Membangunkan Dan Memperkasakan Prestasi Dan Sumbangan PKS Kepada Ekonomi

Embargo: Untuk siaran segera
02 Jun 2008 Siaran Akhbar

Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (Majlis) mengadakan mesyuaratnya yang kelapan hari ini. Majlis telah mengesahkan beberapa inisiatif penting bagi menggalakkan pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya saing dan berdaya tahan. Majlis dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan perwakilan yang terdiri daripada 16 anggota kabinet dan tiga Ketua Agensi yang terbabit dalam pembangunan PKS. Majlis merumuskan dasar dan strategi umum, dan memantau penyelarasan bagi mempertingkatkan keberkesanan program Kerajaan untuk pembangunan PKS.

•  Lebih daripada 286,000 PKS mendapat bantuan daripada program pembangunan pada tahun 2007

Kerajaan telah memberikan penekanan utama terhadap pembangunan PKS untuk meningkatkan daya maju dan sumbangan mereka kepada ekonomi. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan pada tahun 2007 telah membuahkan hasil yang positif. Lebih daripada 286,000 PKS telah dibantu melalui pelaksanaan 189 program pembangunan utama, yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4.9 bilion. Ini termasuk 135,000 PKS, usahawan wanita dan penuntut yang mendapat manfaat daripada latihan keusahawanan dan teknikal, manakala lebih daripada 4,750 PKS diberikan premis perniagaan dan kilang.

Melalui penerapan Rangka Kerja Pengurusan Rangka Tindakan PKS program pembangunan PKS telah menjadi lebih fokus dan berkesan, dengan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan Kementerian dan Agensi yang terbabit. Kira-kira 75% daripada program yang dilaksanakan pada tahun 2007 telah berjaya mencapai atau melebihi pencapaian yang diharapkan. Program-program lain sedang berjalan dengan baik.

•  Pembiayaan institusi kewangan yang disalurkan kepada PKS melebihi sasaran tahun 2007: Sejumlah RM63.2 bilion pembiayaan diluluskan kepada lebih daripada 132,000 akaun PKS

Pada tahun 2007, sejumlah RM63.2 bilion pembiayaan telah diluluskan kepada lebih daripada 132,000 akaun PKS oleh institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan. Ini melebihi sasaran tahun 2007 sebanyak RM51 bilion kelulusan pembiayaan kepada 110,000 akaun PKS. Pada akhir bulan Mac 2008, pembiayaan PKS terkumpul yang disediakan oleh institusi kewangan berjumlah RM132.4 bilion, mencakupi 44.3% daripada jumlah pembiayaan perniagaan terkumpul. Kualiti pembiayaan PKS juga bertambah baik, dengan nisbah pinjaman tak berbayar kasar PKS menurun kepada 9.1% daripada 11.1% pada tahun lalu.

Dari segi sektor, pembiayaan kepada PKS menjadi lebih pelbagai. Pertumbuhan ketara dapat dilihat dalam pembiayaan terkumpul kepada sektor pertanian utama (14.6%), manakala sebahagian besar pembiayaan (46.8%) disalurkan kepada PKS dalam sektor perkhidmatan, terutamanya PKS yang terbabit dalam perdagangan borong dan runcit, restoran dan hotel.

Beberapa langkah telah dilaksanakan oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkatkan akses kepada pembiayaan bagi PKS dan usahawan mikro. Berikutan pelancaran Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan pada bulan Oktober 2007, yang telah meningkatkan kesedaran mengenai pembiayaan mikro sebagai salah satu pilihan pembiayaan, lebih 26,000 perusahaan mikro telah mendapat manfaat daripada pembiayaan mikro yang disediakan oleh sembilan institusi kewangan. Pembiayaan mikro terkumpul meningkat kepada RM271 juta pada akhir bulan Mac 2008. Bank Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Agro Bank juga telah menjalani proses pengkorporatan dengan modal berbayar sebanyak RM1 bilion bagi mempertingkatkan kapasitinya untuk memberi PKS akses kepada kewangan yang mencukupi dalam sektor pertanian dan asas tani. Inisiatif pembiayaan PKS ini diperkukuh dengan penyediaan khidmat nasihat kewangan di Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan di bawah kawal selianya.

•  Rangka Tindakan Pembangunan PKS Kebangsaan 2008: 198 program utama dengan komitmen kewangan sebanyak RM3.2 bilion untuk membantu PKS pada tahun 2008

Rangka Tindakan Pembangunan PKS Kebangsaan 2008, termasuk 198 program pembangunan PKS utama yang sedang dalam pelaksanaan pada tahun 2008 dengan komitmen kewangan sebanyak RM3.2 bilion. Program ini akan membantu PKS dalam kesemua sektor ekonomi, terutamanya penambahbaikan infrastruktur sokongan, bina upaya untuk memperkukuh PKS dan dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan. Tumpuan utama pada tahun 2008 adalah untuk menggalakkan PKS dalam sektor perkhidmatan, pertanian utama dan asas tani, sejajar dengan strategi yang dirumuskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga.

Program utama dalam bina upaya tertumpu pada pembangunan keusahawanan dan modal insan, pemasaran dan promosi, dan penyediaan khidmat nasihat kepada PKS. Program mempertingkatkan keusahawanan bagi sektor perdagangan edaran dan sektor strategik lain membabitkan peningkatan kemahiran keusahawanan 75,000 PKS pada tahun 2008. Melalui pelaksanaan program Khidmat Nasihat dan Bimbingan, Panel Nasihat Kepakaran PKS dan Kesedaran Teknologi dan Khidmat Nasihat, lebih daripada 38,000 PKS dalam kesemua sektor akan mendapat akses yang lebih baik kepada khidmat nasihat yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi.

