Malaysia Melaksanakan Apungan Terurus untuk Kadar Pertukaran Ringgit

Embargo: Untuk siaran segera
21 Jul 2005 Siaran Akhbar

Hari ini Bank Negara Malaysia mengumumkan bahawa kadar pertukaran ringgit akan dibenarkan bergerak dalam apungan terurus berkuat kuasa serta-merta, dengan nilainya ditentukan oleh asas-asas ekonomi. Bank Negara Malaysia akan memantau kadar pertukaran terhadap sekumpulan mata wang bagi memastikan kadar pertukaran berada hampir pada nilai yang berpatutan. Penggalakan kestabilan kadar pertukaran terus menjadi objektif utama dasar.

Berikutan perubahan dalam persekitaran kewangan dan ekonomi antarabangsa dan serantau, adalah penting bagi Malaysia untuk memiliki kadar pertukaran yang stabil berbanding dengan rakan dagangan utamanya, khususnya, negara-negara serantau. Oleh itu, kestabilan kadar pertukaran ringgit berbanding dengan mata wang serantau akan menjadi semakin penting. Kestabilan tersebut boleh dicapai secara yang paling baik dengan mengekalkan nilai ringgit terhadap indeks berwajaran perdagangan bagi rakan dagangan utama Malaysia.

Pengumuman ini merupakan satu perubahan dalam sistem yang menentukan nilai ringgit. Memandangkan penilaian semasa ringgit konsisten dengan asas-asas ekonomi kita dan selepas mengambil kira perkembangan di negara-negara rakan dagangan kita, kadar pertukaran selepas berubah ke sistem baru ini dijangka tidak akan melencong jauh daripada paras semasa.


Bank Negara Malaysia
21 Julai 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?