Malaysia Melancarkan Pencarian Global Penyumbang Unggul Kepada Kewangan Islam

Dengan diterajui oleh inisiatif Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC), Malaysia hari ini melancarkan pencarian global untuk mengiktiraf dan menghargai individu yang telah memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan kewangan Islam.
Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan juga Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif MIFC berkata: "Dengan diilhamkan oleh prinsip etika sejagat dan digerakkan oleh tawaran nilai benar (real value propositions) kewangan Islam yang boleh diterima oleh semua, kewangan Islam semakin menjadi salah satu segmen kewangan antarabangsa yang paling pesat berkembang. Oleh itu, inilah masanya bagi Malaysia untuk mengiktiraf individu yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan kewangan Islam."
Sehubungan dengan itu, satu pasukan petugas khas yang diterajui oleh Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Zarinah Anwar, ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini. "Kami berharap satu hari kelak, anugerah ini akan diiktiraf sebagai tanda aras global dalam mengenal pasti individu berkebolehan unggul yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan kewangan Islam di seluruh dunia," ujar Tan Sri Zarinah.
Berbeza dengan anugerah komersial yang lazimnya diasaskan kepada urus niaga, uniknya anugerah ini ialah ia menekankan rekod kecemerlangan dan sumbangan unggul seseorang individu dalam pembangunan dan kemajuan kewangan Islam global. Proses pemilihan pemenang anugerah ini akan dijalankan dengan penuh teliti oleh jemaah juri antarabangsa bebas yang dipengerusikan oleh Tun Musa Hitam, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi Yayasan Forum Kewangan Islam Sedunia.
Tan Sri Zarinah berkata hasil daripada pemilihan yang teliti, tujuh orang juri [Profil Juri, PDF 40K] telah dilantik, terdiri daripada tokoh terkemuka, cendekiawan Syariah, ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat. Selain Tun Musa Hitam, jemaah juri terdiri daripada:
- Tun Abdul Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia dan ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
- Profesor Dr. Volker Niehaus, mantan Presiden Universiti of Marburg, Jerman.
- Profesor Dr. Abbas Mirakhor, mantan Pengarah Eksekutif, International Monetary Fund dan Penyandang Pertama Kursi Kewangan Islam INCEIF.
- Dr. Mohamed Ali Elgari, Profesor Ekonomi Islam, Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi.
- A Riawan Amin, Pengerusi, Persatuan Bank-bank Islam Indonesia.
- Dr Yahia Abdul Rahman, Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, LARIBA Bank of Whittier, Amerika Syarikat.
Pencalonan penerima anugerah ini oleh komuniti kewangan global boleh dibuat mulai sekarang melalui laman web www.mifc.com/award . Tarikh tutup pencalonan adalah pada 15 Julai 2010.
|
For Media Enquiries |
For Enquiries on Nominations |
Mengenai MIFC
Pada Ogos 2006, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) telah dilancarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.
Inisiatif MIFC ini terdiri daripada rangkaian komuniti pengawal selia kewangan dan pasaran, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia, kementerian dan agensi Kerajaan bersama-sama dengan penyertaan industri daripada perbankan, takaful, institusi pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat perkhidmatan profesional yang menyertai dan bekerjasama dalam kewangan Islam.
Inisiatif MIFC disokong oleh amalan terbaik antarabangsa dalam perundangan, pengawalseliaan dan Syariah yang membolehkan pengamal industri mengendalikan perniagaan antarabangsa dalam kewangan Islam di Malaysia dalam bidang yang berkaitan dengan Originasi Sukuk, Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam, Perbankan Islam Antarabangsa, Takaful Antarabangsa dan Pembangunan Modal Insan, di samping menikmati insentif-insentif yang menarik.
Jawatankuasa Eksekutif MIFC terdiri daripada pegawai-pegawai kanan daripada kementerian dan agensi Kerajaan yang utama, pengawal selia kewangan dan pasaran dan institusi kewangan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menilai/menyediakan hala tuju dasar bagi memastikan pelaksanaan inisiatif MIFC yang selaras dan berkesan.
Layari www.mifc.com untuk maklumat lanjut.
Mengenai Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1959 di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 (Semakan 2009). Pada dasarnya, bank pusat ini diamanahkan untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan dan memastikan pengawasan terhadap sistem pembayaran di dalam negara.
Sejak penubuhannya, Bank Negara Malaysia telah memberikan sumbangan yang besar ke arah pembangunan sektor kewangan yang komprehensif, cekap dan berdaya tahan yang berupaya memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin canggih. Sektor kewangan Malaysia kini merangkumi kedua-dua sistem kewangan konvensional dan Islam.
Memandangkan Malaysia mempunyai kelebihan berbanding dalam kewangan Islam, Bank Negara Malaysia telah menerajui inisiatif untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Melalui inisiatif ini, Bank Negara Malaysia meluluskan lesen bagi penubuhan Bank-bank Islam Antarabangsa, dan Pengendali Takaful Antarabangsa di samping memberikan tumpuan pada pembangunan institusi, termasuk penubuhan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) dalam usaha menggalakkan latihan, pendidikan dan penyelidikan bagi meningkatkan pembangunan tenaga mahir dalam industri perkhidmatan kewangan Islam. Sementara itu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memastikan pelaksanaan prinsip Syariah dalam perkhidmatan kewangan Islam oleh penyedia perkhidmatan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia. Majlis ini juga berperanan sebagai penasihat kepada Bank Negara Malaysia dalam perkara Syariah.
Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.
Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan, Malaysia.
SC bertanggungjawab secara langsung dalam menyelia dan memantau aktiviti-aktiviti institusi pasaran termasuk bursa dan rumah penjelasan, serta semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Matlamat utama fungsi-fungsi ini adalah untuk melindungi para pelabur. SC juga bertanggungjawab untuk menggalakkan dan membangunkan pasaran sekuriti dan niaga hadapan di Malaysia.
SC menerajui pembangunan pasaran Modal Islam Malaysia dengan menubuhkan Majlis Penasihat Syariah (SAC) untuk memberikan nasihat berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan aktiviti dan produk pasaran modal Islam. Sejak penubuhannya, SC telah mewujudkan rangka kerja bagi pengurusan dana dan kekayaan Islam yang komprehensif dan fasilitatif. Di samping itu, SC telah menjadi pemacu inovasi produk dalam sektor ekuiti Islam dan sukuk; selain mempromosikan pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan untuk pasaran Modal Islam Malaysia.
Layari www.sc.com.my untuk maklumat lanjut.
![]() |
![]() |
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.

