu pakatan dinamik yang bersedia untuk menangani cabaran global yang nyata. Di MLC, kami komited untuk meningkatkan kerjasama ini melalui penyelesaian kewangan Islam inovatif yang penting untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.”

Tambah beliau, MLC menyasarkan untuk membangunkan jalinan perniagaan yang erat yang memperkukuh matlamat antarabangsanya melalui kerjasama dengan UKIFC. Matlamat ini menonjolkan peranan penting kewangan Islam dalam usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menghubungkan pasaran yang pelbagai.

Acara separuh hari ini telah dihadiri lebih 140 peserta, khususnya pegawai kerajaan, pengawal selia sektor kewangan, pengurus dana, pelabur pasaran tenaga global, bank pelaburan antarabangsa dan ahli perniagaan lain.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mifclc.com

Bank Negara Malaysia
Majlis Kepimpinan MIFC

10 September 2024

[1] Sumber: Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara


Bank Negara Malaysia
10 September 2024

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?