Memastikan Akses kepada Perlindungan Insurans Motor Asas bagi Kecederaan Anggota dan Kematian Pihak Ketiga

Embargo: Untuk siaran segera
05 Mac 2010 Siaran Akhbar

Kerajaan telah mengumumkan keperluan untuk menyediakan perlindungan insurans motor asas bagi kecederaan anggota dan kematian pihak ketiga (third party bodily injury and death, TPBID) semasa Pengumuman Bajet Tahun 2010. Premium yang dikenakan hendaklah berpatutan dengan tahap perlindungan yang diberikan. Bank Negara Malaysia telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi merumuskan skim TPBID yang baharu ini.

Cadangan skim TPBID baharu masih pada peringkat perumusan. Bank Negara Malaysia akan berhubung dan berbincang dengan pihak berkepentingan yang berkenaan, termasuk persatuan-persatuan pengguna, perdagangan dan perindustrian serta badan profesional, sebagai sebahagian daripada proses perundingan biasa yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia untuk inisiatif utama. Sesi perundingan ini akan berperanan sebagai platform untuk memperoleh maklum balas daripada pihak berkepentingan yang berkenaan, sebelum mengemukakan cadangan skim TPBID baharu kepada Kerajaan untuk pertimbangan.


Bank Negara Malaysia
05 Mac 2010

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?