Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

Embargo: Untuk siaran segera
01 Ogo 2013 Siaran Akhbar

MWIFM Logo

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Sri Mohd. Najib Bin Tun Abdul Razak, hari ini memperkenalkan pasaran kewangan Islam Malaysia kepada dunia dan beridentitikan jenama ikonik baharu - "Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia", menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia. Perdana Menteri turut mengambil peluang menyampaikan undangan terbuka kepada komuniti global untuk bekerjasama dan saling mengambil manfaat daripada pasaran kewangan Islam Malaysia yang menyeluruh dengan rangka kerja pengawalan, penyeliaan, Syariah dan undang-undang yang komprehensif.

Malaysia telah membangunkan Pasaran Kewangan Islam yang komprehensif dan progresif, yang telah berkembang pesat sejak 30 tahun.  Peserta industri dan peserta pasaran global boleh memanfaatkan inovasi, kepakaran serta aktiviti pelaburan yang aktif daripada pasaran kewangan Islam Malaysia untuk urusan perniagaan dari serata dunia.

Tahap kecanggihan pasaran kewangan Islam Malaysia pada masa ini adalah hasil daripada usaha bersepadu Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, cendekiawan Syariah dan komuniti industri kewangan Islam.

Peneraju pasaran Malaysia juga boleh memanfaatkan rangka kerja pasaran Malaysia yang komprehensif untuk memacu pembangunan industri ini dengan lebih jauh lagi melalui kepimpinan yang berwawasan, inovasi dan transaksi yang lebih tinggi dalam pelbagai mata wang merentas sempadan untuk urusan perniagaan.  

Malaysia telah secara konsisten muncul sebagai salah sebuah destinasi kewangan Islam terkemuka, terutamanya dalam perbankan Islam, pasaran sukuk dan ekuiti Islam. Malaysia menduduki tangga teratas dalam beberapa penarafan global dalam bidang pengawalan, produk dan perkhidmatan, infrastruktur, kemudahan menjalankan perniagaan, pengurusan risiko dan audit serta statistik, pemasaran dan pendidikan.

Terbitan sulung Pelaburan Kerajaan (GII) berasaskan Murabahah baru-baru ini menandakan suatu perkembangan penting dalam industri kewangan Islam. Terbitan GII sebanyak RM4.0 bilion di bawah struktur Murabahah yang diterima umum telah terlebih langganan sebanyak 2.92 kali, iaitu tawaran bidaan tertinggi setakat ini hingga menghasilkan kadar hasil yang sangat kompetitif.

Kini, pasaran kewangan Islam Malaysia bercirikan rangka kerja pengawalseliaan, Syariah dan undang-undang yang teguh, pasaran utama yang mendalam dan pasaran sekunder yang aktif, mekanisme penanda aras harga yang cekap, tenaga mahir bertaraf dunia yang pelbagai serta sistem penjelasan dan penyelesaian dalam pelbagai mata wang yang cekap. Komponen utama pasaran kewangan Islam Malaysia meliputi perbankan Islam, pasaran modal Islam, takaful dan takaful semula, pasaran wang Islam, khidmat bantuan profesional, infrastruktur pembangunan tenaga mahir dan pengurusan dana dan kekayaan.

Maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia boleh didapati di www.mifc.com - yang memaparkan Kepakaran, Inovasi dan Aktiviti Pelaburan Aktif daripada pasaran kewangan Islam Malaysia.

Bank Negara Malaysia
1 Ogos 2013

Mengenai MIFC

Inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC) telah dilancarkan pada tahun 2006 untuk membangunkan Malaysia sebagai pasaran antarabangsa kewangan Islam. Sejak  mula beroperasi lebih 30 tahun yang lalu, kewangan Islam di Malaysia telah membangun dan meningkat maju lantas menjadi pasaran kewangan Islam yang canggih, yang bercirikan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang teguh, pasaran utama yang mendalam dan pasaran sekunder yang aktif, tenaga mahir bertaraf dunia yang pelbagai dan mempunyai hubungan global yang luas serta penawaran rangkaian produk yang pelbagai. Pasaran di Malaysia juga menyediakan sistem penjelasan dan penyelesaian dalam pelbagai mata wang yang cekap.

Inisiatif MIFC ini terdiri daripada rangkaian komuniti pengawal selia sektor kewangan negara, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan Bursa Malaysia (Bursa Saham Kuala Lumpur), kementerian dan agensi Kerajaan, bersama-sama dengan penyertaan industri daripada institusi perbankan, takaful, takaful semula, pasaran modal, institusi pembangunan modal insan dan syarikat khidmat bantuan profesional yang menyertai dan bekerjasama dalam kewangan Islam. Malaysia mengalu-alukan pengamal industri untuk menjalankan perniagaan antarabangsa dalam kewangan Islam dalam persekitaran perniagaan yang amat kondusif. Malaysia sebagai destinasi pelaburan kewangan merupakan pasaran yang menawarkan peluang pelaburan berlandaskan Syariah global melalui pelbagai institusi kewangan antarabangsa, kepakaran yang meluas serta rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif MIFC, sila layari www.mifc.com.


Bank Negara Malaysia
01 Ogos 2013

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?