Malaysia menjadi Tuan Rumah Persidangan Gabenor-Gabenor SEACEN Ke-35
Bank Negara Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Gabenor-Gabenor Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) Yang Ke-35 pada 27 - 29 Januari 2000 di Kuala Lumpur. SEACEN terdiri daripada 11 buah bank pusat/pihak berkuasa kewangan iaitu Bank Indonesia, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia, The Bank of Mongolia, Central Bank of Myanmar, Nepal Rastra Bank, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, Central Bank of Sri Lanka, Central Bank of China, Taipeh dan Bank of Thailand. Mengikut tradisi persidangan SEACEN juga akan dihadiri oleh pemerhati-pemerhati dari National Bank of Cambodia, Reserve Bank of Fiji, Banque de la RDP Lao, Bank of Papua New Guinea, National Reserve Bank of Tonga dan State Bank of Vietnam.
Persidangan tahunan Gabenor-Gabenor SEACEN merupakan satu peluang penting bagi para Gabenor meninjau perkembangan terkini di negara-negara anggota serta membincang isu-isu kepentingan bersama dalam suasana yang tidak formal. Di samping itu, para Gabenor juga akan mengkaji program kerja serta belanjawan Pusat Penyelidikan dan Latihan SEACEN yang terletak di Kuala Lumpur.
Tema persidangan tahun ini ialah "Mencapai Pertumbuhan Yang Mapan" ('Achieving Sustainable Growth"). Gabenor Bank Pusat Mexico (Banco de Mexico) akan menyampaikan ucap utama (keynote address) persidangan tersebut. Persidangan yang merupakan yang pertama dalam alaf baru dijangka menarik serta merangsangkan di mana Gabenor-Gabennor Bank Pusat yang berkenaan akan bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman dalam perlaksanaan dasar-dasar untuk mencapai pertumbuhan yang mapan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.