Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) Global Impact Challenge 2025 Mengundang Penyertaan Antarabangsa

18 Jul 2025 Siaran Akhbar

Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) Global Impact Challenge 2025 kini dibuka untuk penyertaan daripada seluruh dunia. Pertandingan ini menyeru penyertaan yang memberikan penyelesaian kewangan yang didorong impak berserta cadangan untuk mengukuhkan lagi daya tahan sosial dan menangani cabaran iklim. Matlamat cabaran ini adalah untuk mendorong penyelesaian inovatif dalam kewangan Islam serta menggalakkan pelaburan dalam teknologi kewangan (fintech) dan syarikat pemula yang berorientasikan impak.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Bank Negara Malaysia dan Majlis Kepimpinan MIFC (MIFC Leadership Council, MLC) ini berhasrat untuk menggalakkan percambahan dan inovasi rentas sempadan dalam kewangan beretika dan berasaskan nilai. Cabaran ini diadakan dengan rakan kerjasama global termasuk Hong Kong Trade Development Council, Islamic Finance Council UK, Islamic Development Bank dan World Bank Group Inclusive Growth & Sustainable Finance Hub di Malaysia. Asia School of Business’ Innovation & Entrepreneurship Center merupakan rakan ilmu dan penyedia program penggalak, manakala Fintech Association of Malaysia pula merupakan rakan ekosistem.

Peserta yang disenarai pendek akan menyertai program penggalak yang direka untuk meningkatkan lagi penyelesaian kewangan berorientasikan impak yang menangani daya tahan sosial dan cabaran iklim. Program ini disusun atur untuk membantu peserta meningkatkan daya maju komersial penyelesaian mereka serta memperkukuh impak yang boleh diukur. Maksimum empat pemenang akan dipilih semasa hari pembentangan (demo day) pada 12 Oktober 2025 dan pemenang akan diumumkan semasa Global Islamic Finance Forum 2025 pada 13 Oktober 2025 di Kuala Lumpur. Selain hadiah wang tunai, pemenang akan menerima sokongan yang menyeluruh daripada rakan kerjasama selama hingga 12 bulan.

Penyertaan ditutup pada 18 Ogos 2025.

Ketahui lebih lanjut dan mohon menerusi www.mifclc.com/mgic.

Bank Negara Malaysia
Majlis Kepimpinan MIFC

18 Julai 2025


Mengenai Majlis Kepimpinan MIFC

Majlis Kepimpinan Malaysia International Financial Centre (MIFC) (MIFC Leadership Council, MLC) menerajui fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya di Malaysia. Dibarisi oleh para ahli terkemuka, MLC memainkan peranan penting untuk menyediakan kepimpinan berwawasan dan menggalakkan perumusan strategi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam. MLC berfungsi sebagai tonggak utama dalam merealisasikan visi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global yang terunggul. Melalui kepimpinan berwawasan, perumusan strategik serta kerjasama dengan entiti yang relevan, MLC beriltizam untuk membentuk masa depan kewangan Islam di Malaysia serta memastikan pertumbuhan yang berterusan, berdaya tahan serta terus unggul pada peringkat global.

Layari www.mifclc.com untuk maklumat lanjut.

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

Sejak dimulakan hampir 40 tahun lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang menjadi pasaran kewangan Islam yang dibangunkan dengan mantap dan menyeluruh, mampu memenuhi pelbagai keperluan ekonomi dan masyarakat. Pasaran ini dicirikan dengan rangka kerja pengawalan, penyeliaan, Syariah dan perundangan yang teguh; pasaran kewangan Islam yang mendalam dan progresif; peserta industri yang pelbagai; platform bursa dan komoditi berbilang asset; gerbang pembayaran berbilang saluran yang cekap untuk memudahkan pengantaraan kewangan; dan kumpulan tenaga mahir yang mempunyai keupayaan dan hubungan pada peringkat global untuk membuat urusan perniagaan di seluruh dunia.

Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri dan peserta pasaran global untuk bekerjasama serta saling meraih manfaat daripada persekitaran perniagaan kondusif yang dipacu oleh inovasi, kepakaran, dan aliran urus niaga. Pasaran ini merangkumi ekosistem kewangan Islam yang komprehensif serta persekitaran perniagaan yang memiliki infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga. Ekosistem ini disokong oleh komuniti Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, badan pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com dan ikuti siaran kami melalui media sosial X (@MalaysiaIF) / LinkedIn (@Malaysia World's Islamic Finance Marketplace).

Untuk maklumat mengenai rakan kerjasama MIFC Global Impact Challenge 2025, sila layari laman sesawang yang berikut:

Rakan Kerjasama Global:

Rakan Ilmu dan Penyedia Program Penggalak

  • Asia School of Business’ Innovation & Entrepreneurship Center: www.asbhive.edu.my

Rakan Ekosistem


Bank Negara Malaysia
18 Julai 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?