Malaysia Melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan 2025 bagi Membina Masa Depan Kewangan yang Kukuh
- NS2.0 mengetengahkan lima fokus strategik bagi memperkukuh daya tahan dan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia merangkumi semua peringkat umur.
- Rangka Kerja Pemantauan dan Penilaian diperkenalkan bagi menetapkan sasaran yang jelas, memantau pelaksanaan serta memperkukuh tadbir urus NS2.0.
- Program jelajah pendidikan kewangan di 111 lokasi untuk menyantuni komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan di seluruh negara sepanjang FLM2025.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026–2030 (National Strategy for Financial Literacy 2026-2030, NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan (Financial Literacy Month, FLM) 2025 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini juga turut dihadiri Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, YBhg. Dato’ Mohammad Faiz Azmi serta ahli Jawatankuasa Pemandu Antara Agensi Peringkat Tertinggi Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network High-Level Inter-Agency Steering Committee, FEN HLSC).[1]
Berdasarkan kemajuan yang telah dicapai melalui pelaksanaan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019–2023 (National Strategy for Financial Literacy 2019-2023, NS1.0), NS2.0 yang baru dilancarkan ini menetapkan hala tuju yang lebih berwawasan untuk mengukuhkan lagi tahap celik kewangan di seluruh negara. Menampilkan tema “Membina Masa Depan Kewangan yang Kukuh”, NS2.0 menggariskan lima Fokus Strategik yang dirangka bagi membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan dengan lebih baik pada pelbagai peringkat kehidupan. Pada dasarnya, NS2.0 berhasrat untuk menjadikan rakyat sebagai fokus utama; daripada membantu keluarga merancang persaraan, melindungi isi rumah daripada kejutan kewangan, hinggalah membina keyakinan yang lebih tinggi untuk menyimpan dan melabur demi masa hadapan.
Bagi mencapai matlamat ini, antara inisiatif utama termasuk:
- Kerjasama yang lebih kukuh dengan industri, masyarakat dan kumpulan komuniti bagi memperluas capaian FEN.
- Sokongan yang lebih baik untuk isi rumah yang mudah terjejas dan komuniti yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan, termasuk khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keperluan mereka.
- Memperkukuh literasi kewangan digital supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan platform dalam talian dan alat kewangan digital dengan selamat dan bijak.
Bagi memastikan akauntabiliti, NS2.0 dilengkapi dengan Rangka Kerja Pemantauan dan Penilaian (Monitoring and Evaluation, M&E) yang kukuh, lengkap dengan sasaran yang boleh diukur dan Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators, KPI) yang jelas. Hal ini akan memastikan pelaksanaan yang telus, berasaskan bukti, dan berupaya untuk kekal responsif terhadap keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan Program Jelajah “Skuad Celik Kewangan” FLM2025 yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak yang dikendalikan oleh ahli-ahli FEN. Pelancaran ini menjadi titik permulaan Program Jelajah yang akan berkunjung ke 111 lokasi di seluruh negara untuk berkongsi pendidikan kewangan dan tip-tip praktikal secara langsung dengan rakyat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan usahawan mikro luar bandar.
Melengkapi usaha ini, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (National Financial Literacy Symposium, NFLS) 2025 telah diadakan pada 2 Oktober. Dengan tema “Ke Arah Negara yang Berdaya Tahan Kewangan: Ekosistem Kewangan yang Celik dan Inklusif”, NFLS menghimpunkan para penyelidik, pembuat dasar dan pemimpin komuniti untuk berkongsi pandangan berasaskan bukti kajian serta penyelesaian yang praktikal. Wacana ini berperanan memastikan dasar seperti NS2.0 bukan sekadar menjadi penyelidikan dan strategi bertulis, tetapi dizahirkan dalam bentuk inisiatif yang benar-benar memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan seharian mereka.
Pelancaran NS2.0 dan FLM2025 mencerminkan komitmen bersepadu Kerajaan dan FEN untuk membina Malaysia yang lebih berdaya tahan daripada aspek kewangan.
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
3 Oktober 2025

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)
Ditubuhkan pada bulan November 2016, Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) merupakan satu platform antara agensi yang terdiri daripada institusi dan agensi yang komited untuk meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat Malaysia. FEN memanfaatkan sumber dan kepakaran ahli-ahli, ahli bersekutu dan rakan usaha sama untuk menyelaras, bekerjasama dan secara kolektif memacu usaha menggalakkan inisiatif pendidikan kewangan yang berkesan kepada rakyat Malaysia. Dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ahli-ahli FEN lain termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.
[1] Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.