Dalam menyediakan infrastruktur sokongan kepada PKS, Kerajaan akan menyediakan lebih banyak premis perniagaan, kilang, gerai perniagaan dan pusat inkubasi untuk PKS. Ini termasuk pewujudan Taman Halal dan pusat-pusat untuk pembungkusan, pengedaran dan pemasaran produk pertanian (PUSPRO) di lokasi-lokasi strategik.

Dalam bidang pembiayaan , institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan dijangka meluluskan sejumlah RM70 bilion pembiayaan kepada 140,000 akaun PKS pada tahun 2008. Pada akhir bulan Mac 2008, institusi perbankan dan institusi kewangan pembangunan telah meluluskan sejumlah RM13.3 bilion kepada lebih daripada 38,000 akaun PKS. Ini akan dilengkapkan dengan program bantuan kewangan Kerajaan, termasuk Skim Pembiayaan Ekonomi Desa dan Skim Pembiayaan Francais.

Bagi menambah lagi saluran untuk PKS mendapat pembiayaan , Biro Kredit PKS sedang ditubuhkan oleh Credit Guarantee Corporation Berhad (CGC). Biro Kredit PKS ini akan beroperasi sebagai pusat maklumat PKS yang komprehensif yang menawarkan laporan kredit dan penarafan kredit, serta laporan PKS dan industri. Usaha ini akan memudahkan PKS mendapat pembiayaan pada kadar yang lebih memuaskan dalam tempoh yang lebih singkat dan meningkatkan lagi daya saing PKS dengan menyemai budaya kredit yang sihat dalam kalangan mereka.

•  Pembentukan Agensi Penyelarasan Pusat PKS yang khusus (Agensi PKS)

Inisiatif Majlis untuk membentuk sebuah Agensi Penyelarasan Pusat PKS (Agensi PKS) yang khusus dimuktamadkan pada mesyuarat hari ini. Agensi PKS yang khusus ini merupakan penambahbaikan struktur yang sangat penting dalam agenda pembangunan PKS. Agensi PKS ini merupakan agensi setempat yang akan melaksanakan penyelarasan keseluruhan perumusan dasar PKS dan penilaian prestasi program pembangunan PKS dalam kesemua sektor. Kementerian dan Agensi yang terbabit dalam pembangunan PKS akan terus merumuskan dan melaksanakan dasar dan program PKS selari dengan mandat masing-masing. Agensi PKS akan bertindak sebagai pusat maklumat, rujukan dan khidmat nasihat bagi PKS dalam kesemua sektor dan juga akan berperanan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan, yang sebelum ini dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia sejak tahun 2004.

•  Mendorong PKS untuk menceburi aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi

Berhubung langkah-langkah untuk memacu pembangunan PKS berasaskan pengetahuan (K-PKS) dan juga bagi mempergiatkan langkah PKS untuk menceburi industri yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi, Majlis bersetuju supaya K-PKS didefinisikan sebagai:

  • PKS dengan lebih daripada 20% pekerjanya merupakan pekerja berpengetahuan (mereka yang memiliki sekurang-kurangnya pendidikan tinggi/profesional). Ini termasuk firma perundingan.
  • PKS yang secara langsung menggunakan ICT dan teknologi dalam proses perniagaan atau bagi penambahbaikan produk.
  • PKS yang menerapkan inovasi dan R&D dalam proses perniagaan atau bagi penambahbaikan produk.
  • PKS yang menyediakan latihan dan pembelajaran kemahiran teknikal yang sistematik kepada pekerja mereka.

K-Sektor termasuk Bioteknologi, Nanoteknologi, Photonics , ICT, Tenaga yang boleh Diperbaharui, Aeroangkasa, dan Advanced Materials.

Multimedia Development Corporation dan Biotech Corporation di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan bertanggungjawab dalam pemupukan dan pemantauan prestasi K-PKS. Majlis juga telah membuat keputusan supaya dasar dan insentif yang komprehensif, termasuk insentif fiskal, akses kepada modal dan pembiayaan, pendaftaran harta intelek dan paten yang lebih cepat, dan akses keutamaan kepada projek kerajaan bagi PKS Malaysia yang inovatif akan terus dilaksanakan untuk memajukan agenda ini. Dana teknologi akan juga disediakan untuk membolehkan K-PKS untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan mereka.

•  Jawatankuasa khas untuk mengkaji langkah-langkah perlu bagi mengurangkan kesan kenaikan kos dan harga minyak terhadap PKS dan para peniaga kecil

Majlis bersetuju supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan kesan kenaikan kos dan harga minyak terhadap PKS. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuklah insentif cukai untuk menggalakkan PKS mempertingkatkan keupayaan mesin dan peralatan dan juga penggunaan teknologi, pelaksanaan program pembangunan untuk meningkatkan keupayaan PKS dan mengurangkan kos operasi mereka, serta meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai program pembangunan dan skim bantuan kewangan PKS yang sedia ada.

Sekretariat
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan
2 Jun 2008


Bank Negara Malaysia
02 Jun 2008

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?