Memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam sektor kewangan melalui Pertandingan Pidato Antara Institusi Kewangan Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2016

Embargo: Untuk siaran segera
01 Jun 2016 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia selaku Sekretariat Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan Pertandingan Pidato Antara Institusi Kewangan Piala Gabenor 2016 yang berakhir pada hari ini. Pada tahun ini, iaitu tahun kelapan pertandingan pidato ini diadakan, hampir 80 penyertaan telah diterima dan daripada jumlah tersebut seramai 12 peserta yang mewakili institusi kewangan di negara ini telah berjaya memasuki pusingan akhir pertandingan pidato bagi menjulang Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2016. Pertandingan pidato akhir ini dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Pertandingan Pidato yang diadakan bertujuan untuk memartabatkan serta memupuk kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dalam kalangan orang ramai khususnya mereka yang berkhidmat dalam sektor kewangan. Sejak pertandingan pidato ini dianjurkan lapan tahun yang lalu, Bank telah berjaya menarik kira-kira 350 peserta daripada lebih 30 institusi kewangan.

Para peserta pertandingan pidato telah mempamerkan kemahiran berpidato yang baik mengenai topik-topik yang berkaitan dengan kewangan seperti etika kerja dalam institusi kewangan, penggunaan media sosial untuk meningkatkan kesedaran mengenai penipuan kewangan, cabaran yang dihadapi Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan topik mengenai pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan golongan belia.
Pemenang Pertandingan Pidato Piala Gabenor 2016 ialah:

Johan: Farhan Nor Diyana binti Samsudin (Maybank)
Naib Johan: Juliyana binti Mohd Ludin (Affin Islamic Bank Berhad)
Ketiga: Aria Putera bin Kamal (Citibank Berhad)

Pemenang Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2016 masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 (Juara), RM3,000 (Naib Johan) dan RM2,000 (Ketiga) termasuk trofi, sijil penyertaan dan buku-buku terbitan DBP.

Sebelum Pertandingan Akhir Pidato Piala Gabenor ini, Bank telah menganjurkan Bengkel Pidato yang diadakan pada 4 dan 5 Mei dan juga acara separuh akhir pertandingan pidato pada 30 dan 31 Mei. Dalam bengkel pidato, peserta didedahkan kepada pelbagai teknik pidato dan penggunaan gaya bahasa yang berbeza dan menarik. Pada tahun ini, seramai 68 peserta daripada 23 institusi kewangan telah mengambil bahagian dalam bengkel pidato. Sementara itu, Pertandingan Pidato Piala Gabenor terbuka kepada semua warga kerja institusi kewangan.


Bank Negara Malaysia
01 Jun 2016

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?